Teaser 10

931 18 0
                                    

SENYUMAN tidak dapat disembunyikan di bibir. Mengenangkan betapa hangatnya dakapan lelaki itu buat wajahnya terasa berbahang. Lelaki yang terlalu selamba. Jauh berbeza dari maklumat yang diketahuinya.

Sangkanya lelaki itu langsung tidak berminat dengan perempuan. Buta nafsu ataupun lebih suka pada kaum sejenis. Itu gosip yang pernah didengarinya.

Siapa sangka tiba-tiba tanpa silu mengaku memilikinya. Too overbearing!

"She's mine!"

Suara dingin itu masih terngiang-ngiang menampar gegendang telinga. Dingin untuk kumbang yang mengacau. Seksi di pendengaran gadis yang diselamatkan.

Sesuka hati sahaja berbicara begitu. Bisa membuat mereka yang medengar salah faham. Lagi-lagi kalau didengari Dato' Tamrin. Harus ribut melanda.

Meledak tawa di bibir memikirkan kemungkinan itu. Mungkin dia patut berbuat begitu. Menaikkan darah Dato' Tamrin sudah tentu menjadi matlamat utama.

Cumanya dia masih belum terlalu kejam. Tidak sanggup pula melihat Dato' Tamrin terlantar di katil hospital jika tekanan darah mencanak naik.

Luna menolak pintu bilik seraya melangkah ke katil. Direbahkan tubuh di tilam empuk. Tidak berniat untuk membersihkan diri terlebih dahulu. Tilam yang empuk buatnya ingin terus melelapkan mata. 

Mata tertunak pada siling putih. Siling putih yang kini dibayangi dengan wajah kacak yang mula menghantui. Terletus tawa kecil di bibir. Dia tergeleng-geleng sendiri.

"Dah gila," gumamnya mengutuk diri. Mahukan tidak bila dia berlagak seperti gadis dilamun cinta pandang pertama.

Mana mungkin itu berlaku. Dia cuma terpukau seketika. Bukan selamanya.

Gadis mana yang mampu memandang sebelah mata lelaki yang punya karisma seperti Thaqeef? Hanya kerana Thaqeef langsung tidak menunjukkan minat menyebabkan lelaki itu masih sendiri hingga ke hari ini. Jika tidak pasti berderet gadis mendaftarkan diri untuk menjadi suri.

Dia tentu sahaja terkecuali. Tidak berminat untuk bersama mana-mana lelaki. Lelaki yang bakal mendatangkan masalah di dalam hidup. Lebih senang sendiri. Punya kebebasan untuk melakukan apa sahaja.

Bukan tiada lelaki yang cuba memikat hati. Cuma dipandang sebelah mata. Cukuplah lelaki-lelaki untuk dikikis wangnya. Yang lain tiada dalam rancangan yang diatur.

"Jangan yakin sangat, my dear. Mungkin you sendiri yang akan datang menyerah diri."

Luna tersenyum sendiri. Menyerah diri? Pada lelaki yang jelas berbahaya? Itu mengarut namanya.

Dia tidak gentar untuk bermain dengan api. Namun tidak bermakna dia perlu sesuka hati membakar diri. Perlu punya sebab dan alasan yang sesuai biarpun mungkin tidak logik di mata orang lain. Yang penting memuaskan hati sendiri.

"Thaqeef Ilhan. Too bad you're off limit. At least for now..."

Baru sahaja mata mahu terpejam rapat, telefon bimbit yang menjerit nyaring menyegarkannya semula. Dicapai kasar telefon bimbit yang berada di dalam tas tangan. Tiada gaya mahu berhenti menjerit.

"Aluna Wirda!" Suara di hujung talian keras menampar gegendang telinga.

"Oh, Dato' Tamrin. Ada apa cari I malam-malam macam ni?" soal Luna sinis. Seolah berbicara dengan orang asing. Bukan bapa kandung sendiri. Hak itu jelas sudah dibuang ke longkang suatu ketika dahulu.

"Stay away from him!" Amaran keras diberikan. Demi memastikan satu-satunya anak yang dimilikinya tidak membuat keputusan yang salah.

"I tak faham siapa yang Dato' maksudkan," balas Luna bersahaja. Pura-pura tidak tahu.

Cepat benar lelaki veteran itu mendapat maklumat. Dia sedar biarpun Dato' Tamrin tidak menyekat langkahnya, tidak bermakna setiap gerak-gerinya tidak diperhatikan.

Disebabkan itu juga tiada sugar daddy yang menjadi pilihan berani berlebihan tanpa kebenarannya. Mereka bimbang Dato' Tamrin datang mengetuk pintu rumah mereka.

Mustahil untuk lelaki veteran itu melepaskannya bebas begitu sahaja. Hanya dia satu-satunya pewaris Dato' Tamrin.

Biarpun lelaki veteran itu jelas tidak suka dengan sikapnya, dia tetap anak yang terlalu 'berharga' di mata Dato' Tamrin. Masakan tidak bila tiada pewaris lain untuk menggantikan tempatnya.

Andai Dato' Tamrin punya pewaris lain, sudah lama dia dibuang seperti pengemis jalanan. Dibuang Dato' Tamrin langsung tidak akan menjejaskannya. Bukannya dia yang mahu kembali ke Kuala Lumpur!

Jika tidak diugut lelaki veteran itu, dia lebih senang terus menetap di negara orang. Tidak perlu berdepan dengan lelaki yang telah mengecewakan mummynya.

"Jangan main-main dengan daddy, Luna!"

Luna menyeringai menahan ngilu bila terpaksa menadah telinga mendengar Dato' Tamrin terpekik begitu. Marah benar bila melibatkan lelaki kacak yang cuba menggoda anaknya.

"I nak tidur, Dato'. Good night," balas Luna bersahaja.

Dia tidak punya masa untuk melayan segala pekikan Dato' Tamrin. Mendera telinga sendiri sahaja. Tidur lagi bagus.

"Don't you dare, Luna!"

Butang merah ditekan. Malah telefon bimbitnya dipadamkan. Tahu benar jika dibiarkan terus hidup Dato' Tamrin pasti menghubunginya sekali lagi. Bosan!

My Darling LunaWhere stories live. Discover now