BAB 14

929 29 1
                                    

16 Mei. Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba.

Bukan sahaja para pendidik bergelar guru, Hawa turut tidak terkecuali. Sejak dia menjejakkan kaki di pintu pagar sekolah, jantungnya sudah mula berdegup kencang. Sejak tibanya di sekolah, entah sudah berapa kali dia memeriksa beg sekolahnya. Sekadar mahu memastikan benda itu masih ada dalam begnya.

"Hawa, kau okey ke? Kenapa kau nampak macam gelisah aje dari tadi?" Inas yang baru muncul entah dari mana, menegurnya.

"Hah? Err, tak ada apalah. Aku okey aje." Hawa menjawab, masih lagi tidak mampu mengawal debaran di dada.

Dia tidak pasti apa yang akan berlaku nanti ketika dia menyerahkan benda itu kepada Cikgu Adam.

"Ya ke? Kalau macam tu, tak apalah."

Hawa menarik nafas lega kerana Inas tidak memanjangkan isu tersebut.

"Wah, cantiknya. Mesti mahal kan?"

Spontan Hawa menoleh. Kelihatan Zara sedang memandang teruja pada jam tangan di atas meja Mira. Wajah Mira pula kelihatan bangga apabila dipuji oleh teman baiknya itu. Sedar Hawa sedang memandang ke arah mereka, Mira semakin galak menayang jam tangan tersebut.

"Mestilah cantik. Jam branded ni. Nak tahu harganya berapa?" Mira bertanya sambil memandang sinis ke arah Hawa.

Hawa segera memalingkan kepala ke arah lain.

"Berapa harga jam ni?" Isya pula bertanya.

"Seribu ringgit you know. Kau hado?" Mira berkata sambil ketawa galak.

Hawa buat-buat tidak dengar akan gelak ketawa gadis itu. Namun, telan air liur jugalah mendengar harga jam tangan tersebut.

"Wah, mahalnya. Tapi, kau nak bagi dekat siapa jam tangan ni?" Zara bertanya, sempat menjeling Hawa sekilas.

Dia tahu Mira memang sengaja mahu menyakitkan hati Hawa dan dia selaku teman baik Mira pasti akan menyokong sepenuhnya niat gadis itu.

"Aku nak bagi jam ni dekat... Cikgu Adam!" Mira menjawab dengan bangga.

Mata tidak lari daripada memerhatikan Hawa yang kelihatan masih tidak bergerak di kerusinya. Dia mahu Hawa tahu yang gadis itu takkan mampu hendak menandinginya.

Perasaan benci terhadap Hawa semakin membuak-buak apabila mengetahui yang gadis itu mengikuti kelas persendirian dengan Cikgu Adam. Entah jampi apalah yang minah itu telah lakukan terhadap Cikgu Adam.

Kalaulah bukan disebabkan egonya yang tinggi melangit, sudah lama dia bertanya terus kepada Cikgu Adam, apa hubungan lelaki itu dengan Hawa sampai lelaki itu sanggup nak bazirkan masa demi gadis itu.

Berderau darah Hawa mendengar kata-kata Mira itu. Jadi, jam mahal itu Mira nak beri kepada Cikgu Adam?

Tiba-tiba dia rasa kerdil pula apabila memikirkan apa yang dia bakal berikan kepada lelaki itu. Macam langit dan bumi saja bezanya daripada hadiah Mira.

"Kau orang berdua rasa, Cikgu Adam happy tak bila dia terima hadiah aku ni?" Mira semakin galak bertanya.

"Eh, mestilah suka. Jam mahal tu. Entah-entah Cikgu Adam pun tak ada jam mahal macam tu, kan Isya."

"Oi Hawa, kau beli apa untuk Cikgu Adam? Aku berani bet yang kau mampu beri ulam-ulam aje kan? Mesti tak ada duit nak beli hadiah mahal macam aku, betul tak?"

Mira berkata separuh mengejek sebelum disambut dengan tawa besar Zara dan Isya.

"Kau ni kurang ajar kan, Mira. Apa salah Hawa sampai kau tak habis-habis nak cari pasal dengan dia?"

Inas yang sedari tadi hanya mendengar, sudah hilang sifat sabarnya. Hatinya juga sakit dengan sikap teman-teman sekelas yang lain, yang hanya membatu dan sibuk dengan urusan masing-masing. Langsung tak cuba menegur sikap Mira yang semakin melampaui batas itu.

"Kau diam, Inas. Aku bukan cakap dengan kau." Mira menjeling tajam.

Inas baru sahaja mahu membuka mulut untuk membalas kata-kata tersebut, namun Hawa cepat-cepat menahan. Tanpa berkata apa-apa, Hawa bangun dari tempat duduknya dan menggalas beg sekolah ke bahu sebelum keluar dari kelas tersebut.


HAWA merenung kotak panjang yang berbalut kemas di tangan dengan fikiran yang kosong. Apabila teringatkan kata-kata Mira, dia turut senyum sinis kepada diri sendiri.

Macam mana dia tidak terfikir akan hal itu? Macam mana dia boleh terfikir mahu memberikan hadiah ini kepada Cikgu Adam?

Membayangkan berapa banyak dan berapa mahal hadiah yang diterima oleh lelaki itu, Hawa jadi malu sendiri. Pasti hadiahnya ini tak setanding dengan hadiah daripada pelajar lain.

"Hawa? Apa awak buat dekat sini?"

Berderau darah Hawa mendengar suara itu. Tanpa berlengah, cepat-cepat dia menyumbat kotak hadiah itu ke dalam beg sebelum berpaling.

"Saya... ambil angin kejap."

Kening Adam terangkat sebelah. "Ambil angin?"

"Ya." Hawa menjawab, cuba mengekalkan riak wajah bersahaja walaupun dia merasakan alasannya itu agak pelik.

"Kenapa tak ke dewan? Takkan nak ponteng lagi? Hari ni kan Hari Guru."

Hawa baru sahaja mahu membuka mulut, namun terhenti apabila matanya terpandang kotak hadiah di tangan Cikgu Adam. Dia yakin kotak tersebut hadiah daripada Mira. Nampaknya Mira sudah pun menyerahkan hadiah mahalnya kepada lelaki itu. Pasti Cikgu Adam gembira dan terharu dengan pemberian mahal tersebut.

Tiba-tiba hatinya sedih dan dia sendiri tidak tahu kenapa dia berasa begitu.

"Hawa? Awak okey ke ni?" Adam bertanya lagi apabila dia perasan riak wajah gadis itu agak keruh.

Hawa yang masih tunduk, menggelengkan kepala. "Tak ada apa-apa. Hmm, saya nak ke dewan dulu."

Hawa bingkas bangun dan mengatur langkah mahu meninggalkan tempat tersebut.

"Hawa?"

Spontan Hawa menoleh.

"Tak ada hadiah untuk saya ke? Sekurang-kurangnya ucapan selamat Hari Guru?"

Wajah Hawa berubah merah mendengarkan pertanyaan lelaki itu. Hatinya mula berbelah bahagi mengingatkan hadiah pen yang dibelinya dengan menggunakan duit simpanannya yang terakhir.

Hawa menyeluk tangan ke dalam begnya, namun terhenti apabila sekali lagi anak matanya jatuh pada kotak hadiah di tangan Cikgu Adam.

"Selamat Hari Guru. Itu aje yang saya mampu berikan sebagai hadiah untuk cikgu. Maaf, saya pergi dulu."

Tanpa sempat Adam memberi respons, Hawa terus berlalu dari situ.

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now