MEMUJUK Aira bukanlah sesuatu yang mudah. Zafran sudah mengangkat bendera putih tanda mengalah.
"Aku dah tak tahu macam mana nak pujuk dia."
Hayyat memandang si adik. "Siapa?"
"Airalah! Siapa lagi?"
"Aku ingat kut Ambberlyn."
Zafran mencerlung abangnya. "Tak kelakar."
Hayyat ketawa kecil.
"Dia dah seminggu balik Australia. Mengelak daripada wartawanlah tu. Padahnya, aku yang kena."
"Barulah kau boleh rasa betapa glamornya dunia modeling ni. Bolehlah kau tumpang sekaki dengan skandal dan gosip yang melibatkan Dato'-Dato'," tempelak Hayyat.
"Kau bukannya nak ringankan beban aku ni. Tak habis-habis nak sakitkan hati aku. Paling tak pun, kau cubalah pujuk Aira tu."
"Minah tu sewel. Bukan mudah nak pujuk orang separa normal ni."
Zafran ketawa kecil. Aira memang tidak boleh dijangka. Kelmarin, dia dihalau dengan penyapu. Suwei betullah, kata orang Cina.
"Tapi, aku tengok dia dengar sikit cakap kau. Tak adalah nak melawan sangat. Mungkin kau boleh pujuk dia."
"Malaslah aku nak menghadap minah tu."
"Kau jangan buat malas, bang. Kalau kau tak suruh aku cerita perkara sebenar kepada umi, perkara ni takkan terjadi. Kau punca dia berhenti kerja."
"Habis tu, sampai bila nak tipu umi? Tak berkat hidup tahu?"
Zafran tersengih. Macam mana pula umi boleh tiba-tiba ada di sini?
Hayyat tersenyum sambil menjonngketkan keningnya kepada Zafran.
"Kau pun sama Yat. Tak payah nak senyum sangat. Esok pergi pujuk Aira, bawa balik sini," pesan Zainab.
HAYYAT memberhentikan keretanya di hadapan Pusat Terapi Nadi Insan. Dia melangkah masuk. Seorang gadis dilihat sedang membersihkan meja kopi yang terletak di ruang menunggu. Mungkin pekerja yang menggantikan tempat Aira, teka Hayyat.
"Selamat pagi encik. Maaf, doktor masuk pukul 9.00 pagi," ujar gadis tadi.
"Saya nak jumpa Aira."
"Oh! Aira dah tak kerja di sini."
"Saya tahu, dia tinggal kat tingkat atas kan?"
Gadis itu angguk.
"Pintu ke tingkat atas berkunci."
"Kalau macam tu, encik tunggulah kat luar. Biasanya dalam pukul 8.30 dia akan turun dengan kawan dia."
Hayyat angguk. Setelah mengucapkan terima kasih, dia melangkah keluar dari pusat itu.
Hayyat bersandar pada keretanya. Sesekali dia melirik jam tangan. Baru lima minit menunggu, tetapi dia sudah merasakan terlalu lama. Kalau tidak kerana umi, sumpah dia tidak akan datang memujuk Aira.
"Kalau niat awak datang ni sebab nak pujuk saya, baik lupakan saja."
Hayyat yang sedang membelek telefonnya mengangkat wajah. Kelihatan Aira menghampirinya. Gadis itu mengangkat dua kotak berwarna putih bersaiz sederhana. Di belakangnya, seorang gadis yang sedang menuruni anak tangga bersama kotak yang sama saiz, tetapi berlainan warna.
Hayyat alih pandangan kembali ke wajah Aira.
"Memang itu niat saya datang."
"Kalau macam tu, lupakan aje. Saya dan kawan saya dah terjebak buat bisnes bakeri. Sekarang ni kami nak pergi berniaga."

ANDA SEDANG MEMBACA
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...