"SORRY Inas. Tak pasal-pasal kau pun terbabit sama." Hawa berkata sambil mengelap dahi yang basah dengan peluh.
"Tak ada hallah. Aku okey aje." Inas menjawab sambil menyingsing lengan baju sekolahnya ke paras siku.
Hawa yang sedang memegang batang berus yang akan digunakan untuk mencuci dinding kolam ikan, memandang Inas yang sudah mula mengosongkan kolam tersebut. Mujurlah dalam kolam tersebut tak ada sebarang hidupan kecuali beberapa ekor berudu dan katak.
Maklumlah, nama saja kolam ikan, tapi sudah lama ia terbiar. Dah tumbuh semak samun setinggi lutut pun. Dia sendiri tidak tahu apa motif Cikgu Adam menyuruh mereka membersihkan kolam tersebut. Sengaja nak mengenakan mereka agaknya.
"Tak adalah. Aku macam rasa bersalah pulak dekat kau. Yalah, sebabkan aku, kau pun kena hukum bersihkan kolam ni. Hmm, kau tak payahlah buat. Kau duduk aje kat sana. Biar aku buat sorang."
Hawa berkata, masih lagi dengan nada kesalnya.
"Isy, tak apalah. Lagipun, bukan selalu kita kena hukum sama-sama macam ni, kan?" Inas berkata sambil tersengih.
Hawa kerut dahi. Tak faham macam mana Inas masih lagi boleh tersenyum dalam keadaan begitu. Langsung tak rasa marah dengan apa yang berlaku.
"Inas, kau tak sakit hati atau rasa tak puas hati ke sebab kena hukum macam ni?" Hawa bertanya sambil mula mencuci dinding kolam tersebut dengan berus panjang.
Inas angkat bahu. "Entah. Nak marah sebab apa?"
"Tak adalah. Kau tak bersalah kut, tapi kau pun kena hukum sama."
Inas terdiam seolah-olah sedang berfikir.
"Mungkin bagi kau, aku tak bersalah. Tapi, tidak bagi Cikgu Adam, kan?"
Hawa mendiamkan diri. Hatinya kembali panas mendengar nama itu disebut.
"Hawa, sudahlah. Tak guna kau nak marah-marah atau sakit hati dengan Cikgu Adam tu. Dia buat apa yang dia rasa betul, kan? Lagipun, macamlah kita tak biasa kena hukum dan kena marah dengan cikgu." Inas menjawab sambil tergelak kecil.
Hawa mencebik.
"Aku terkilan sebab aku rasa macam dia nak aim aku. Aku rasa macam dia asyik nak cari pasal dengan aku aje." Hawa akhirnya meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.
"Alah, itu perasaan kau aje. Aku rasa dia tu not bad jugak. Cuma dia garang dan tegas sikit aje. Biasalah, setiap guru punya cara tersendiri dan kita tak bolehlah nak terus membanding-bandingkan, betul tak? Aku rasa, kau cuma frust sebab Cikgu Mariam tak ada. Betul tak?"
Hawa diam lagi. Hmm, betullah tu apa yang Inas cakap. Tapi, dia tetap tak setuju dengan cara Cikgu Adam. Kut ya pun garang dan tegas, janganlah melayannya sampai macam itu sekali. Macam mereka ini musuh tradisi sejak azali pula.
"Sudahlah, tak payah cakap hal ni lagi. Cepat kita habiskan cuci kolam ni, lagi cepat kita boleh masuk kelas. Lepas ni subjek Sejarah pula. Nanti tak pasal-pasal kita kena hukum pulak dengan Cikgu Salim."
Hawa hanya diam. Matanya tiba-tiba mengecil apabila terpandang sesuatu di dalam kolam tersebut. Dia kemudian memandang Inas yang sedang mencabut rumput di sekeliling kolam itu. Diam-diam, Hawa menolak berusnya dan mengangkat tinggi berus tersebut dan dihalakan ke arah Inas.
"Inas, tengok ni aku ada hadiah untuk kau."
"Mana?" Spontan Inas menoleh.
Namun, tak sampai dua saat, terdengar suara gadis itu menjerit kuat. "Katak!!!"
Hawa ketawa kuat melihat reaksi temannya itu.
"Wah, wah, wah. Seronok nampak."
Spontan Hawa dan Inas menoleh. Bibir Hawa digetap beberapa kali. Huh! Minah ni lagi. Entah apalah yang minah ni nak.
"Tak sangka, kena hukum cuci kolam ikan pun boleh buat kau orang berdua happy, kan? Oh, mungkin kerja ni memang sesuai dengan kau orang. Tukang cuci, kan?"
Mira ketawa mengilai dan disambut oleh Zara dan Isya, teman sehidup sematinya.
"Kau buat apa dekat sini? Ponteng kelas jugak ke?" Inas bertanya sinis.
Mira berhenti ketawa. Dia kemudian berjalan menghampiri kolam ikan tersebut.
"Sajalah. Nak pantau kau orang berdua sama ada kau curi tulang ke tak." Mira menjawab sinis.
Hawa merengus kasar. Wah, sakit hati betul mendengar jawapan gadis itu. Apa, ingat dia ada mandat besar nak pantau-pantau mereka buat kerja?
"Kenapa? Kau dah jadi balaci Cikgu Adam ke? Jadi kuli dia pantau kita orang buat kerja?" Hawa bertanya sinis.
Berubah terus air muka Mira ketika itu. Dia lantas tunduk dan mengutip beberapa biji batu.
"Jaga-jaga. Kalau kau berani nak cari pasal, aku adukan pada cikgu disiplin." Inas berkata apabila dia seperti sudah boleh membaca apa yang mahu dilakukan oleh Mira.
Mira merenung tajam ke arah mereka. Dadanya turun naik seolah-olah menahan geram.
"Kau jangan ingat kau akan terlepas. Kau tunggu ajelah nanti." Mira berkata sambil melontarkan kembali batu-batu tersebut ke tanah.
Hawa sengih mengejek. Tahu takut. "Mira..."
Mira spontan menoleh. "Apa?"
Hawa sengih lagi. "Aku ada hadiah untuk kau."
Hawa dan Inas saling berpandangan. Bibir Hawa masih lagi mengukir senyuman penuh makna, manakala Inas pula jongket kening. Dia semacam boleh mengagak apa 'hadiah' yang mahu diberikan oleh Hawa itu.
"Hadiah? Hadiah apa?" Mira tayang riak keliru.
"Ni hah! Hadiah yang paling sesuai untuk orang macam kau!"
Hawa terus mengacah-acah berus ke arah gadis itu. Bulat mata Mira melihat seekor katak sedang elok duduk di atas berus yang diacah-acah ke arahnya.
"Mak! Katak!!!" Mira menjerit kuat sebelum lari lintang-pukang meninggalkan tempat tersebut diikuti oleh Zara dan Isya.
Hawa dan Inas spontan ketawa besar. Baru puas hati mereka kerana dapat mengenakan Mira yang kaki penyibuk tu.
"Rasakan. Padan muka minah tu. Menyibuk aje kan." Inas berkata sambil mengesat sisa air mata yang keluar akibat terlalu banyak ketawa.
Hawa hanya tersengih, namun senyumannya terus mati apabila pandangan matanya bertembung dengan pandangan Cikgu Adam yang sedang memerhatikan mereka dari tingkap bilik guru di tingkat dua. Gulp!
Sudah berapa lama CikguAdam berada di situ memerhatikan mereka?
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
RomanceTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...