BAB 11

924 27 2
                                    

"WEI, Hawa. Mimpi apa kau bagi kita orang coklat ni? Ke kau ada letak racun?" Mira bertanya dengan suara kuat.

Anak matanya memandang Hawa yang sedang sibuk membahagi-bahagikan coklat yang diberikan oleh Cikgu Adam tadi kepada rakan-rakan sekelasnya.

Telinga Hawa mula terasa panas, namun dia tidak mengendahkan kata-kata tersebut. Dia tahu Mira memang akan sentiasa cuba mencari peluang untuk menyakitinya.

Inas menyentuh bahu Hawa, seolah-olah meminta gadis itu supaya bersabar.

"Jangan risau. Aku tak bodoh macam minah tu." Hawa berkata perlahan, namun boleh didengar oleh Mira yang duduk tidak jauh dari situ.

Mira mula sakit hati dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Hawa. Sangkanya, dia mampu membuatkan Hawa sakit hati dengan kata-katanya. Tapi sebaliknya, dia pula yang sakit hati.

"Inas, jangan makan coklat tu!" Mira tiba-tiba bersuara apabila melihat Inas sudah pun membuka balutan coklat Daim.

"Kenapa pulak?" soal Inas sambil memandang Mira dengan dahi berkerut.

Semua mata kini tertumpu kepada Mira, termasuklah Hawa.

"Aku kata jangan makan coklat tu. Sebab kita tak tahu dari mana Hawa dapat coklat ni. Yalah, dia tu mana ada duit. Nak bayar yuran sekolah pun tak mampu, kau orang rasa mana dia dapat coklat-coklat ni?"

Suasana di dalam kelas tersebut menjadi sunyi sepi. Ada di antara mereka yang merenung coklat yang diberikan oleh Hawa tadi dengan dahi berkerut, seolah-olah turut bersetuju dengan kata-kata Mira.

Hawa pejam mata, cuba menenangkan diri. Minah ni memang dah melampau!

"Kau tak nak cerita ke dari mana kau dapat coklat-coklat ni?"

Mira bertanya sambil tersenyum mengejek. Dia tahu pasti Hawa sakit hati sekarang.

"Bukan urusan kau." Hawa menjawab sambil sedaya upaya menahan diri daripada melontarkan kata-kata makian terhadap gadis itu.

Mira ketawa mengejek.

"Aku dah agak dah. Takkanlah kau nak cerita yang kau dah curi semua coklat-coklat ni kan? Lepas tu kau bagi kita orang makan supaya kita orang pun terjebak sama makan benda haram. Betul tak?"

Pap! Hawa tepuk meja dengan kuat. Dadanya turun naik sambil merenung marah kepada Mira.

"Kau ni betul-betul sudah melampau!"

Hawa sudah mula hilang sabar. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mencakar muka gadis itu.

"Apa pulak? Aku cuma risau aje. Yalah, sebab kita orang tak tahu dari mana kau dapat coklat ni. Betul tak kawan-kawan?" Mira memandang sekeliling.

Beberapa orang pelajar kelihatan mengangguk tanda setuju dengan kata-kata gadis itu.

"Urm, sorry Hawa. Aku baru teringat yang aku tak boleh makan coklat banyak sangat." Lily, salah seorang rakan sekelasnya memulangkan kembali coklat yang telah diberikan olehnya tadi.

Bukan Lily sahaja, malah beberapa orang pelajar lain juga turut berbuat demikian. Mungkin mereka bimbang termakan makanan haram.

Hawa genggam tangan, cuba menahan sabar. Hatinya bertambah sakit melihat senyuman sinis yang bermain di bibir Mira.

"Untuk pengetahuan kau orang, coklat ni bukan daripada sumber haram. Walaupun aku ni orang miskin, tak mampu nak bayar yuran sekolah, tapi aku masih waras lagi. Aku belum hilang akal lagi nak buat benda terkutuk tu. Kalau kau orang nak tahu, coklat ni Cikgu Adam yang bagi tadi. Dia beli untuk kita semua. Kalau kau orang tak percaya, pergilah tanya dia sendiri!"

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now