BUAT pertama kalinya di dalam sejarah syarikat mereka, Zafran bersama-sama pekerjanya duduk semeja bergelak ketawa. Sebelumnya, dia lebih suka mengasingkan diri. Dia hanya akan hadir untuk majlis rasmi syarikat sahaja. Bukannya sebelum ini tidak pernah ada jamuan makan sedemikian. Namun, dia tidak suka bercampur gaul. Padanya perlu ada batasan antara majikan dengan pekerja. Jika tidak, pekerja tidak akan menunjukkan rasa hormat mereka.
Sekali lagi ia berbeza dengan pandangan Aisyah. Pada Aisyah, majikan perlu disayangi oleh pekerja. Barulah kerja yang dilakukan itu akan lebih bermakna. Jika tidak ia tidak ubah seperti robot yang telah diprogramkan untuk bekerja. Ia hanya bekerja dan tidak peduli sama ada kerja yang dilakukan itu bernilai ataupun tidak. Padanya, asalkan siap kerja, itu sudah memadai. Janji bila hujung bulan, masuk gaji. Selebihnya mereka tidak ingin ambil peduli. Sebab itu apabila syarikat mengalami masalah, pekerja sebegini tidak akan sama-sama bersusah.
Pekerja, majikan, adalah satu kumpulan. Mungkin lebihnya majikan adalah kerana perniagaan itu miliknya. Tetapi dia harus sedar, tanpa pekerja, perniagaannya tidak akan kemana. Majikan perlukan pekerja untuk menjalankan peniagaannya. Pekerja juga perlukan majikan untuk tampung perbelanjaan hariannya. Memanglah majikan yang bayar gaji. Tetapi harus diingat siapa yang memberi rezeki. Semuanya dari Dia. Majikan hanyalah asbab rezeki itu datang. Tetapi hakikat sebenarnya ia datang dari Tuhan.
Begitulah antara isi maklumat yang dipenuhkan ke dalam ruang fikiran Zafran oleh Aisyah yang menyebabkan dia berubah hati dan memilih untuk lebih mendekati pekerjanya.
Aisyah bukan sahaja mempunyai daya tarikan yang kuat. Namun perkataan yang keluar dari mulutnya juga hebat. Jadi tidak hairanlah ketika dia di universiti, banyak persatuan dan kelab yang menawarkan pelbagai jawatan kepadanya.
Buktinya, hari ini dia telah berjaya buatkan seorang majikan yang sombong, berdiri di hadapan semua pekerja dan merendah diri di hadapan semua.
"Jadi, saya nak ucapkan ribuan terima terutamanya pada Aisyah yang bertukus-lumus untuk siapkan jamuan pagi ini. Sebelum kita bersurai dan sambung semula kerja kita hari ini, saya ada beberapa perkara yang saya nak maklumkan pada semua." Zafran menarik nafas panjang.
Semua pekerja memberikan perhatian mereka pada Zafran yang sedang berdiri di tengah-tengah ruang tamu tempat di mana mereka sedang mengadakan jamuan makan.
"Pertama sekali, saya nak ucapkan ribuan terima kasih pada semua yang ada dekat sini. Mungkin tanpa anda semua, syarikat ini tak mungkin akan capai seperti mana yang kita capai hari ini. Terima kasih banyak-banyak atas sumbangan anda semua yang tidak pernah jemu dan tidak pernah berhenti. Keduanya, saya nak minta maaf pada semua. Saya sedar selama ini saya agak tegas dalam melakukan kerja. Saya sedar yang saya tidak setanding Dato' dalam menguruskan syarikat dan pekerja. Tetapi saya janji, mulai hari ini saya akan lebih berusaha untuk berikan yang terbaik untuk syarikat dan pekerja saya. Jadi saya harap sokongan dari anda semua untuk bantu saya dan bantu syarikat untuk lebih maju. Dan terakhir. Saya cuma nak katakan, yang saya sayang anda semua. Tanpa anda semua, saya bukanlah siapa-siapa. Perniagaan ini hanyalah pinjaman Allah untuk kita sama-sama cari rezeki. Jadi, saya harap kesilapan saya selama ini yang sering mengabai pekerja saya dapat dimaafkan. In Syaa Allah, saya berjanji akan cuba beri yang terbaik sebagai pengurus syarikat ini dan saya harap anda semua juga dapat bersama-sama saya majukan syarikat ini lagi."
Senyuman itu bagaikan kuntum bunga yang mekar ketika cahaya menyinari bumi. Semuanya berputik di bibir pekerja syarikat miliknya Dato' Ramli yang diurus tabir oleh anaknya Zafran. Terutamanya Aisyah. Masing-masing menyatakan rasa syukur di atas perubahan yang berlaku pada Zafran.
Maka selesailah jamuan pagi tersebut. Kesemuanya bersurai bagi menyambung semula pekerjaan mereka. Tinggallah Aisyah dan Nur yang masih lagi mengemas ruang tamu pejabat.
"Tahniah Cik Aisyah." Nur tersenyum kepada Aisyah.
"Tahniah? Kenapa?"
"Iyalah... Tahniah sebab berjaya lembutkan hati Tuan Zafran. Sepanjang saya kerja dekat sini, ini kali pertama saya tengok Tuan Zafran bergelak ketawa dengan staf semua. Kalau tak sebelum ni nak senyum pun susah."
Aisyah tersenyum mendengar apa yang keluar dari mulut Nur.
"Saya tak buat apa-apa pun Nur. Tuan Zafran yang nak berubah sendiri. Kalau Tuan Zafran tak nak, tak jadi juga Nur."
"Itulah kan. Tapi saya rasa Tuan Zafran suka dekat Cik Aisyahlah."
"Ish mengarutlah Nur. Takdalah." Aisyah tersenyum sipu.
"Betul Cik Aisyah. Saya tahulah. Saya dah lama kerja sini. Jadi saya kenal Tuan Zafran macam mana."
Aisyah hanya tersenyum tanpa membalasnya. Apa yang dikatakan Nur memang membuatkan hatinya berbunga. Namun, dia harus sedar siapa dirinya. Tidak mungkin gadis seperti dirinya yang menjadi pujaan hati Zafran.
"Oklah Nur. Semua dah siap. Saya nak sambung kerja saya. Nur doakanlah saya. Mana tahu berkat doa Nur saya jadi menantu Dato'." Balas Aisyah sambil tertawa.
"Saya doakan Cik Aisyah diperjodohkan dengan Tuan Zafran. Nanti bolehlah naikkan gaji saya. Lagipun saya dah nak bertunang bulan depan. Jadi nak kena pakai banyak duit." Nur tersenyum pasrah.
"Lahh.. Ya ka? Seronoknya... Ni pilihan hati Nur ka pilihan keluarga?"
"Pilihan hati Nur. Kami bercinta masa Nur dekat U dulu. Tapi itulah. Bakal suami ni kerja biasa-biasa ja. Jadi gaji tak banyak. Sebab tu Nur kena bantu dia. Lagipun nak kahwin Nur juga. Kalau tak Nur yang bantu dia, siapa lagi kan."
"Betul tu Nur. Sekarang ni kahwin, semua nak harap dekat lelaki. Hantaran, mas kahwin, kenduri lagi. Semua tu bukan sikit. Jadi kalau bukan kita yang tolong diorang, siapa lagi kan. Tapi itulah kan. Kalau adat tak dipandang, pasti urusan perkahwinan jadi senang."
"Itulah Cik Aisyah. Nak buat mana. Bukan Nur yang buat keputusan."
"Takpa... Nanti anak-anak Nur nanti, Nur permudahkan."
"Eh.. Bertunang pun belum dah cakap pasal anak dah."
"Hidup kena ada matlamat. Kalau tidak tak kemana. Hah, sudah sudah. Nanti Tuan Zafran nampak kita masih dekat sini lagi marah dia nanti."
Maka masing-masing beredar menuju ke tempat kerja mereka bagi menyambung semula kerja yang tertunggak. Tidak sampai 10 minit berada di dalam biliknya, pintu bilik Aisyah diketuk.
"Ya masuk." Aisyah masih lagi menumpukan matanya pada fail dokumen di atas mejanya.
Perlahan Zafran mendekati Aisyah yang sedang sibuk dengan kerjanya.
"Eh... Tuan! Ada apa Tuan? Kenapa tak suruh ja Nur panggil saya pergi bilik Tuan?"
"Saya nak keluar. Alang-alang lalu depan bilik awak. Saya sebenarnya ada mensyuarat tergempar dekat luar kejab lagi. Jadi kalau saya lambat, awak balik dulu ya. Nanti barang-barang awak saya hantar kemudian."
"Eh, tak ada masalah Tuan! Saya ok ja. By the way, tahniah Tuan."
"Tahniah?" Zafran mengerutkan dahinya.
"Iyalah... Sebab Tuan berjaya turunkan ego Tuan. Bukan senang tau majikan nak turunkan ego dia."
"Saya pengurus syarikat ja Aisyah. Bukan pemilik syarikat."
"Alah... Tuan kan anak Dato'. Kira pemilik jugalah."
"Ada ada ja awak ni. Sudahlah... Nanti apa-apa saya mesej awak. Saya nak kena gerak dulu ni. Kalau tak kejab lagi lambat."
"Baik Tuan. Hati-hati. Kalau nampak lampu merah berhenti ya." Aisyah tersenyum nakal.
Zafran meninggalkan Aisyah yang masih lagi berseri dek senyuman yang terukir di wajah. Walaupun Zafran telah jauh pergi meninggalkan dirinya, namun bayang Zafran masih lagi jelas dimatanya.
Apakah itu yang dinamakan cinta?
Bersambung...
YOU ARE READING
Dia Cintaku
RomanceKisah DIA CINTAKU merupakan kisah percintaan antara Aisyah dan Zafran yang berakhir dengan sebuah kedukaan di mana Aisyah telah mendapat tahu bahawa Zafran merupakan suami orang sebulan sebelum tarikh pernikahan mereka. Namun, yang menjadi persoalan...