BAB 9

8.4K 40 2
                                    

HAYYAT mencampakkan briefcase di atas katil. Butang baju kemejanya ditanggalkan satu per satu sehingga butang paling bawah. Dia duduk di birai katil. Hayyat mengangkat tinggi kedua tangannya untuk meregangkan otot-otot tubuhnya.

Aira yang melintas hadapan bilik Hayyat terpandangkan tubuh seksi suku terdedah itu. Langkahnya terhenti. Entah kenapa, kaki seakan-akan dipasak ke lantai. Matanya tertancap pada dada Hayyat. Ada bulu dada, tetapi tidaklah terlalu lebat. Kata orang tua-tua, kalau bulu dada tidak lebat, maknanya tidak panas baran.

Hayyat yang menyedari dirinya diperhatikan bangun lalu menghampiri pintu.

Mata Aira turun ke pusat Hayyat yang terdedah. Pusat itu kelihatan dalam. Orang tua-tua kata, kedekut. Tak boleh dibuat laki ni. Tahi hidung masin.

"Sekali pandang tak berdosa, tapi kalau dah tenung macam tu, banyak catatan malaikat kiri."

"Hek eleh. Yang awak pun satu hal. Dah tahu ada gadis-gadis suci bukan mahram seperti saya, Seri dan Dewi dalam rumah ni, biar aje pintu terpelahang. Awak pun ada saham dosa jugak."

"Seri dan Dewi tu tahu malu. Kalau terpandang pun mereka cepat-cepat mengelak. Bukan tilik macam awak tadi."

Aira mengatur langkah menuju ke tangga. Sebelum menuruni anak tangga, sempat dia berpesan kepada Hayyat.

"Tolong tengok-tengokkan Syafi sekejap."

Hayyat menggeleng. Sesuka hati sahaja memberikan arahan kepadanya. Namun, kaki dibawa juga ke bilik anak saudaranya.

Hayyat mendukung Syafi lalu anak itu dibawa ke tingkap. Pandangan dilontar ke luar.

"Syafi laparlah," rengek Syafi. Dia bergerak-gerak meminta dilepaskan.

"Sayang baba ni belum makan ke? Syafi nak makan apa?"

"Acik ambil nasi."

Tahulah Hayyat Aira turun mengambil makanan.

Hayyat meletakkan Syafi di atas katil. Dia mencapai mainan kapal terbang lalu mengajak Syafi bermain dengannya. Anak itu beberapa kali batuk.

Aira muncul semula bersama semangkuk bubur nasi dan ubat. Dia menjeling Hayyat. Lelaki itu sudah menukar pakaian kerja kepada kemeja-T berkolar bulat.

Hayyat segera berdiri, bersedia untuk beredar. Namun, niatnya dihalang oleh Syafi. Anak itu menarik tangannya.

Mulalah Aira berasa tidak selesa. Dengan berhati-hati dia menyuap bubur ke mulut Syafi. Ketika meneruskan suapan kedua, kedengaran suara Hayyat menegur.

"Mati tercekik budak tu nanti. Biarlah dia telan dulu."

Aira meletakkan kembali sudu ke dalam mangkuk. Dia menunggu sehingga Syafi membuka mulut minta diisi.

"Dah habis telan ke Syafi?"

Anak itu angguk.

"Eh, ada nasilah celah gigi Syafi. Minum air dulu. Kasi telan semuanya. Takut nanti sayang acik ni tercekik pula."

Hayyat melepaskan tangan Syafi sebelum melangkah keluar. Sakit hatinya disindir oleh Aira.

Senang sikit aku nak buat kerja, desis hati Aira.


AIRA membawa Syafi ke laman setelah didesak oleh anak itu. Itu pun ada perjanjian mereka. Syafi perlu makan ubat.

"Kau nak buat apa ni?" tanya Hayyat yang terserempak dengan Aira di tangga.

"Bawa dia keluar."

SEKALI LAGI CINTA KEMBALIWhere stories live. Discover now