BAB 12

914 28 0
                                    

SEMINGGU sudah berlalu.

Hawa termenung memikirkan kenapa dia masih belum lagi dipanggil oleh Lembaga Disiplin Sekolah. Dia sedar tindakannya itu terang-terangan telah melanggar peraturan. Walaupun dia yakin dirinya bakal dikenakan tindakan, namun dia sudah bersedia.

Tapi, kenapa dia masih belum dikenakan sebarang hukuman? Adakah Cikgu Adam belum melaporkan hal itu kepada pihak sekolah? Hairan. Bukankah lelaki itu selalu mencari alasan mahu menghukumnya sekiranya dia melanggar peraturan sekolah?

Lamunan Hawa terhenti apabila loceng menandakan tamatnya waktu pendidikan jasmani kedengaran. Memandangkan kakinya masih belum pulih, maka dia hanya mampu duduk di tepi padang dan memerhatikan rakan-rakan sekelasnya bermain.

"Hawa, kau masuklah ke kelas dulu. Tak payah tunggu aku." Inas berkata dalam perjalanan ke bilik persalinan.

"Okey." Hawa menjawab sepatah sebelum berjalan menuju ke kelas.

Buku lalinya terasa berdenyut sedikit. Mujurlah mak cik dan pak ciknya tidak bertanya banyak dan percaya dia terjatuh. Jika tidak, terpaksalah dia menipu dan mereka cerita. Risau pula jika kedua-dua penjaganya itu bimbang.

"Hawa? Awak buat apa dekat luar kelas ni? Ponteng lagi?"

Spontan Hawa menoleh. Dia sedaya upaya menahan diri daripada buat muka. Cikgu Adam berjalan ke arahnya sambil membawa buku rekod mengajarnya seperti kelaziman. Mungkin lelaki itu ada kelas sekejap lagi.

"Ha'ah. Ponteng lagi."

Hawa menjawab separuh sinis. Geram mendengar kata-kata sindiran daripada lelaki itu.

Kening Adam terangkat sebelah. Kalau ikutkan hati, ringan saja tangannya nak menyiku kepala gadis itu. Mulut tu, laju saja kalau bab menjawab.

"Hawa, Hawa... Perangai tak berubah. Awak tak serik-serik lagi ya. Pernah tak awak terfikir apa yang telah terjadi pada awak selama ini mungkin disebabkan sikap awak yang suka ambil mudah dan sambil lewa aje terutamanya dalam pelajaran?"

Hawa pejam mata. Aduh, mamat ni dah mula membebel pula.

"Awak tahu tak dekat luar sana, berapa ramai orang yang teringin nak ke sekolah, tapi tak mampu? Tapi awak..."

"Cikgu, macam mana saya jalani kehidupan saya, tak ada kaitan pun dengan cikgu, kan? Saya rasa kalau saya ponteng kelas, kehidupan cikgu takkan terjejas pun. So, apa kata kalau cikgu tak payah sibuk-sibuk hal saya. Apa yang jadi pada saya nanti, biarlah saya sendiri yang bertanggungjawab..."

Adam merenung wajah Hawa dalam-dalam. Riak wajahnya tiba-tiba berubah serius.

"Hawa, awak tak tahu apa yang awak cakapkan ni? Kalau awak tak berubah dari sekarang, saya takut awak akan menyesal..."

Hawa senyum tawar. "Tapi, ia tak jejaskan kehidupan cikgu, kan?"

Adam menggeleng perlahan. Budak-budak sekarang. Cakap tak pernah nak fikir panjang.

"Saya cikgu awak dan saya bertanggungjawab pastikan awak tak buat sesuatu yang boleh menghancurkan masa depan awak. Oleh itu, mulai petang ini, awak perlu hadir ke kelas persendirian subjek matematik tambahan."

"Kelas persendirian subjek matematik tambahan? Dengan siapa?" Hawa bertanya sambil mengerutkan dahi.

"Saya. Bermula pukul 3.00 petang sampai 5.30 petang. Setiap hari."

Bulat mata Hawa mendengar kata-kata lelaki itu. "Hah? Kenapa pulak? Tak naklah."

"Awak tak ada pilihan lain. Melainkan awak sanggup nak hadap muka Cikgu Azmi pasal kes awak cuba nak panjat pagar sekolah tempoh hari. Awak sendiri tahu jika perkara ini sampai ke pengetahuan pihak sekolah, mungkin penjaga awak akan dipanggil. Awak sanggup ke nak hadap semua tu?"

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now