Sepasang suami isteri sedang berkejaran di tepi tebing berdekatan laut. Angin laut meniup lembut tudung si isteri. Jelas kedengaran tawa bahagia mereka.
Sang suami berjaya menangkap si isteri dan mendakapnya. Terburai ketawa si isteri apabila digeletek oleh suaminya.
Tiba-tiba suaminya berhenti. Si isteri mendongak, melihat wajah suaminya. Wajah suaminya mengejutkannya. Suaminya mula mengalirkan air mata.
Terkebil-kebil si isteri melihat air mata jantan menitis dari tubir mata suaminya. Tiba-tiba si isteri diheret ke hujung tebing.
Meronta-ronta si isteri meminta dilepaskan dalam perasaan bercampur baur. Air mata si isteri pula mula bertakung.
Dan mereka akhirnya tiba di hujung tebing. Sang suami terus menolak tubuh isterinya sehingga tergantung di tangannya.
Tumpah jua air mata si isteri. Dalam pandangan kabur matanya, kelihatan raut wajah suaminya semakin sayu. Bukan sedih ataupun marah, lebih kepada, 'Maaf sebab terpaksa lakukan ini.'
Tautan tangan dilepaskan. Tubuh si isteri mula melayang ke bawah dan jatuh ke dasar laut.
"Hah!" Rose terus terjaga dari lenanya. Terus dia bangkit dari perbaringannya. Daniel turut terjaga kerana terasa pergerakan yang agak kasar di sebelahnya.
"Kenapa ni?" Soalnya sambil memandang Rose dalam keadaan mamai. Rose yang masih terkejut terkebil-kebil sebelum bertindak memeluk Daniel. Erat.
Terkejut beruk Daniel dibuatnya. Dah kenapa isteri aku ni? Mengigau kot? Perlahan-lahan, tangannya mula mengusap perlahan belakang Rose yang menggeletar.
Rose menekup mukanya ke bahu Daniel. Air matanya mula bercucuran tanpa henti. Entah mengapa, dia sendiri tidak tahu.
Buat seketika, mereka kaku dalam posisi masing-masing. Tiba-tiba suara Daniel memecah kesunyian. "Hey, kenapa ni?"
Makin erat pelukan Rose. Pelik sungguh Daniel dibuatnya. Rambut Rose yang serabai diusap. Cuba ditenangkan gadis dalam dakapannya.
Tiba-tiba Rose memegang bahunya dan memandangnya tepat di dalam anak matanya. "Awak... Awak takkan tinggalkan saya kan?"
Daniel kaku sebelum lambat-lambat menggeleng. Degupan jantungnya mula meningkat. Cengkaman Rose dibahunya semakin kuat secara tiba-tiba.
"Awak janji?" Lemah longlai nada suara Rose. Daniel mengangguk. Rose menunduk. Air mata menitis ke tangan Daniel. Laju tangan kasar itu menyapu bersih pipi Rose.
"Hey, jangan menangis..." Pujuk Daniel. Dia cuba menenangkan Rose yang masih teresak-esak. Tubuh isterinya dibawa ke dalam dakapan.
Kehangatan membaluti tubuh Rose. Lambat-lambat, esakannya mula berkurang. Dia mula hanyut dalam pelukan Daniel.
Entah mengapa, dia terasa selamat dalam dakapan lelaki itu. Lelaki yang bergelar suaminya. Walaupun mereka berkahwin tanpa cinta, dia tetap berasa... Bahagia?
Daniel membiarkan sahaja Rose dalam dakapannya. Degupan jantung yang tidak terkawal terpaksa dibiarkan. Aduh, jangan aku terkam dia pulak!
Tiba-tiba tubuh Rose melorot ke bawah sedikit. Daniel terus memegang bahu Rose, mengelakkan dia jatuh.
Lah, tertidur rupanya. Senyuman kecil terukir di hujung bibir. Comel sungguh bini aku ni tidur!
Dia meletakkan Rose dengan berhati-hati di sisinya. Dibetulkan sedikit kepala Rose sebelum menutup tubuh gadis itu dengan selimut sehingga ke dada.
Daniel berbaring menghadap Rose yang dalam posisi ala-ala Sleeping Beauty. Tiba-tiba, Rose turut berpaling dan menghadapnya.
Makin kuat degupan jantung Daniel. Wajah mereka sangat dekat sehingga jika Daniel bergerak sedikit, pasti hidung mereka berlaga.

ANDA SEDANG MEMBACA
Ego Seorang Tengku
Storie d'amore*Daily updated. Tengku Daniel Alexander, pewaris harta berbilion ringgit. Rupa paras yang sangat kacak menyebabkan ramai wanita tergila-gilakannya. Tetapi dia sangat angkuh. Terlampau angkuh dengan darah kacukan yang mengalir di tubuhnya dan kekaya...