BAB 8

8.3K 48 0
                                        

HAYYAT merenung tajam wajah Aira.

"Dah terdesak sangat ke cari suami sampaikan awak pergi mengurat mamat-mamat Bangla tu?" tanya Hayyat setelah menghampiri kereta.

Aira menjulingkan mata ke atas.

"Ikut suka awaklah nak kata apa pun. Di rumah Puan Zainab, saya anggap awak sebagai majikan. Tapi hari ni saya tak kerja, jadi tak perlulah awak nak mengajar saya."

Hayyat mengetap rahang.

"Kalau awak tak menyibuk tadi, tak adanya saya nak tersedak. Mujur tak mati tercekik tadi." Aira meluahkan rasa tidak puas hati.

Kerana lelaki itulah dia terminum susu tadi. Sejak kecil, dia memang tidak minum susu tanpa perisa.

"Saya tak menyibuklah. Kalau jadi apa-apa pada awak tadi, macam mana? Lapar sangat ke sampai perlu makan makanan yang entah apa-apa tu?"

Hayyat membela diri. Entah apa masalah perempuan di hadapannya ini. Tak fikir ke kalau makanan tadi mengandungi sesuatu yang membahayakan?

"Suka hati aje ambil makanan orang. Pantang dipelawa."

"Orang tua-tua kata, rezeki jangan ditolak."

Hayyat menghulurkan roti putih kepada Aira.

"Lapar sangat kan? Tak nak tolak rezeki? Ambil roti ni. Pergi balik. Esok jangan lupa datang kerja."

Dengan selamba Aira mengambil roti yang dihulurkan. Dia melangkah pergi.

Hayyat masuk ke dalam kereta. Baru beberapa langkah, lelaki warga asing tadi menghampiri Aira. Dia menghulurkan bekas makanannya kerana simpati kepada gadis itu yang memuntahkan kentang penyek tadi.

Aira terkedu. Dia memandang lelaki tadi. Bersungguh-sungguh lelaki itu mengharapkan pemberiannya diterima. Aira pula tidak tergamak menghampakan lelaki itu. Bekas makanan bertukar tangan.

Hayyat memandang dengan rasa tidak percaya. Minah ni memang spesies pelik. Muka sahaja cantik, tapi otak senget.

Hayyat tidak menunggu lagi. Dia memandu meninggalkan kawasan itu. Beli roti di kedai lain pulalah.

Aira melangkah semula ke dalam pasar raya.

"Dah siap?" tanya Aira sebaik sahaja ternampak Amirah yang menjinjit dua beg berisi bahan kek menghampirinya.

Amirah angguk.

Aira menggeleng. Macam susah sahaja mahu membawa barang-barang itu pulang menaiki motosikal.

"Apa tu?"

"Kentang penyek."

"Mana dapat?"

"Mamat Bangla bagi."

"Yang kau sedekah air tadi?"

Aira angguk.

Amirah menggeleng kecil. Aira memang suka bersedekah. Nilai sedekah tidak besar, tetapi setiap hari gadis itu akan bersedekah. Aira selalu berpesan kepadanya. Setiap kali bersedekah, mohonlah doa agar dipecahkan batil-batil yang ada dalam hati.

Aira menyumbat bekas makanan dan roti putih ke dalam beg plastik. Dia membuntuti langkah Amirah.


AIRA meletakkan roti bakar di atas meja makan. Dia kembali ke dapur. Pembantu rumah yang sedang membancuh minuman dipandang.

"Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?" tanya Aira kepada Seri.

Syafi masih tidur. Bolehlah dia membantu Seri di dapur. Dewi pula sedang mengemas rumah.

Seri menggeleng.

SEKALI LAGI CINTA KEMBALITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang