"BANGUN! Assalamualaikum, cikgu."
Hawa cepat-cepat menutup novelnya dan disimpan di bawah meja. Namun, mulutnya terlopong apabila melihat siapa yang sedang berdiri di hadapan kelas. Kenapa dia pula yang masuk? Bukankah sekarang waktu subjek Bahasa Melayu? Takkanlah lelaki ni gila kuasa sampai semua subjek pun dia nak sapu?
"Inas, sekarang subjek BM kan?" Hawa berbisik setelah mereka diberikan kebenaran untuk duduk oleh Cikgu Adam.
"Ha'ah."
"Habis tu, apa dia buat dekat sini?" Hawa bertanya dengan nada sedikit kuat, membuatkan beberapa orang pelajar berpaling ke arah mereka.
Adam yang baru sahaja mahu mengambil tempat duduk di meja guru, turut angkat kepala memandang Hawa. Macamlah dia tak boleh dengar akan kata-kata gadis itu. Hmm, nampak sangatlah Hawa tak suka akan kehadirannya di situ. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia bertanya terus kepada gadis itu apa yang tak kena sampai macam itu sekali gadis itu tak sukakannya.
Inas menyenggol lengan Hawa apabila menyedari suara mereka mungkin telah didengari oleh lelaki itu.
Hawa hanya ketap bibir. Rasa keliru dan tidak puas hati masih bermain-main dalam fikirannya. Takkan Cikgu Adam silap tengok jadual kut?
Adam masih merenung Hawa yang kelihatan seperti sedang memeriksa jadual kelasnya. Dia menggeleng. Hawa, Hawa. Bersungguh-sungguh benar.
"Hari ini Cikgu Normah tak masuk kelas. MC. Jadi, saya akan ganti waktu ni."
Hawa tidak mampu menyorok rasa kecewa dalam dirinya. Dalam ramai-ramai cikgu, kenapalah Cikgu Adam yang muncul?
Adam merengus perlahan. Dah agak dah. Hawa langsung tak sorok riak wajah kecewanya. Terasa geram pula apabila memikirkan sampai macam itu sekali reaksi Hawa ketika melihat kehadirannya di situ. Rasa macam jam itu juga nak panggil Hawa dan berbicara daripada hati ke hati akan masalah mereka.
Tapi, dia tahu itu mustahil. Nak bercakap soal biasa pun susah, inikan pula nak berbicara daripada hati ke hati.
"Kita nak buat apa hari ni, cikgu?"
Adam tersedar daripada lamunan. Dia menoleh ke arah Siti yang kelihatan teruja. Jauh beza betul dengan reaksi yang ditunjukkan oleh Hawa.
"Hmm, memandangkan hari ni tak ada subjek matematik tambahan dan saya yakin tak ada seorang pun daripada awak yang bawa buku matematik tambahan, jadi hari ni saya bagi kebebasan untuk awak buat kerja sendiri. Tapi ingat, jangan buat bising."
"Yes!" Terdengar suara beberapa rakan sekelas mereka yang bersorak gembira.
Memang waktu relief merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar kerana selalunya cikgu yang menggantikan waktu relief takkan bagi kerja tambahan kepada mereka.
"Fuh, nasib baik. Bolehlah aku siapkan sikit karangan yang Cikgu Normah bagi hari tu." Inas berkata sambil tangan laju menulis beberapa baris ayat pada karangannya.
Hawa tidak bersuara. Lega juga apabila Cikgu Adam tidak memberikan kerja rumah subjek matematik tambahan. Kalau tidak, masak! Macamlah SPM tu esok lusa!
Hawa mengeluarkan novel yang baru suku dibacanya dari bawah meja. Kalau dia boleh habis baca novel ini cepat, lagi cepatlah dia boleh pulangkan ke perpustakaan dan pinjam novel lain pula.
Adam tunduk menanda latihan yang dihantar oleh pelajar tingkatan empat semalam. Sesekali dia berhenti menanda dan memandang sekeliling. Sekadar membuat pemantauan rambang akan telatah pelajarnya.
Masing-masing sibuk dengan kerja sendiri. Ada yang senyap sambil membuat latihan, ada juga yang berbual dan bergurau senda seolah-olah SPM tu lambat lagi.
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
RomanceTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...