AIRA melirik kepada Hayyat yang sibuk membelek telefon. Dia tahu itu adalah helah untuk mengelak daripada berbual dengannya.
Pandangan Aira beralih pula pada sebuah keluarga kecil yang berada di hujung klinik. Dua orang kanak-kanak perempuan di hadapannya mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak dan berlarutan kepada kisah Imran melamar Hana.
Aira merasakan hatinya tiba-tiba sakit. Bagai dihiris belati tajam.
Hayyat menuju ke kaunter ubat apabila Aira tidak bangun setelah namanya dipanggil tiga kali. Mungkin tak ada duit kut. Itu yang mengeras aje kat situ, desis hati Hayyat.
"Saya minta maaf, Aira. Hana yang terbaik untuk saya. Saya benar-benar cintakan dia."
Kata-kata Imran terngiang-ngiang di telinga Aira. Dia tidak betah lagi berada di ruang itu. Laju sahaja kakinya dibawa meninggalkan klinik.
Hayyat kalut. Beg plastik berisi ubat ditarik kasar. Duit baki tidak sempat diambilnya. Dia mengejar langkah Aira yang meredah hujan.
"Perempuan ni memang gila!" gumam Hayyat.
Langkahnya dilajukan. Sebaik sahaja jarak mereka semakin hampir, dia merentap kasar tangan Aira.
"Kenapa ni?" jerkah Hayyat.
Mereka berbalas pandang. Mata Aira merah. Tetapi tidak dapat dipastikan gadis itu menangis atau tidak kerana wajah itu lencun dibasahi air hujan.
Aira tidak membantah apabila dia ditarik ke kereta. Tubuhnya ditolak kasar masuk ke dalam kereta.
Hayyat menggeleng apabila melihat titisan air daripada pakaian Aira membasahi kusyen keretanya. Dia juga lencun. Hayyat menggeleng tatkala memandang tubuh sendiri.
"GILA!"
Suara gempita Hayyat sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah membuatkan Zainab dan Zafran terkejut.
"Kenapa ni?" tanya Zainab.
Bahu Aira disentuh. Oleh kerana gadis itu membisu, Zainab mencerlung anak sulungnya.
"Dia buat filem Hindustan depan klinik. Perempuan ni memang gila. Tak habis-habis menyusahkanYat."
Aira memejamkan matanya. Rasa sakit dicerca oleh Hayyat berpadu dengan rasa sedih dikhianati Hana dan Imran. Aira menekan kepalanya dengan kuat seperti mahu menghalang kepala itu daripada pecah.
Dewi segera menarik tangan Aira lalu dibawa ke biliknya yang terletak bersebelahan dapur.
Ketika pandangan Hayyat dan Zafran bertembung, benteng kemarahan yang cuba dikepung oleh si abang musnah.
"Kau yang bawa dia ke sini. Tapi siang malam kau sibuk kejar janda kau tu. Aku yang nak kena hadap perempuan sewel ni. Kau yang patut uruskan dia. Dia jaga anak kau. Sebagai seorang majikan, dia adalah tanggungjawab kau. Kalau macam inilah keadaannya di sini, aku akan balik semula ke apartmen aku."
Zainab bungkam.
Hayyat mendaki anak tangga ke tingkat atas.
Zafran mengeluh. Bila Hayyat marah-marah, dia tidak berani melawan. Cari nahas namanya.
AIRA membalut tubuhnya dengan selimut berwarna merah. Tubuhnya perlu ditutup kerana pakaian yang dipinjam daripada Dewi mencolok mata.
Aira merasakan kepalanya masih berdenyut. Begitu juga dengan perutnya yang sangat lapar. Dia melangkah keluar dari bilik Dewi. Dia yakin semua orang di dalam rumah itu sudah tidur.

ANDA SEDANG MEMBACA
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...