BAB 2

16K 76 3
                                        

ZAFRAN OMAR menolak kasar pintu bilik Doktor Halina. Aira yang mengejar langkah Zafran cuba menenteramkan lelaki itu, namun tidak berhasil.

Doktor Halina menoleh. Sesaat kemudian dia berdiri. Cermin mata ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja.

"Kenapa ni, Aira?"

Aira menjongketkan bahu. Entah. Dia tidak tahu apa masalah lelaki itu.

Doktor Halina menghampiri Zafran. Dia ingat-ingat lupa lelaki yang berdiri di hadapannya. Yang dia pasti, wajah garang lelaki itu memberitahunya ada sesuatu yang dia tidak puas hati.

"Saya suami Amberlyn."

Mulut Aira sedikit terbuka. Dia sudah boleh meneka tujuan kedatangan lelaki itu. Mungkin meroyan sebab isterinya meminta cerai. Atau mungkin baru keluar dari lokap.

"Siapa yang berikan hak kepada doktor untuk runtuhkan rumah tangga saya?"

"Duduk dulu encik. Perkara ni boleh dibawa berbincang."

"Nak bincang apa lagi?" Zafran menengking.

Dia sudah melafazkan talak setelah didesak oleh isterinya. Bagaimana dia boleh bersabar apabila Amberlyn mula mengasari anak mereka?

Bukan Amberlyn tidak tahu kenapa dia berkasar. Apabila Syafi disakiti, dia bertindak luar kawal demi melindungi anak itu. Sebelum ini, tidak pernah sekali pun dia naik tangan terhadap isterinya itu.

Aira mula berasa cuak. Teringat kembali nasihat-nasihat yang diberikan kepada Amberlyn kelmarin. Adakah aplikasi teori yang dia gunakan salah?

"Duduk dulu encik." Doktor Halina masih memujuk.

Setelah Zafran melabuhkan punggung, dia meminta Aira menyediakan minuman kepada lelaki itu.

Aira masuk semula ke dalam bilik Doktor Halina bersama satu muk Milo.

"Kamu duduk sini," arah Doktor Halina.

Aira menelan liur. Dia duduk agak jauh daripada Zafran. Renungan maut yang diberikan oleh lelaki itu menakutkan.

"Kamu ke yang bagi sesi kaunseling kepada Puan Amberlyn?"

Lambat-lambat Aira angguk.

Dalam sekelip mata, air Milo membasahi pakaiannya. Mujurlah minuman yang disediakan tidak terlalu panas. Zafran membuang muk kosong ke lantai.

Doktor Halina berdiri kaku di tempatnya.

"Saya akan saman pusat ni. Saya akan buat apa sahaja yang termampu untuk pastikan pusat ni ditutup dan lesen ditarik balik."

Zafran mencerlung tajam wajah Aira. Ikutkan hati, dia mahu mencengkam pipi itu dan membenamkan kukunya ke dalam kulit gadis itu. Biar berlubang dan berdarah.

"Esok peguam saya akan datang."

Itu ayat terakhir Zafran sebelum melangkah pergi.

Aira tunduk memandang kemeja petak bewarna putih susu yang dicemari cecair melekit. Ketidakselesaan yang dirasakan dibuang jauh-jauh. Ada perkara lebih penting yang perlu dihadapi sekarang ini.

"Apa yang awak dah buat Aira? Saya minta awak batalkan appointment dengan Puan Amberlyn. Ada ke saya keluarkan arahan supaya awak kaunselingkan dia?"

Aira menggeleng.

"Itulah masalah awak, Aira. Banyak sangat bercakap. Bila mulut tu laju sangat, otak pun tak sempat nak buat kerja. Lain kali biar otak tu berfikir dulu."

"Puan Amberlyn luahkan masalah dia kepada saya. Boleh aje kalau saya nak buat tak tahu. Tapi, saya simpati dengan dia. Separuh mati dia dipukul oleh jantan tadi."

"Aira!"

Aira membatalkan niat untuk menyambung kata tatkala matanya bertembung dengan sepasang mata garang milik Doktor Halina.

"Tolong jaga sikit bahasa awak tu. Jangan suka-suka nak jantankan orang."

Aira tunduk apabila Doktor Halina menyekolahkannya.

"Awak keluar dari bilik saya sekarang juga."

Aira menurut arahan majikannya. Berani nak membantah? Pekerjaannya berada di hujung tanduk saja ni.


ZAFRAN datang lagi setelah seminggu berlalu. Lelaki itu dibawa ke bilik Doktor Halina.

"Awak tunggu di sini."

Zafran memberikan arahan kepada Aira apabila dilihat gadis itu mahu meninggalkan bilik.

Doktor Halina mengisyaratkan Aira supaya duduk.

"Sekarang ni, anak saya menangis siang malam cari ibunya." Zafran memulakan mukadimah.

Doktor Halina angguk. Dia tahu tentang anak tunggal pasangan itu daripada cerita-cerita Amberlyn.

"Saya percaya doktor tahu tentang keadaan Syafi."

Sekali lagi Doktor Halina angguk.

"Tapi disebabkan pekerja doktor yang berangan nak jadi kaunselor ni, anak saya kehilangan ibunya. Budak tu tak sihat. Dia perlukan ibunya. Amberlyn sudah seminggu tinggalkan kami semua."

Doktor Halina bercerita serba ringkas tentang Syafi kepada Aira.

Melopong gadis itu. Tidak dipedulikan pandangan tajam Zafran kepadanya. Aira menghela nafas dalam.

"Semua ni salah awak. Awak atau doktor perlu pujuk Amberlyn supaya kembali kepada saya dan Syafi."

"Kenapa tak fikir dulu sebelum pukul Puan Amberlyn kalau betul encik sayangkan isteri dan fikir tentang anak?"

Zafran menghela nafas dalam. Dia tidak akan bercerita kenapa dia bertindak kasar terhadap bekas isterinya. Itu cerita dalam kain. Kalau tersebar, semakin berserabut masalah mereka nanti. Reputasi dirinya dan Amberlyn akan tercalar.

Dia tidak mahukan kontroversi.

"Kalau tak dapat pujuk Amberlyn, saya akan buat dakwaan. Awak boleh didakwa. Adalah menjadi kesalahan mengikut Akta Kaunselor 1998 jika seseorang itu menggunakan gelaran kaunselor sedangkan dia tidak memiliki kelulusan dalam bidang kaunseling. Cuba cek sendiri, akta 580."

Zafran mengugut. Dia sudah mendapatkan pandangan mereka yang arif.

"Saya ada kelulusan dalam bidang kaunseling. Saya ada Ijazah Sarjana Muda Bimbingan dan Kaunseling."

Zafran menjongketkan keningnya.

"Awak memiliki tauliah amalan di bawah akta kaunselor?"

Aira menggeleng. Lelaki ini tidak boleh dipandang enteng.

"Bayaran doktor untuk satu jam 150 hingga 375 ringgit, kan?"

Doktor Halina angguk.

"Kalau macam tu, saya bayar double. Tak kisahlah doktor atau kuli doktor ni ke yang nak kaunselingkan Amberlyn. Yang saya nak tahu, dia pindah masuk semula ke rumah saya."

"Kalau tidak?" tanya Aira berani.

Geram juga bila Zafran memanggilnya kuli.

Soalan berbaur cabaran itu membuatkan Zafran semakin hilang sabar.

"Bos awak akan digantung lesen dan klinik ditutup."

Doktor Halina merenung tajam wajah Aira.

Masalah ni!

SEKALI LAGI CINTA KEMBALITempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang