Teaser 8

849 17 2
                                    



DERINGAN telefon yang membingitkan telinga benar-benar mengganggu fokus pada laporan di tangan. Mata melirik pada skrin.

Gelaran 'bonda' yang tertulis di situ buatnya laju menjawab panggilan. Wanita yang berada di tangga teratas di carta hati.

Selepas itu barulah wujud 3 orang adik perempuan yang tidak sudah cuba mencarikan jodoh buat si abang. Dan selepas ini mungkin akan muncul seorang lagi yang bakal mewarnakan hidupnya.

"Ibu," seru Thaqeef. Lembut benar nadanya. Penuh rasa hormat dan kasih pada wanita yang terlalu banyak berkorban untuknya dan adik-adik yang lain. Jika didengari staf bawahan pasti melopong mulut masing-masing.

    Bos besar mereka yang terlalu serius di meja mensyuarat dengan aura yang menggerunkan buat staf bawahan sentiasa menunduk takut. Bimbang menjadi mangsa dibambu tanpa dapat membela diri. Bila masanya pandai berlembut?

    "Bila nak bawak balik menantu ibu?"

Belum apa-apa lagi sudah diserang dengan soalan rutin. Tidak pernah gagal bertanya. Dengan harapan mendapat jawapan menggembirakan hati.

    Thaqeef berdeham kecil. Ibunya seperti dapat menghidu pula niatnya terhadap si gadis yang langsung tidak sedar dirinya sudah menjadi sasaran.

    "Tak lama lagi," balas Thaqeef tenang.

    Terdengar jeritan kecil di hujung talian. Seolah si ibu masih si dara yang mendengar berita menggembirakan. Buat Thaqeef tergeleng sendiri.

    "Ibu tak salah dengar ke ni?" Bergetar suara Puan Hilda menyoal untuk mendapatkan kepastian. Bimbang suara si anak cuma ilusi semata.

    "Tak lama lagi," ulang Thaqeef tenang. Tiada ragu dalam bicaranya. Yakin benar si gadis tidak dapat lolos dari genggaman.

    "Alhamdulillah." Puan Hilda mengucap syukur.

Berita yang terlalu menggembirakan. Doa yang tidak pernah gagal dititipkan setiap kali solat akhirnya dimakbulkan.

    "Siapa nama menantu ibu? Bila nak bawa jumpa ibu?" Soalan demi soalan mula meluncur laju dari bibir Puan Hilda.

Sudah diberi betis mahu peha pula. Mahu bertemu si menantu secepat mungkin. Bimbang si anak berubah fikiran tiba-tiba.

Ibu mana yang tidak bimbang bila si anak langsung tidak terfikir untuk menamatkan zaman bujang? Siapa yang bakal menemani bila dia tiada di dunia nanti?

    Anaknya itu kerja sahaja tahu. Adakalanya makan pun tidak. Terlalu khusyuk membelek laporan.

Jika ada isteri di sisi, ada juga yang memberi perhatian. Bertanya tentang makan dan minum anaknya itu. Tidaklah hati tuanya sering dibelit risau.

    Isteri pasti menjadi peneman. Tidaklah sunyi hingga ke hujung nyawa. Apa guna syarikat yang gah di mata masyarakat sedangkan tiada siapa untuk diwariskan?

    "Kerja mana? Anak siapa? Umur berapa?" Soalan terus menghujani si anak bila tiada jawapan yang diterima.

    "Ibu, Qeef ada kerja. Soal menantu ibu... tunggu masa yang sesuai," ucap Thaqeef mematikan segala soalan yang masih ingin dilontar si ibu.

    Puan Hilda mengeluh berat. Dia mengurut dada cuba menyabarkan diri.

    "Sabar... sabar..." Puan Hilda memujuk diri. Mengawal rasa teruja yang menguasai.

Dia tidak boleh menekan si anak. Bimbang menantu yang hampir berada di dalam gapaian terbang pergi begitu sahaja.

    "Okey. Ibu tunggu berita baik dari anak ibu," ucap Puan Hilda terus mematikan talian. Tidak menanti balasan seterusnya dari si anak yang belum tentu akan membalas.

My Darling LunaWhere stories live. Discover now