BAB 6

1K 29 0
                                    

HAWA berjalan melilau tanpa arah tujuan. Tak ada hati nak masuk ke kelas. Tambahan pula sekarang waktu subjek matematik tambahan. Memang taklah dia nak masuk ke kelas tersebut dan menghadap muka lelaki itu. Rasa sakit hati akibat dihalau oleh lelaki itu masih terasa sehingga kini.

Hawa akhirnya berjalan menuju ke tandas. Nak ke mana lagi waktu-waktu begini. Bimbang juga kalau terserempak dengan Cikgu Azmi yang merupakan guru disiplin. Masak juga nak menjawab kenapa dia masih berada di luar kelas sedangkan waktu pembelajaran sedang berlangsung ketika ini.

Hawa duduk di atas mangkuk tandas. Tangan menongkat dagu sambil fikirannya mula menerawang. Takkan sampai SPM dia nak ponteng kelas matematik tambahan semata-mata sakit hati dengan Cikgu Adam?

Tapi, nak masuk ke kelas itu dan berlagak seperti tidak ada apa-apa pun payah juga. Yalah, setiap kali dia pandang wajah Cikgu Adam, mesti dia akan sakit hati. Cikgu Adam pula seolah-olah selalu nak mengenakannya. Macam sudah berpakat pula dengan Mira yang suka sangat menyakitkan hatinya.

Hawa melepaskan keluhan berat. Akhirnya dia ambil keputusan untuk masuk ke kelas walaupun hatinya berat. Takkanlah dia nak duduk lepak dalam tandas selama 45 minit? Namun, baru sahaja tangan mahu memulas tombol pintu, kedengaran suara yang sangat dikenalinya.

"Jadi, memang kaulah yang ambil buku latihan matematik tambahan si Hawa tu?" Kedengaran suara Zara, salah seorang teman baik Mira.

"Kau rasa?" Mira ketawa galak.

Hawa ketap bibir. Memang dia dah agak dah. Memang Miralah yang mengambil buku matematik tambahannya.

"Masa mana kau buat kerja-kerja terkutuk ni?" Suara Isya pula kedengaran.

Mira tergelak lagi.

"Adalah. Kau sendiri tahu kan yang dia tu suka sakitkan hati aku. Aku tak fahamlah kenapa Cikgu Mariam boleh berbaik dengan orang macam dia. Tak ada kelas langsung! Tak sangka level Cikgu Mariam tu serendah itu, kan?"

Hawa yang sejak dari tadi memasang telinga, sudah mula hilang sabar. Kalau Mira mengutuk dan mengata dirinya, dia boleh sabar lagi. Tapi jika gadis itu sudah mula mengata cikgu kesayangannya, memang dia takkan maafkan!

"Mulut kau jaga sikit. Jangan suka-suka hati nak mengutuk Cikgu Mariam pulak!" bentak Hawa kuat. Dadanya turun naik menahan marah.

Mira ternyata terkejut melihat Hawa di situ. Malah, Zara dan Isya turut mempamerkan reaksi yang sama. Barangkali mereka langsung tidak jangka Hawa akan berada di situ.

"Eh, mulut aku. Suka hati akulah." Mira berkata separuh sinis.

Hawa pejam mata, cuba menenangkan dirinya.

"Jadi, memang betullah kau yang curi buku latihan aku?"

Zara dan Isya yang sedikit cuak dengan pertanyaan Hawa itu.

"Ya. Memang aku yang ambil buku latihan kau. Kau nak buat apa? Nak mengadu dekat Cikgu Adam? Pergilah. Kita tengok sama ada dia percaya atau tidak."

Mira berkata, seolah-olah cuba mencabar kesabaran Hawa.

"Tak. Bukan aku yang akan cakap dekat Cikgu Adam, tapi kau sendiri akan mengaku kau yang ambil buku tu." Hawa berkata sebelum menarik lengan Mira keluar dari tandas tersebut.

"Hei, apa ni? Sakitlah!" Mira bersuara sambil cuba melepaskan cengkaman tangan Hawa, namun tidak berjaya.

Hawa terus mengheret Mira menuju ke kelas mereka.

"Lepaskan akulah. Kau dah gila ke apa?" Mira mula memekik kuat, sehingga menarik perhatian para pelajar dan guru di kelas-kelas berhampiran.

Namun, itu tidak membuatkan Hawa berhenti. Dia mahu buktikan yang dirinya tidak bersalah. Dia akan paksa Mira mengaku segala-galanya.

AKU ADALAH HAWAMUWhere stories live. Discover now