HAWA dan Inas baru sahaja mahu melangkah untuk ke tapak perhimpunan, namun terhalang apabila Mira muncul tiba-tiba di hadapan mereka.
"Aku dengar Cikgu Adam buat kelas ekstra untuk kau. Betul ke?" tanya Mira dengan nada yang menyakitkan hati.
Kening Hawa terangkat sebelah. Tak sangka cepat betul berita itu tersebar.
"Kenapa kau tanya?" soal Hawa, langsung tidak ada niat mahu menjawab soalan gadis itu.
"Saja. Jadi, betul ke tidak?" Mira bertanya lagi, tidak sabar.
"Betul atau tidak, itu bukan urusan kau kan?"
Riak wajah Mira berubah mendengar jawapan balas daripada gadis itu.
"Aku tahu kenapa Cikgu Adam buat kelas ekstra untuk kau seorang aje."
"Oh ya ke cik serba tahu?" Hawa berkata, separuh mengejek.
Hati Mira semakin panas melihat Hawa seolah-olah mahu menaikkan kemarahannya.
"Yalah. Sebab kau tu bengap sangat. Bukan ke kau asyik fail aje sejak tingkatan empat lagi? Sebab tu Cikgu Adam terpaksa buat kelas ekstra untuk kau. Cuma aku kasihan dengan dia. Yalah, usaha dia tu sia-sia aje sebab walaupun dengan kelas ekstra sekalipun, aku tak rasa kau boleh lulus. Maklumlah, bengap kan. Kira macam orang tua-tua kata, bagai curah air ke daun keladi."
Mira berkata sambil ketawa mengejek.
Dada Hawa mula turun naik. Api kemarahannya sudah memuncak. Telinga pula berdesing mendengar kata-kata penghinaan daripada gadis itu. Tanpa sedar, tangannya tergenggam kuat seolah-olah sudah bersiap sedia mahu diayunkan ke muka Mira.
"Awak semua buat apa lagi dekat sini? Bukan ke loceng dah berbunyi lima minit yang lalu?"
Semua yang berada di situ spontan menoleh. Masing-masing diam membisu melihat Cikgu Adam di situ.
Adam mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena kerana dia dapat merasai suasana tegang di situ. Dia memandang Mira yang jelas mempamerkan riak wajah serius. Kemudian beralih pula kepada Hawa yang tunduk sebelum anak matanya terarah ke tangan gadis itu yang tergenggam kuat.
Adam beranggapan Hawa dan Mira pasti bertegang urat lagi.
"Sudah, pergi ke tapak perhimpunan sekarang," arah Adam dengan tegas.
"Baik, cikgu." Inas berkata sebelum masing-masing mula mengatur langkah.
"Hawa, tunggu kejap."
Spontan kaki Hawa berhenti melangkah. Mata dipejam seolah-olah tidak berpuas hati kerana sangkanya, pasti Cikgu Adam mahu membebel lagi. Dia yakin Cikgu Adam pasti boleh menangkap apa yang sedang berlaku sebentar tadi.
Mira sempat menghadiahkan jelingan maut kepadanya. Namun, Hawa baru perasan sesuatu daripada pandangan mata gadis itu. OMG! Adakah Mira cemburu?
"Hawa..."
"Hah?" Hawa tersentak sebelum menoleh. Terkebil-kebil matanya memandang wajah Cikgu Adam yang masih tayang riak serius.
Adakah benar Mira ada hati dengan Cikgu Adam? Sebab itu Mira sakit hati apabila dengar berita Cikgu Adam buat kelas persendirian untuknya?
"Hawa? Dengar tak apa saya tanya ni?"
Buat kali kedua, Hawa tersentak.
"Err, apa dia cikgu?" soal Hawa sedikit keliru dengan kenyataan yang Mira mungkin punya hati terhadap guru muda yang sedang berdiri di hadapannya itu.
Dahi Adam berkerut sedikit melihat Hawa seolah-olah sedang mengelamun.
"Saya tanya, awak bergaduh lagi ke dengan Mira?"
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
RomanceTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...