"Mawar?"
Langkah Mawar terhenti di tengah ruang tamu saat nama dia disebut. Pantas dia menoleh ke arah dapur, bibir mengukirkan senyuman kecil buat Puan Dahlia.
"Mama..." dia melangkah ke arah wanita itu.
Beg kertas di tangan diletakkan di atas meja makan."Amboi, masuk rumah tak reti bagi salam dah?" Usik Puan Dahlia.
Saja mengusik. Memang tadi Mawar ada memberi salam tetapi dalam nada perlahan. Melihatkan wajah sugul gadis itu, dia tahu pasti ada sesuatu yang terjadi kepada Mawar.
Tapi dia juga tahu bahawa Mawar ini seorang yang suka berahsia.
"Mawar dah bagi salamlah tadi. Mama je tak dengar..." cebik Mawar. Pinggang wanita itu dirangkul lalu dia menyembamkan wajah ke dada Puan Dahlia.
Rasa rindu ingin dilepaskan. Dia rasa sebak tiba-tiba. Mengenangkan apa yang telah terjadi selama ini, dia rasa tidak berguna. Dia cuba untuk memberitahu perkara sebenar kepada kedua orang tuanya tetapi dia tidak punya keberanian itu.
"Mana abang Nasa kamu?" Soal Puan Dahlia, mengubah topik.
Kelat wajah Mawar saat Puan Dahlia mengajukan soalan itu. Perlahan dia merungkai pelukan. Nafas ditarik dan dihembus panjang.
"Dia ada hal nak kena settle..." jawab Mawar perlahan.
Walhal, dia menipu. Engku Raid tidak sibuk pun sekarang ini, cuma dia saja yang tidak membenarkan lelaki itu datang ke rumah orang tuanya.
Kerana dia tahu, pasti Puan Dahlia akan menyuruh lelaki itu bermalam di sini. Dia letih. Dengan segala perlakuan Engku Raid terhadapnya siang tadi membuatkan dia rasa letih dengan semua ini.
Persoalannya, mengapa dia? Apa yang sebenarnya Engku Raid mahukan daripadanya.
Puan Dahlia hanya mengangguk faham. Bahu Mawar ditepuk perlahan membuatkan gadis itu sedikit tersentak. Nampak sangat Mawar sedang mengelamun jauh.
"Takpalah kalau macam tu. Ni Mawar nak makan tak? Kalau nak mama panaskan lauk."
Mawar mendiamkan diri buat seketika sebelum dia menggelengkan kepala. Kekura tangan Puan Dahlia diusap lembut. "Mawar dah makan tadi. Mawar nak rehat sekejap, letih."
Puan Dahlia sekadar tersenyum mendengar jawapan Mawar. Dia menjatuhkan kepala beberapa kali seraya memandang Mawar yang sedang berura-ura ingin naik ke atas.
Buat seketika langkah Mawar terhenti. Dia pandang sekilas Puan Dahlia yang masih ralit memandangnya itu.
"Ma, papa mana?" Soal Mawar.
"Papa ada dekat atas. Dekat bilik kerja dialah..."
Mawar mengangguk. Langkahnya diteruskan dengan keluhan yang tidak henti keluar daripada bibirnya. Bibir diketap kuat saat dia sudah menghentikan langkah di hadapan sebuah bilik.
Bilik kerja Tuan Qash.
Tangannya sudah naik ingin mengetuk pintu tersebut, namun dia jatuhkan tangan kembali ke sisi tubuh. Tindakannya jadi teragak-agak. Mata dipejamkan sesaat.
YOU ARE READING
Mawar Milik Raid[C]✅
RomanceKnown as, His Obsession ⚠️Toxic relationship alert. Mawar, cantik dipandang, namun sakit apabila dipegang. Indah, namun sukar untuk dimiliki. Orang kata, mawar seperti jinak-jinak merpati. Hanya mampu dipandang. MAWAR ADELIA nama diberi. Gadis penc...