DATO' AZLI DITANGKAP BERKHALWAT BERSAMA MODEL AMBERLYN
TAJUK yang menjadi hiasan muka depan sebuah akhbar meragut ketenangan Zainab.
"Kenapa sampai jadi macam ni?"
Zafran tunduk. Musnah harapannya untuk rujuk semula dengan Amberlyn. Dia baru bertemu dengan jandanya itu dua hari lepas. Amberlyn seolah-olah memberikan harapan kepadanya untuk proses rujuk semula.
"Tengoklah apa dah jadi. Dah nampak kesan daripada sikap panas baran kamu tu?"
Zafran mengeluh.
"Inilah jadinya kalau pukul isteri. Orang cantik macam Amberlyn tu mudah aje disambar orang."
"Aku rasa kau dah patut cerita kepada umi perkara sebenar." Hayyat mencelah.
Dia tidak nampak kenapa adiknya perlu mempertahankan Amberlyn lagi. Wanita itu telah memburukkan imej keluarga mereka. Masih dalam idah, tetapi ditangkap khalwat dalam bilik hotel.
"Cerita apa?" tanya Zainab kepada Zafran.
Anak bongsunya itu hanya tunduk. Zainab alihkan pandangan ke wajah si abang pula.
Hayyat memicit pangkal leher. Biarlah Zafran yang bercerita.
"Zafran." Suara Zainab naik beberapa oktaf.
Aira yang baru tiba pagi itu tidak jadi melangkah masuk ke dalam rumah. Umi sedang marah ke?
"Memang benar Amber pergi sebab Zaf pukul dia. Masa tu kami bertengkar bila Zaf dapat hidu dia curang. Tapi Zaf boleh bersabar lagi. Bila dia berkasar dengan Syafi, itu yang Zaf tampar dia."
Zainab cuba bertenang. Dia tidak mahu memberi reaksi yang boleh mengganggu cerita yang mahu disampaikan oleh Zafran.
"Tapi bukan dengan Dato' ni. Dia bercinta dengan kawan lama dia semasa di US dulu. Dah ada bukti depan mata pun tak nak mengaku. Itu yang Zaf hilang sabar. Ikutkan hati, Zaf tak nak maafkan dia. Tetapi mengenangkan Syafi, Zaf sanggup minta maaf. Zaf sanggup merayu supaya dia kembali. Tapi tak sangka, dia sanggup buat Zaf macam ni."
Zainab mengeluh.
Hayyat menepuk bahu adiknya. Sedih melihat adiknya diperlakukan begitu.
"Dan awak pergunakan saya supaya bekerja di sini?"
Tiga pasang mata menoleh.
Zafran memejamkan matanya. Masalah lain pula muncul.
Aira menggeleng kecewa. Kolam matanya sudah penuh dan hanya menunggu saat bocor. Aira melangkah laju meninggalkan rumah Zainab.
Bodoh! Dia ditipu selama ini. Zafran memang pandai memanipulasi keadaan. Akhirnya dia yang kehilangan kerja.
Zafran menolak kerusi ke belekang dengan kasar. Sempat dia menjeling Hayyat. Ini semua berpunca daripada abangnya. Sibuk sangat menyuruh dia membuka cerita. Bukan ke dah muncul masalah baru?
Zafran mengejar langkah Aira. Hayyat dan Zainab turut sama berdiri.
"Aira, Aira... Aira!"
Suara Zafran naik beberapa oktaf setiap kali memanggil nama itu. Tiada pilihan, Zafran merentap tangan Aira lalu memaksa gadis itu berhenti melangkah.
Berlaku pergelutan sebelum Hayyat masuk campur.
"Dengar dulu apa yang Zafran nak cerita." Suara Hayyat kedengaran tegas.
Namun, Aira tetap dengan kedegilannya. Dia cuba melepaskan tangannya yang masih dicengkam oleh Zafran.
Zainab menyuruh Seri menekan alat kawalan jauh untuk menutup pintu pagar.
Aira mengalah apabila melihat pintu pagar yang hampir tertutup. Tidak sempat untuknya meloloskan diri melalui bukaan yang kecil itu.
Zafran melepaskan tangan Aira.
Hayyat melihat Aira mengusap pergelangan tangannya yang berbirat. Hayyat berdecit sambil menggeleng. Inilah kelemahan Zafran. Kasar!
"Saya tahu saya bersalah. Saya jadikan awak sebagai punca perceraian kami."
"Awak menyebabkan saya hilang pekerjaan. Awak tuduh saya penghasut. Awak ugut saya dan Doktor Halina. Awak buat saya rasa bersalah. Awak tak tahu apa yang saya rasa setiap kali pandang wajah Syafi?"
Zafran tunduk.
Aira menghampiri Hayyat.
"Awak pun sama. Awak biarkan Zafran pergunakan saya. Awak tahu tak, saya cukup stres kerja di sini disebabkan sikap awak? Sikap perasan bagus awak tu memualkan saya."
Aira menapak ke arah Zainab. Wajah sayu wanita itu menjentik rasa bersalah dalam diri Aira. Tetapi dia perlu bertegas.
"Aira minta maaf, umi. Aira nak balik. Aira tak nak bekerja di sini lagi."
Zainab kehilangan kata untuk memujuk Aira. Dia tahu gadis itu kecewa. Biarlah Aira bertenang dahulu.
ZAFRAN telah beberapa kali menghubungi Amberlyn, namun pengurus wanita itu memberikan alasan yang sama. Amberlyn tidak mahu diganggu.
Zafran menggenggam telefonnya. Hati berterusan merasa sakit selagi dia tidak dapat menghamburkan rasa marah kepada bekas isterinya. Amberlyn perlu diingatkan bahawa dia masih dalam idah.
"Apa masalah kau ni? Dari tadi belek handphone tu. Cuba kau luangkan masa dengan Syafi. Budak tu demam. Kasihan aku tengok dia." Hayyat menegur.
Lebih lima minit dia memerhatikan perlakuan adiknya itu. Makanan langsung tidak jamah. Tangan pula tidak lekang dengan benda alah itu.
Zafran mendengus. Masalah, memang masalah. Nak fikir tentang rumah tangganya yang memang sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Mana nak fikir pasal Aira. Ini pula, Syafi demam. Serabut betullah!
Zafran meramas kasar rambutnya. Telefon disimpan dalam poket. Dia melangkah ke bilik Syafi.
Hayyat menyambung makan. Kuih apom manis disuap ke dalam mulut.
Zainab memandang wajah Hayyat.
"Kenapa umi?"
"Kasihan Syafi. Dia rindukan Aira sampai demam-demam."
Hayyat menunggu mulutnya kosong sebelum bersuara.
"Bukan sebab itulah, umi. Aira tu yang bawa penyakit. Sebab itulah Yat tak suka dia datang kerja waktu dia demam dulu. Kan dah berjangkit kepada Syafi. Lepas tu boleh pula buat akal merajuk dia. Langsung tak datang kerja. Macamlah selama ni dia kerja tak bergaji."
"Umi pun merajuk kalau orang tuduh umi macam tu."
Zainab menyatakan pandangannya. Dia juga rasa bersalah kerana turut menyalahkah Aira di atas perpisahan anak menantunya.
"Tapi, dia boleh aje meneutralkan keadaan waktu Amberlyn pergi jumpa dia. Ini tidak. Dihasutnya perempuan tu. Itu yang lepas jumpa Aira, dia mengamuk di pejabat dan minta cerai."
"Kalau makin melarat keadaan Syafi tu, Zafran kena pujuk Aira. Jururawat yang dia bawa tu langsung tak mesra alam. Patutlah Syafi tak suka."
"Bukan tak mesra alam, tapi dia profesional. Bukan macam Aira tu. Nak kata sewel pun ya juga. Hampir setiap hari Yat nampak dia membuta aje dalam rumah ni. Entah apalah yang Syafi suka sangat dengan dia tu?"
Zainab menghela nafas dalam. Tergambar dalam ingatannya Aira yang bermain khemah-khemah dengan Syafi. Habis kain selimut dijadikan khemah. Bantal pula dijadikan benteng perang apabila bermain kombat. Syafi ketawa terkekek-kekek.
Kadangkala dia sendiri risau kalau-kalau Syafi terlalu aktif dan terkena serangan jantung. Namun, melihatkan kegembiraan yang tidak pernah dia lihat selama ini, Zainab tawakal.
"Syafi nak pengasuh yang boleh dia jadikan kawan. Yang boleh main kombat, main hantu-hantu, main khemah-khemah dengan dia."
Hayyat mengerutkan keningnya. Betul ke Aira buat semua tu? Yang dia tahu, gadis itu jenis buat tahi mata saja.

ANDA SEDANG MEMBACA
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...