"AMBOI, banyaknya dapat hadiah."
Adam yang sedang leka menonton berita di kaca televisyen, menoleh apabila disapa.
"Biasa aje ma. Rasanya tak boleh lawan dengan ma dulu."
Puan Mariam turut tersenyum sebelum meletakkan salah satu kotak hadiah pemberian pelajar anak lelakinya itu. Tidak dinafikan, dulu dia antara guru yang menerima paling hadiah banyak daripada pelajar menjelang Hari Guru. Kadangkala, sampai penuh but keretanya.
Namun, bukanlah perkara itu yang dirinduinya. Banyak kenangan yang dirinduinya semasa dia masih bergelar guru dulu.
"Macam mana dengan sekolah? Okey ke?" Puan Mariam bertanya sebelum mengambil tempat di sebelah anak bujangnya itu.
"Okeylah ma. Biasalah budak-budak sekarang ni. Perangai lain macam. Kadangkala tu sampai Adam tak tahu macam mana nak handle."
Puan Mariam tersenyum lagi.
"Itulah, Adam juga yang sibuk nak jadi pendidik kan. Nak jadi macam mama. Kalau Adam jadi engineer macam arwah pa, kan senang. Tak payah pening-pening kepala nak hadap kerenah budak-budak tu."
"Alah, kerja apa pun sama jugak ma. Cuma Adam hairan. Macam mana mama handle budak-budak tu dulu? Maksud Adam, mama tak pernah pun cerita betapa susahnya jadi cikgu. Kalau dulu, mama cerita yang manis-manis aje sampai Adam pun terpengaruh nak jadi pendidik."
Adam merenung wajah ibunya dengan perasaan ingin tahu. Sekali lagi Puan Mariam menghadiahkan sneyuman buat anak lelakinya itu.
"Kita ni Adam, kalau nak buat sesuatu kerja tu mestilah ikhlas. Minat sahaja tak cukup tau kalau hati tak ikhlas. Kalau jiwa tak kental, alamatnya kita juga yang akan menyesal. Macam yang Adam sendiri cakaplah. Budak zaman sekarang ni bukan macam zaman dulu.
"Kalau dulu, kita nak hukum pelajar dengan rotan pun tak ada masalah. Tak ada sesiapa yang larang. Kalau dulu, kerjaya sebagai guru ni memang kerjaya yang dipandang mulia. Kalau pergi mana-mana, memang akan dihormati, terutama oleh ibu bapa.
"Tapi, zaman dah berubah. Jadi, tugas mendidik pun dah semakin mencabar. Kalau kita tak kuat, jiwa tak kental dan tak ada sifat sabar, alamat memang tak ke manalah. Sudahnya, anak-anak didik kita yang akan jadi mangsa.
"Mama kalau boleh, tak nak Adam anggap kerjaya sebagai pendidik ni hanya sebagai kerja sahaja. Tapi, mama nak Adam anggap kerjaya sebagai pendidik ni sebagai satu amanah yang Adam kena galas seikhlas hati dengan penuh tanggungjawab.
"Ingat, walaupun sesetengah orang sering memandang serong akan kerjaya sebagai pendidik, tapi mereka tak sedar yang masa depan negara terletak di tangan para pendidik. Siapa yang akan mentadbir negara, jika tidak ada insan bergelar pendidik untuk mendidik anak-anak kita? Generasi masa depan negara?"
"Adam faham dan akan sentiasa ingat pesan mama tu. Terima kasih ma sebab mama selalu ada di sisi Adam, sentiasa jadi cikgu yang baik dalam mendidik Adam sejak kecil lagi. Tak hairanlah kalau ada pelajar yang sayangkan mama sampai nangis-nangis bila mama nak bersara dulu."
Adam berkata sambil mengukir senyuman penuh makna.
Puan Mariam tergelak kecil kerana dia faham maksud anaknya itu.
"Hmm, macam mana dengan Hawa? Dia okey ke? Lama dah mama tak dengar pasal cerita dia."
Kali ini bibir Puan Mariam pula mengukir senyuman penuh makna.
Adam pura-pura berlagak tenang. Matanya kembali pada skrin televisyen walaupun jantungnya mula berubah detak tatkala nama gadis itu disebut. Sedaya upaya dia cuba mengawal riak wajahnya supaya tidak berubah ketika bayangan wajah Hawa menyapa ingatannya.
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
רומנטיקהTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...