ZAFRAN menghulurkan kontrak kepada Aira. Dia menunggu reaksi gadis itu.
"Saya perlu sentiasa berada di sisi Syafi tanpa mengira waktu?"
Zafran tidak memberikan respons kepada soalan Aira kerana dia yakin gadis itu bercakap sendiri.
"Saya perlu memastikan Syafi sentiasa ceria dan dalam keadaan terurus? Saya tidak diberikan cuti? Saya perlu kerja tujuh hari seminggu? Saya perlu menemani Syafi bermalam di hospital dan sentiasa ada ketika kes-kes kecemasan? Banyaknya perlu saya patuhi. Habis tu, apa tanggungjawab awak sebagai ayah dia? Semuanya nak diserahkan kepada saya."
"Tanggungjawab saya bagi gaji kepada awak."
Tatkala mendengar jawapan balas Zafran, mata Aira terpandang jumlah gaji yang tercatat pada klausa berikutnya. Mak ai, RM2500. Banyak ni. Namun, Aira cuba mengawal reaksi wajahnya.
"Kenapa tak ambil saja jururawat untuk jaga dia?"
"Dia perlukan ibu. Bukan jururawat. Dia perlukan kasih sayang, bukan sekadar penjaga."
"Saya tak mampu buat semua tu."
Zafran menarik kontrak, tetapi dihalang oleh Aira.
"Kalau tak mampu, bagi balik kontrak ni. Awak boleh balik sekarang."
Aira melepaskan kontrak.
"Satu lagi pesan saya. Kalau apa pun kerja yang awak buat lepas ni, tolong jangan runtuhkan rumah tangga orang lain. Banyak hati yang terluka. Anak-anak jadi mangsa."
Aira tunduk. Setiap kali Zafran mengungkit kesalahannya, Aira dihambat rasa bersalah.
"Balik nanti tolong ingatkan Doktor Halina agar bersedia dengan pelan kontigensi kalau pusat terapi dia ditutup."
Usai menuturkan ayat berbaur ugutan itu, Zafran melangkah.
"Tunggu!"
Zafran yang sudah pun membelakangi Aira, tersenyum sinis. Taktiknya menjadi.
"Saya akan cuba dulu dalam masa seminggu. Gaji saya dibayar mengikut hari," ujar Aira.
Kalau dikira gaji mengikut bulan, mahu lesap gajinya. Nak makan apa nanti? Mahu mati kering dia.
Zafran menoleh. Dia tayang wajah serius. Aira ditilik dari atas ke bawah. Umi sukakan Aira. Alasan umi kerana Aira suka berceloteh.
Mungkin umi sunyi kerana anak-anaknya semua sibuk dengan kerjaya masing-masing. Itu yang suka sangat apabila Aira bekerja di rumah mereka. Lagipun umi tidak mempunyai anak perempuan.
Tapi, macam mana kalau Hayyat tidak setuju? Abangnya itu bukan boleh diramal.
"Kalau awak tak setuju, terpulanglah," ujar Aira. Dia cuba bermain tarik tali.
Terus sahaja Zafran mengangguk setuju. Janji masalahnya untuk minggu ini selesai.
BERMULALAH tugas Aira secara rasmi di rumah Zainab. Rutinnya tidak padat, tetapi sikap Syafi yang suka buat perangai membuatkan Aira tertekan.
"Syafi, berapa kali acik nak cakap? Kena makan ubat dulu sebelum keluar."
Zainab tersenyum mendengar suara Aira yang naik beberapa oktaf. Bunyi enjin mesin pemotong pokok membuatkan Aira terpaksa menaikkan ton nada suaranya.
Syafi angguk. Dia mahu melihat bunyi bising yang terhasil dari laman rumah.
Aira memimpin tangan Syafi ke laman. Seorang lelaki yang memakai topeng muka, berseluar tentera dan berkemeja-T hitam sedang memangkas pokok kesenai.

ANDA SEDANG MEMBACA
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...