AIRA memandang kosong skrin komputer. Tugas yang diberi oleh Doktor Halina belum disiapkan. Doktor Halina adalah pemilik Pusat Terapi Nadi Insan.
Aira melirik jam pada skrin komputer. Sudah lewat sepuluh minit. Kenapa doktor belum muncul? Biasanya wanita itu akan datang awal sepuluh minit.
Telefon berdering. Gagang diangkat.
"Helo, Pusat Terapi Nadi Insan."
"Aira, saya ni."
Aira tegakkan tubuh. Panggilan daripada majikannya, Doktor Halina.
"Ya, doktor."
"Saya tak masuk klinik hari ni. Anak saya kemalangan. Awak tolong batalkan janji temu saya dengan Puan Amberlyn."
Loceng berbunyi menandakan ada pengunjung. Figura yang berdiri di sebalik pintu lut sinar dipandang.
Aira menggeleng kesal. "Puan Amberlyn dah sampai pun, doktor."
Loceng ditekan berkali-kali. Kelam-kabut Aira menekan butang untuk membolehkan wanita itu masuk.
Doktor Halina berpesan agar Aira mengatur sebuah janji temu yang baru. Talian dimatikan.
"Mana Doktor Halina? Saya nak jumpa dia."
Suara Amberlyn melengking kuat. Cermin mata hitam bersaiz besar menutup sebahagian besar wajahnya. Amberlyn menonong ke bilik Doktor Halina.
"Doktor Halina ada kecemasan. Dia tak datang kerja hari ni. Kita terpaksa tunda janji temu puan."
"I tak kira. I nak jumpa Halina. Sekarang jugak!"
"Macam yang saya kata tadi, Doktor Halina..."
"Saya tunggu dalam bilik dia," ujar Amberlyn seraya membawa langkah ke bilik Doktor Halina.
Aira kematian kata apabila melihat kedegilan Amberlyn.
Sudah dua kali Amberlyn mendapatkan khidmat kaunseling rumah tangga daripada Pusat Terapi Nadi Insan. Dua kali jugalah dia menjadi saksi perangai kerek perempuan bajet model ni.
AIRA menghantar secawan kopi kepada Amberlyn.
"Puan perlukan apa-apa lagi? Kalau puan lapar, saya boleh belikan makanan."
"Kalau nak makan, I akan pergi ke restoran. Buat apa nak datang sini? I perlukan terapi. You tengok ni."
Amberlyn menanggalkan cermin mata. Kelopak mata wanita itu yang biru kehitaman membuatkan Aira terkejut. Buntang matanya memandang wajah cantik Amberlyn yang telah dicemari kesan lebam.
"Allahu!" ujar Aira.
"Ini semua kerja Zafran." Amberlyn menyambung kata.
Aira kenal suami wanita itu. Pasangan itu pernah hadir untuk sesi kaunseling pertama. Selepas itu, Amberlyn datang tanpa ditemani suaminya. Zafran adalah ahli perniagaan yang disegani. Doktor Halina pernah bercerita tentang latar belakang pasangan itu.
"Apa yang terjadi ni puan? Kenapa dia sanggup buat puan sampai macam ni sekali?"
Amberlyn mula menangis.
Aira kalut. Dia memang mempunyai latar belakang dalam bidang kaunseling. Tetapi tidaklah sampai ke tahap untuk memberi kaunseling kepada klien.
Aira melabuhkan duduk di sisi Amberlyn. Bahu wanita itu diusap.
"I tak tahu apa lagi yang dia nak. Dia yang curang, tetapi dia tuduh I main cinta dengan lelaki lain. Selama ini, I yang berkorban untuk famili. Dia hanya tahu keluar pagi dan balik malam. Pantang silap cakap, I akan makan sepak terajang dia."
YOU ARE READING
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...