PINTU ditolak kasar. Kaki laju menuju ke sofa. Menghempas tubuh melepaskan amarah yang sukar dikawal. Kalau diikutkan hati mahu sahaja dihempas segala perhiasan yang tersusun cantik di ruang tamu apartment miliknya.
Setiap kali menerima panggilan Dato' Tamrin buat emosinya dibadai ombak. Lagi-lagi bila terdengar sama suara perempuan sundal yang telah menghancurkan kebahagiaan hidupnya.
Ditarik nafas panjang. Lalu dihela perlahan. Cuba mengawal emosi dari menghancurkan perhiasan rumah yang tidak bersalah.
Deringan telefon bimbit yang nyaring membingitkan telinga buatnya tersentak seketika. Siapa pula gerangan yang mengganggu tika lewat begini?
Dipaksa diri mencapai telefon bimbit di dalam tas tangan yang terus menjerit meminta perhatian. Dia mendengus kasar sebelum menekan butang hijau. Tidak melihat dahulu nama si pemanggil.
"Hello!" Keras suaranya menyapa. Namun sekejap cuma bila hanya tangisan yang bergema di hujung talian.
Sekilas dipandang nama yang tertera di skrin. Bertaut dahi memikirkan kemungkinan buruk yang berlaku menyebabkan tangisan si pemanggil bergema di malam hari.
"Tiya..." Lembut suaranya memanggil nama itu. Tangisan di hujung talian masih bergema. Tiada tanda mahu reda.
"Kenapa ni, Tiya? Tell me, babe," pintanya memujuk lembut. Kemarahan yang tadinya berbuku di dada hilang entah ke mana. Tangisan sahabat kini menjadi fokus utama.
"Aku dengan Fahim dah putus." Sayu kedengaran suara Atiya. Bersulam esakan yang masih bersisa.
"What?!"
Sukar mahu percaya. Pasangan merpati sejoli ingin sehidup semati tiba-tiba sahaja berpisah. Tiada angin tiada ribut masakan pohon cinta sahabatnya tumbang begitu sahaja.
"Dia tak patut pilih aku..." Suara di hujung talian begitu lirih. Hampir tidak kedengaran.
Bertaut rapat dahinya memikirkan siapa gerangan yang dimaksudkan Atiya. Siapa pula yang mencari masalah dalam hidup sahabatnya itu?
"Siapa?"
"Dia sepatutnya jadi abang ipar aku. Bukan suami aku!" tekan Atiya tiba-tiba. Gagal mengawal emosi yang berantakan ketika ini.
Sekelip mata cinta yang dianyam musnah. Bukan mudah untuk diterima akal lagikan hati. Peritnya hanya dia yang rasa. Bukan lelaki itu!
"Are you okay, Tiya? Kau nak aku datang temankan kau malam ni?" soalnya lembut.
Lama suara di hujung talian membisu. Seolah cuba membuat keputusan yang berat. Atau tenggelam dalam fikiran sendiri. Pun begitu dia sabar menanti.
Jika sahabatnya mahu bahu untuk menangis, dia tidak kisah menerpa ke rumah keluarga Atiya biarpun tahu malam sudah terlalu lewat untuk menjadi tetamu.
"Tak perlu. Aku jumpa kau esok, Luna." Akhirnya Atiya bersuara sendu.
Terlalu lewat untuk menjemput Luna datang ke rumah. Bimbang keluarganya risau melihat keadaannya. Dan pastinya menimbulkan rasa bersalah di hati mereka.
"Okey. Aku jumpa kau esok, Ya. Stop crying. Aku tak nak tengok mata kawan baik aku bengkak esok," pesan Luna separuh bersenda mengharap Atiya tidak terus melayan perasaan yang hancur.
Tiada balasan yang diterima. Sebaliknya talian diputuskan begitu sahaja. Senyuman hambar bermain di bibir. Hidup pasti diduga.
Sahabat yang hidupnya bahagia selama ini kini perlu berdepan dengan derita. Tiada siapa yang mampu bahagia selamanya. Pasti akan tiba masa untuk tangisan bergema. Hidup tak selalunya indah.
YOU ARE READING
My Darling Luna
RomanceSHORT MEMO! Segala teaser yang diupdate untuk tujuan PROMOTION sahaja. Versi cetak available untuk anda.😊 Saat si penggoda bertemu jejaka terlebih usia, ada tarikan yang sukar untuk dinafikan. Lalu bermulalah satu permainan. Yang pasti hati menjadi...