BAB 2

1.9K 25 1
                                    

"KITA nak buat persembahan apa untuk majlis bersara Cikgu Mariam nanti?" Linda yang sedang menyapu lantai tiba-tiba bertanya.

Hawa yang sedang mengelap tingkap, menoleh kepada Linda.

"Persembahan? Kita kena buat persembahan ke?" soal Azmi pula.

Lelaki itu turut sibuk mengelap tingkap.

Memang sudah jadi rutin harian mereka setiap pagi. Sebelum loceng pagi dibunyikan, setiap pelajar akan melakukan tugasan yang telah ditetapkan secara bergilir-gilir. Kepada pelajar yang tidak bertugas membersihkan kelas pada waktu pagi akan berada di sekitar kawasan sekolah yang ditetapkan untuk membersihkan kawasan tersebut.

Linda berhenti menyapu lantai.

"Yalah. Takkan kita tak nak buat apa-apa persembahan. Aku dengar budak kelas lain dah mula berlatih pun. Kan majlis tu beberapa minggu aje lagi."

Hawa masih mendiamkan diri sambil meneruskan kerja-kerja membersihkan tingkap. Otaknya ligat berfikir. Persembahan apa yang boleh mereka lakukan?

Nak menyanyi? Isy, malulah nak menyanyi depan orang ramai. Suaranya pun bukan sedap sangat. Setakat menyanyi dekat dalam bilik air, bolehlah.

Habis tu, nak buat apa?

"Apa kata kalau kita buat persembahan lakonan?"

Inas yang baru muncul daripada membuang sampah, tiba-tiba menyampuk.

Semua mata memandang ke pintu belakang. Inas yang sedang meletakkan tong sampah, tidak sedar yang dirinya sedang diperhatikan.

"Wei, apa hal semua pandang aku macam tu? Aku ada salah cakap ke?" Inas bertanya dengan dahi berkerut sambil mengibas kedua-dua belah tangannya.

"Berlakon? Nak berlakon apa?" Giliran Hawa bertanya setelah sekian lama mendiamkan diri.

Inas angkat bahu.

"Entah. Aku hanya bagi cadangan aje." Inas berkata sambil berjalan dan duduk di hujung meja tidak jauh daripada Hawa.

Masing-masing terdiam, seolah-olah memikirkan cadangan Inas dengan serius.

"Aku rasa macam okey jugak. Kita buat lakonanlah." Linda berkata sambil menggosok dagu.

"Nak berlakon apa? Kau reti ke berlakon?"

Ahmad yang baru selesai dengan tugasannya menyusun meja dan kerusi, turut menyampuk.

"Alah, kita buat lakonan biasa-biasa sudahlah. Bukan nak pergi uji bakat pun. Kita buat lakonan tentang kehidupan kita di sekolah bersama-sama Cikgu Mariam, nak?"

Linda berkata sambil melontarkan idea yang terlintas di fikirannya.

Sekali lagi semua yang berada di situ terdiam, seolah-olah berfikir.

"Okey jugak tu." Hawa berkata lagi.

"Aku pun rasa idea tu okey. Kau orang macam mana?"

Inas bertanya sambil memandang Azmi dan Ahmad.

"Okey aje. Bila nak berlatih?" Ahmad bertanya lagi.

"Kejap lagi kita bincang dengan budak-budak lain. Lepas tu baru kita decide bila nak berlatih. Okey tak?" Inas memberikan cadangan.

"Set!"

"Apa hal kecoh-kecoh ni?"

Serentak, semua menoleh ke arah pintu. Mira, salah seorang teman sekelas mereka muncul sambil diiringi oleh Zara dan Isya.

"Kita orang nak buat persembahan lakonan sempena hari persaraan Cikgu Mariam. Kau nak join tak?" Linda bertanya sambil memandang Mira.

"Berlakon? Kau orang reti ke berlakon? Jangan buat malu sudahlah." Mira berkata sambil memandang Hawa sinis.

Hawa kerut dahi apabila sedar kata-kata tersebut mungkin dituju kepadanya.

"Kalau kau tak nak join, sudah. Tak payah nak sindir-sindir kita orang macam tu." Inas mula bersuara dengan nada tidak puas hati.

Mira mencebik sambil mengirai rambutnya dengan hujung jari.

"Memang tak ingin pun aku nak join persembahan kau orang yang entah apa-apa tu. Lagipun, aku dah ada pelan sendiri," jawab Mira sedikit angkuh.

"Ya ke? Apa pelan kau?" tanya Linda ingin tahu.

"Adalah. Yang pasti, mesti lagi gempak daripada persembahan kau orang nanti." Mira berkata bangga.

Semua yang berada di situ tayang muka meluat sebelum satu per satu bergerak meninggalkan tempat tersebut. Malas nak melayan minah kuat perasan itu.


ADAM merebahkan badan di kerusi. Mata agak berat. Sempat dia menjeling jam di dinding. Baru pukul 10.00 malam. Awal lagi. Terasa rugi pula kalau nak masuk tidur sekarang.

Adam termenung memikirkan hari esok. Tiba-tiba dada terasa berdebar-debar pula. Dia sendiri tidak menyangka yang permohonannya mahu menjadi Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang dihantar di pejabat pendidikan diterima.

Baru pagi tadi dia menerima panggilan telefon daripada pejabat pendidikan memaklumkan perkara tersebut. Mengikut kata kerani yang menghubunginya tadi, surat rasmi bakal menyusul dua tiga hari lagi.

Apa yang membuatkan dia sedikit lega adalah lokasi sekolah yang bakal menjadi tempat dia mengajar nanti terletak tidak jauh dari rumahnya. Maka, tak perlulah dia runsing akan soal tempat tinggal. Syukur!

Tak sangka rezekinya datang mencurah-curah. Betullah orang kata. Jika kita berbuat baik kepada orang tua kita, nescaya Allah akan membalasnya dengan rezeki yang tidak terjangka.

Mengikut kata kerani tadi, tempoh dia menjadi GSTT adalah selama setahun dan kontrak tersebut akan diperbaharui jika prestasinya memuaskan.

Walaupun dia tidak mempunyai ijazah dalam bidang pendidikan, namun dia bersyukur kerana Allah telah melorongkan dia untuk terjun dalam bidang tersebut. Minatnya dalam bidang pendidikan mula bercambah ketika dia mengikuti program bersama-sama anak yatim ketika di universiti dahulu.

Dalam program tersebut, dia dan beberapa orang rakan sekuliah telah memberikan tuisyen secara percuma anak-anak yatim terpilih. Anak-anak yatim pula terdiri daripada pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

Apa yang membuatkan semangatnya berkobar-kobar mahu menjadi pendidik adalah ketika dia berpeluang merasai bagaimana seronoknya apabila menerima pengkhabaran tentang kejayaan anak-anak didiknya itu.

Setelah taman pengajian, dia cuba merisik peluang dengan menghantar borang permohonan untuk menjadi GSTT di pejabat pendidikan daerah. Tak sangka pula permohonannya diterima. Terasa seperti bulan jatuh ke riba pula!

Jadi,esok merupakan permulaan kepada karier barunya. Dia berdoa supaya semunyadipermudahkan.

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now