BAB 4

1.2K 23 0
                                    

"BANGUN! Assalamualaikum, cikgu!"

Hawa yang baru sahaja mahu membandingkan jalan kerjanya dengan jalan kerja yang dibuat oleh Inas spontan angkat kepala. Dahinya berkerut melihat cikgu yang sedang berdiri di hadapan kelas ketika itu.

Eh, bukankah ini cikgu baru yang diperkenalkan di perhimpunan tadi? Cikgu yang memegang gelaran Guru Sandaran Tidak Terlatih?

"Hawa, bangunlah!" Inas mencuit lengan Hawa yang masih kekal duduk di tempatnya.

Cepat-cepat Hawa berdiri apabila sedar dia sahaja yang tidak berbuat demikian.

"Waalaikumussalam. Sila duduk."

Hawa kembali duduk. Begitu juga dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

"Inas, sekarang bukan ke waktu Cikgu Mariam?" Hawa bertanya sambil tangannya laju memeriksa jadual waktu pada hari itu.

"Yalah. Tapi, kenapa bukan Cikgu Mariam yang masuk? Dia ada hal ke? Atau tak sihat?"

Mendengarkan ayat terakhir Inas, hati Hawa agak risau. Betul ke Cikgu Mariam tak sihat?

"Baiklah. Sebelum memulakan kelas kita pada hari ini, saya nak perkenalkan diri saya. Nama saya Adam. Adam Zikri. Boleh panggil saya Cikgu Adam."

Mata Hawa tajam merenung wajah guru lelaki yang sedang berdiri di hadapan kelas tersebut. Entah kenapa, hatinya agak tidak senang dengan kehadiran guru tersebut.

"Mana Cikgu Mariam?" soal Hawa tanpa mampu ditahan-tahan.

Spontan semua mata tertumpu ke arahnya, termasuklah Adam.

"Cikgu Mariam tak sihat. Dia minta saya gantikan kelas untuk hari ini."

Rasa risau semakin memuncak mendengarkan jawapan itu.

"Baiklah, sebelum mulakan kelas, saya nak..."

"Cikgu Mariam sakit apa?" soal Hawa lagi.

Nada suaranya kedengaran sedikit tidak puas hati apabila guru tersebut seolah-olah menganggap perkara itu hanya perkara remeh.

"Hawa..." Inas di sebelah sudah berbisik seolah-olah memberikan amaran.

Namun, Hawa tidak peduli. Hatinya tak tenteram selagi dia tak tahu keadaan sebenar guru kesayangannya itu.

"Siapa nama awak?" soal Adam sambil memandang tepat ke arah Hawa.

"Ha... Liana..." Hawa menjawab spontan.

Adam merenung wajah Hawa dalam-dalam. Semua pelajar di dalam kelas pun sudah mula berbisik-bisik sesama sendiri.

"Hmm, keadaan Cikgu Mariam... boleh saya katakan... tidaklah teruk sangat. Saya rasa awak tak perlu risau soal itu. Tapi, saya rasa ada perkara yang lebih penting yang awak perlu risaukan."

Hawa kerut dahi.

"Maksud cikgu?" Hawa memberanikan diri untuk bertanya.

Adam tidak menjawab sebaliknya dia berjalan menuju ke meja. Sehelai kertas ditarik keluar dari buku rekod mengajarnya. Dia kemudian meneliti senarai nama yang terdapat pada kertas tersebut.

"Awak tahu tak apa yang ada di tangan saya ni?" soal Adam lagi.

Hawa menggelengkan kepala.

Tiba-tiba suasana menjadi sunyi sepi apabila masing-masing menumpukan perhatian kepada guru muda tersebut.

"Di tangan saya ini merupakan senarai nama pelajar yang gagal dalam peperiksaan akhir tahun lepas dalam subjek matematik tambahan."

Bulat mata Hawa mendengarkan kata-kata lelaki itu. Ya ampun! Malunya. Memang dia tak pernah pun lulus subjek matematik tambahan sejak di tingkatan empat lagi. Dia tak suka dengan subjek mengira.

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now