KEDENGARAN tepukan gemurah memenuhi dewan Sultan Abdullah sebaik selesai sahaja persembahan yang telah dilakukan oleh para pelajar Tingkatan 5 Delima.
Senyum tak putus-putus terukir di bibir setiap pelajar yang terlibat dalam pementasan tersebut apabila hadirin yang berada di dalam dewan begitu bersemangat memberikan tepukan termasuklah guru-guru. Hawa turut tidak mampu menahan senyuman yang semakin melebar di bibirnya.
"Wah, tak sangka ramai puji lakonan kita kan?" Inas berkata, meluahkan rasa puas hati dan gembira ketika mereka berjalan keluar dari atas pentas menuju ke belakang.
"Ha'ahlah. Aku mulanya risau juga. Yalah, kita dahlah tak buat persediaan yang cukup. Nasib baiklah semuanya okey aje kan? Setakat lupa dialog sikit-sikit tu, biasalah, kan? Harap-harap Cikgu Mariam sukalah dengan persembahan kita tadi." Hawa berkata sambil menanggalkan props yang dipakai di tubuhnya.
"Aduh!" Hawa spontan menggosok bahunya yang seperti dilanggar seseorang dari belakang.
"Hei, mata tu letak mana? Kepala lutut?" Hawa ketap bibir cuba menahan marah.
"Kau apa hal Mira? Tak puas hati dengan aku?"
"Aku memang selalu tak puas hati dengan kau. Kenapa? Nak gaduh?" Mira berkata sambil mengejek.
Tangan Hawa tergenggam erat, sudah bersiap sedia mahu diayunkan ke muka gadis itu. Namun, Inas yang perasan akan keadaan itu cepat-cepat memegang pergelangan tangan teman baiknya itu. Inas menggelengkan kepala seolah-olah memberikan isyarat supaya jangan cuba memulakan sebarang pergaduhan.
Mira masih lagi tayang sengih mengejek. Matanya turun naik memandang tubuh Hawa. Dia mencebik.
"Inas, kalau aku jadi kau, aku takkan berkawan dengan minah ni. Miskin. Kau tengok ajelah baju dan kasut sekolahnya. Koyak sana sini. Seriously, keluarga kau memang langsung tak mampu ke nak belikan kau walau sepasang kasut baru?"
Mira bertanya sinis sambil merenung kasut sekolah Hawa yang sudah pun koyak dan berbulu-bulu.
Spontan Hawa merenung ke lantai. Wajahnya sudah mula merah menahan malu. Malu apabila suara Mira yang seperti sengaja dikuatkan itu didengari oleh hampir semua orang yang berada di bahagian belakang pentas tersebut.
"Biar kita miskin harta, tapi jangan miskin budi bahasa. Terus terang aku cakap, walaupun kau kaya, tapi nampaknya kau miskin budi bahasa. Rasanya orang yang duduk tepi jalan tu pun lebih beradab daripada kau."
Inas cepat-cepat membidas kata-kata Mira.
Berubah terus riak wajah Mira mendengar jawapan gadis itu. Tangan diangkat tinggi seolah-olah mahu menampar mulut Inas.
"Kenapa? Kau nak pukul aku? Pukullah kalau berani!" Inas berkata separuh mencabar.
Mira teragak-agak buat seketika. Bukan kerana dia takut dengan Inas, tapi dia tahu jika dia memukul gadis itu, pasti kes ini akan dibawa ke Lembaga Disiplin Sekolah dan dia juga yang akan menghadapi masalah.
Lagipun, dia kenal siapa Inas. Antara anak orang berada di kawasan tersebut. Malah, keluarga Inas boleh dikategorikan sebagai lebih kaya sedikit daripada keluarganya.
Sejak dari dulu lagi dia cuba merapati Inas setelah mengetahui siapa keluarga Inas. Namun, gadis itu lebih senang bergaul dengan orang-orang kebanyakan seperti Hawa. Entah apalah yang seronok sangat bergaul dengan orang miskin macam itu.
"Kau akan menyesal sebab bergaul dengan orang macam Hawa ni." Mira berkata sambil merenung tajam Hawa yang masih diam membisu.
Inas memutarkan bebola matanya ke atas.
YOU ARE READING
AKU ADALAH HAWAMU
RomanceTajuk: AKU ADALAH HAWAMU Penulis: CAHAYA AINN Harga: RM25 / RM28 ISBN: 978-967-2116-78-3 "Err, saya... err... tunggu kawan.""Tunggu kawan? Siapa?""Hawa! Selamat. Bukan Cikgu Adam yang masuk ke kelas..." Adam Zikri. Disebabkan lelaki ini, hidup Hawa...