SUASANA di dalam kelas tersebut menjadi kelam-kabut apabila semua pelajar kembali ke tempat duduk masing-masing. Kelas yang tadinya bising serupa pasar borong, kini senyap sunyi. Masing-masing sedang menanti ketibaan guru kesayangan mereka, Cikgu Mariam.
"Bangun! Assalamualaikum, cikgu!" Amin, ketua kelas Tingkatan 5 Delima segera bangun dan memberikan ucap selamat kepada Cikgu Mariam sejurus wanita itu melangkah masuk ke dalam kelas.
"Assalamualaikum, cikgu!" Serentak semua pelajar bangun dan turut mengucapkan salam.
"Waalaikumussalam. Sila duduk." Cikgu Mariam berkata. Seperti biasa, senyuman tidak lekang di bibir wanita itu.
Semua pelajar mengambil tempat duduk masing-masing. Suasana kelas kembali tenang seolah-olah semua sudah bersedia mahu mengikuti pelajaran pada hari itu.
Cikgu Mariam memandang sekeliling dengan bibir masih mengukir senyuman.
"Sebelum kita mulakan pembelajaran kita, ada berita yang saya nak sampaikan." Cikgu Mariam membuka mulut.
Masing-masing sudah tayang riak ingin tahu, termasuk Hawa.
"Berita apa tu, cikgu?" Sharifah, penolong ketua kelas membuka mulut.
Cikgu Mariam senyum lagi.
"Saya tak pasti ini merupakan berita baik ataupun buruk, tapi cikgu nak bagi tahu yang cikgu akan bersara tidak lama lagi."
Kelas menjadi senyap sunyi sejurus saja wanita itu menuturkan kata-kata tersebut. Hawa merenung wajah Cikgu Mariam dengan riak tidak percaya sebelum dia menoleh ke sebelah.
"Inas, aku tersalah dengar ke? Cikgu Mariam kata apa tadi? Dia nak bersara?" soal Hawa tidak pasti.
Inas merupakan teman baik Hawa sejak di tingkatan satu lagi. Gadis yang duduk di sebelah Hawa itu turut terdiam, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengar.
"Ha'ahlah. Tapi, biar betul. Takkan tiba-tiba aje? Lagipun, Cikgu Mariam tu nampak muda lagi, kan?" Inas turut memandang Hawa di sebelah.
Hawa tidak menjawab, sebaliknya memalingkan muka ke arah Cikgu Mariam yang sedang melayan soalan demi soalan daripada pelajar yang lain. Rata-ratanya kelihatan tidak begitu gembira dengan berita tersebut. Malah, Hawa dapat lihat ada juga pelajar yang menangis.
"Cikgu tak bergurau, kan?" Hawa bertanya tiba-tiba.
Langsung tidak mampu menahan diri daripada bertanyakan soalan itu. Dia mengharapkan Cikgu Mariam akan berkata sebaliknya.
Cikgu Mariam yang sedang memujuk salah seorang pelajar yang menangis, angkat kepala memandang Hawa. Bibir wanita itu seperti biasa mengukir senyuman manis membuatkan raut keibuan semakin terserlah di wajahnya.
"Tak, cikgu tak bergurau. Bulan depan merupakan bulan terakhir cikgu berkhidmat di sekolah ni."
Hawa terdiam lagi. Dahinya berkerut mendengar jawapan wanita itu.
"Tapi, kenapa tiba-tiba aje cikgu kena bersara?" Giliran Inas pula bertanya.
"Sebenarnya, bukan tiba-tiba aje cikgu kena bersara. Cikgu memang tahu lama dah. Cuma, baru hari ini cikgu nak bagi tahu kamu semua. Cikgu sebenarnya tak sampai hati nak cakap, tapi cikgu tetap kena cakap juga kan. Cikgu rasa tak sedap hati pula kalau kamu semua tahu daripada cikgu-cikgu lain."
Cikgu Mariam tersenyum lagi.
Hawa gigit bibir bawah. Jadi, memang sudah pastilah yang wanita itu akan bersara dalam masa terdekat ini?
"Cikgu nak tinggalkan kami semua? Tak boleh ke cikgu tunggu sampai... kami habis SPM?" soal Aini dengan sisa sedu-sedannya.
Cikgu Mariam masih mengukir senyuman. Dia tahu bukan mudah pelajar-pelajar tersebut mahu menerima kenyataan itu. Dia sendiri pun terasa berat hati mahu meninggalkan dunia yang telah lama sebati dalam hidupnya.
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
RomanceTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...