BAB 3

1.3K 22 0
                                    

"HAWA, kau dah bayar ke duit untuk kita beli hadiah Cikgu Mariam?" Linda bertanya sambil sibuk mengira duit di tangannya.

Hawa yang sedang berbual dengan Inas, segera menoleh. Bibir bawah digigit tanpa sedar sambil memandang Linda yang masih sibuk memeriksa siapa lagi yang belum membayar duit tersebut.

"Err, belum lagi."

Linda menoleh. "Bila nak bayar? Aku dah nak beli hadiah minggu depan."

Hawa terdiam lagi. Kulit muka terasa tebal dua inci mendengar kata-kata teman sekelasnya itu. Rasanya hampir satu kelas kut boleh dengar suara temannya itu.

Inas memandang Hawa dan Linda silih berganti. Dia faham kenapa Hawa masih belum membayar duit tersebut.

"Kau seorang aje yang belum bayar tau." Sekali lagi Linda bersuara, membuatkan Hawa rasa seperti nak menyorok bawah meja sahaja. Malu.

"Linda, nanti aku bayarkan untuk Hawa." Inas mencelah.

Tak sanggup melihat teman baiknya diperlakukan begitu walaupun dia yakin Linda tak berniat apa-apa. Cuma suara minah ini kuat dan lantang kalau bercakap.

"Eh, tak apalah Inas. Tak naklah susahkan kau. Linda, boleh bagi aku masa sikit tak? Aku sebenarnya bukan tak nak bayar, tapi..." Hawa terdiam.

Malu nak berterus terang yang dia sebenarnya tak mampu nak bayar duit sebanyak itu. Yalah, duit belanja yang diberikan oleh mak ciknya saban hari hanyalah sebanyak satu ringgit sahaja. Itu pun dia kena berjimat cermat disebabkan harga makanan yang mahal di kantin. Zaman sekarang ini apa saja yang boleh dibeli dengan nilai wang sebanyak itu.

Selalunya dia hanya beli nasi lemak sebungkus dan bawa bekal air dari rumah. Kadangkala dia sanggup tak makan disebabkan dia perlu menyimpan duit untuk waktu kecemasan. Manalah tahu dia perlu mengeluarkan belanja untuk membeli peralatan sekolah seperti alat tulis atau buku-buku rujukan tambahan yang diminta oleh gurunya.

Ini pun duit simpanannya baru habis kerana telah digunakan untuk membeli buku latihan matematik dan matematik tambahan. Jadi, dia perlukan masa untuk mengumpul semula duit bagi membayar duit hadiah Cikgu Mariam.

"Hmm, sampai bila aku nak kena tunggu ni? Majlis Cikgu Mariam tu tak lama aje lagi. Lebih kurang dua minggu. Minggu depan mak dan ayah aku kebetulan nak beli barang dapur. Aku ingat masa itulah nak cari hadiah Cikgu Mariam."

Linda berkata lagi, menyebabkan Hawa tersedar daripada lamunan.

"Insya-Allah aku akan bagi duit tu minggu depan, boleh?" Hawa bertanya separuh memujuk.

"Hmm, yalah. Tapi, jangan tak bayar pulak."

"Yalah." Hawa menjawab perlahan.

Sedih pula apabila mengenangkan dia tidak mampu menyumbangkan duit untuk membeli hadiah Cikgu Mariam.

"Hawa, biarlah aku bayarkan dulu duit tu untuk kau. Kalau kau tak boleh nak bayar balik dalam masa terdekat ni, bila-bila pun kau boleh bayar."

Inas berkata apabila melihat air muka Hawa sudah berubah. Mesti gadis itu berasa sedih dan rendah diri.

"Tak apalah. Macam aku cakap tadi, aku tak nak asyik susahkan kau aje. Kau pun dah banyak sangat tolong aku." Hawa menjawab sambil mengukir senyuman.

"Hmm, kau tak nak cuba ke minta bantuan biasiswa? Hari tu aku dengar ada pelajar yang dapat bantuan tu kan?"

Hawa hanya senyum kelat.

"Nak minta macam mana, aku bukan pandai sangat pun. Kau sendiri tahu kan keputusan peperiksaan akhir tahun lepas aku macam mana. Cukup-cukup makan aje."

Inas terdiam. Dia hanya mampu memandang simpati kepada temannya itu. Kalaulah dia ada cara untuk membantu teman baiknya itu, memang dia akan buat. Tapi, Hawa asyik menolak sahaja bantuan yang mahu diberikan atas alasan dia sudah banyak membantu gadis tersebut.

Dia sedar Hawa mungkin rasa tak selesa kerana asyik menerima bantuannya sahaja. Tapi, dia ikhlas. Hawa teman baiknya dan dia rasa tak salah pun kalau dia bantu gadis itu, kan?

Tapi, apa pun keputusan Hawa, dia harus akur. Dia harus hormati permintaan Hawa. Dia hanya mampu berdoa agar kehidupan Hawa akan lebih baik di masa hadapan.


"HAWA? Awak buat apa dekat sini?"

Hawa yang sedang menyusun beberapa bungkus biskut di rak, spontan menoleh. Air liur yang ditelan terasa berpasir melihatkan Cikgu Mariam sedang memandangnya. Hawa cepat-cepat berdiri dan meletakkan bungkusan biskut secara rambang di rak.

"Err, cikgu buat apa dekat sini? Beli barang?" tanya Hawa tanpa menjawab soalan gurunya itu.

"Ya. Cikgu nak beli barang dapur sikit. Hmm, awak pula buat apa dekat sini?"

Hawa serba salah untuk berterus terang. Bimbang jika Cikgu Mariam fikir yang bukan-bukan pula. Namun, melihatkan wanita itu masih berdiri di situ seolah-olah menantikan jawapan daripadanya membuatkan Hawa tidak ada pilihan lain lagi.

"Err, saya kerja part-time di sini, cikgu."

Dahi Cikgu Mariam berkerut sedikit. "Kerja part-time? Kenapa pulak?"

Hawa garu kepala yang tidak gatal. Aduh, nak jawab apa ni? Takkan dia nak mengaku yang dia terpaksa bekerja separuh masa disebabkan nak bayar duit yang diminta oleh Linda tempoh hari?

"Err, sajalah cikgu. Cari duit poket lebih sikit." Hawa menjawab sambil tersengih bersalah.

Cikgu Mariam terdiam buat seketika. "Awak ada masalah kewangan ke?"

Deng! Sumpah Hawa rasa macam nak lari balik ketika itu. Malunya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Err, tak adalah cikgu. Saja aje." Hawa menjawab, mula rasa tidak senang hati.

Bimbang jika Cikgu Mariam dapat tahu punca dia sampai terpaksa buat kerja sementara di kedai runcit tersebut.

"Hmm, tak apalah kalau awak tak nak cerita. Tapi, satu cikgu nak pesan. Pelajaran tu tetap nombor satu, okey?" Cikgu Mariam berkata sambil memandang Hawa penuh makna.

Hawa gigit bibir bawah sebelum mengangguk. Dia rasa dia faham akan maksud tersirat yang ingin disampaikan oleh wanita itu.

"Tak apalah kalau macam tu. Cikgu pergi dulu."

Hawa turut mengekori wanita itu sehingga ke luar kedai. Dia melambai tangan kepada Cikgu Mariam yang sudah pun masuk ke dalam perut kereta.

Hawahanya berdiri tercegat di depan kedai runcit sehingga kereta yang dinaiki olehCikgu Mariam hilang daripada pandangan. Apalah nasib tak baik hari ini. Bolehpula terserempak dengan Cikgu Mariam.

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now