"WHAT'S this?" Fail yang dihulur disambut lalu dibelek curiga. Saat gambar si gadis terlayar di mata, bibir tersugil tanpa kata.
"Aku baik hati. Tolong member," komen Fahad. Segala butiran terkini si gadis berada di dalam fail yang diserahkannya itu.
Laju sahaja dia membuat kerja. Demi seorang sahabat dia rela bekerja lebih masa. Mengorek segala maklumat untuk tatapan sahabat.
Dia selamba melabuhkan punggung tanpa disuruh. Pejabat si sahabat sudah seperti rumahnya sendiri. Tangan menongkat dagu. Bibir tersenyum-senyum penuh makna.
Bukan mudah untuk sahabatnya berminat tentang makhluk yang begitu unik di dunia ini. Makhluk yang menjadi penyeri di dalam kehidupan seorang Adam.
Dia sebagai sahabat baik perlu membantu demi memastikan kelangsungan hidup lelaki itu. Jangan sendiri sampai ke hujung nyawa. Sunyi!
"Untung kawan aku dapat pucuk muda," tambah Fahad bersenda.
Ditenung sejenak si sahabat yang masih menjadi pujaan ramai wanita. Jauh berbeza dengan diri yang sudah dimamah usia.
Punya keluarga buatnya tidak berkesempatan untuk memastikan penampilan diri kekal muda. Masanya dihabiskan bersama anak-anak yang perlukan didikan seorang ayah.
Perhatian untuk seorang isteri juga perlu biarpun sesekali kakinya melangkah juga ke kelab untuk berhibur.
Pun begitu dia tidak pernah membawa perempuan lain ke bilik tidur biarpun isteri miliknya tidak lagi bergetah seperti dulu.
Setia itu masih bersisa biarpun sesekali ada juga gadis yang dibawa menjadi peneman ketika makan. Menaikkan ego lelaki veteran.
Kedudukan kewangan yang kukuh buatnya mampu untuk mengambil isteri kedua. Tidak bermakna dia mahu menambah masalah di dalam hidup yang dikira aman. Cukup seorang isteri hingga ke hujung nyawa.
"Untung? Mungkin," balas Thaqeef bersahaja nadanya.
Dia masih perlu menilik tentang si gadis sebelum dapat menilai keuntungan yang bakal dibawa si gadis ke dalam hidupnya.
Setakat ini, rupa paras si gadis sudah cukup memuaskan hati. Lenggang si gadis juga meruntun nafsu lelaki yang tidak pernah terusik selama ini. Mampu membuatnya ingin menarik si gadis ke dalam dakapan hangat. Biar terpenjara selamanya di situ.
Mengingatkan tentang kemungkinan itu buat bibir tersenyum sendiri. Mungkin dia perlu mula memburu. Bukan terus tertimbus dalam kerja yang tidak berkesudahan.
Sudah lama mengabadikan diri untuk empayar yang kini berdiri megah. Sudah tiba masa untuk menghiburkan hati sendiri. Dan hanya gadis itu mampu menarik perhatiannya buat masa ini untuk mengubah rentak hidup yang sudah sebati.
"Bila kau nak mula?" soal Fahad dengan sengihan panjang.
Terjongket kening si sahabat mendengar soalan itu. Faham benar apa yang dimaksudkan Fahad. Namun bibir berat untuk membalas. Sengaja membiarkan Fahad tertanya-tanya sendiri.
"Aku dah lama kenal kau, Qeef. Takkan dengan aku pun kau nak berahsia, huh?"
Hanya kebisuan balasan untuknya. Fahad mendengus geram.
"Bila kau nak mula memburu? Walaupun si cantik tu senang aje dihimpit... tak bermakna dia sanggup bermain dengan api. Kau tu..."
"Dia lebih dari sanggup bermain dengan api," potong Thaqeef tersenyum sinis.
Jika si gadis takut bermain dengan api, tak mungkin status sugar baby menjadi pilihan hati. Dan dia tahu benar kenapa gadis itu memilih jalan begitu.
"Oh, sejak bila kau lebih faham tentang si cantik manis tu?" soal Fahad menjongket kening.
Cara Thaqeef berbicara seolah sudah lama mengenali gadis itu. Belum apa-apa lagi Thaqeef mula menunjukkan taring. Berbicara seolah si gadis sudah menjadi hak milik kekal. Ish... ish... ish...
Mungkin si gadis bakal bernasib malang bila dijadikan buruan sahabatnya itu. Dalam diam dia mendoakan kesejahteraan gadis itu. Mengharap gadis itu dapat menerima nasib diri menjadi mangsa lelaki seperti Thaqeef.
Fahad tergeleng-geleng sendiri. Dia bingkas bangun. Tidak perlu terus menyoal. Dia sudah mendapat jawapannya.
YOU ARE READING
My Darling Luna
RomanceSHORT MEMO! Segala teaser yang diupdate untuk tujuan PROMOTION sahaja. Versi cetak available untuk anda.😊 Saat si penggoda bertemu jejaka terlebih usia, ada tarikan yang sukar untuk dinafikan. Lalu bermulalah satu permainan. Yang pasti hati menjadi...