HAYYAT cuba mengusir rasa risau yang hadir disebabkan ketidakhadiran Aira. Janji kepada Elina harus dipegang.
"Umi dah cuba telefon Aira?" Zafran bertanya.
Zainab angguk.
Suara tangisan Syafi yang semakin lama semakin kuat menyebabkan Zafran mula panas hati.
"Apa dia kata?"
Suara Zafran kedengaran agak kasar. Namun, bukan niatnya untuk meninggikan suara kepada Zainab. Dia terpaksa melawan suara bingit Syafi yang merengek mahukan Aira.
"Dia demam lagi. Tapi umi minta dia datang juga hari ni."
"Eloklah tu. Dah tiga hari dia cuti."
Hayyat tidak setuju. "Yat rasa lebih baik dia tak datang. Macam mana kalau demam dia berjangkit kepada Syafi?"
Zafran mendengus.
"Aku kena hadir simposium tu. Aku tak nak susahkan umi."
"Aku pun tak setuju kau susahkan umi. Seri kan dah ada. Dia dan Dewi boleh jaga Syafi."
Hayyat masih dengan stigma yang sama. Demam Aira boleh berjangkit kepada Syafi.
"Tengoklah! Apa yang Seri dan Dewi boleh buat? Dicarinya juga si Aira tu."
"Kau mintalah Amberlyn jaga dia dalam tempoh seminggu ni." Hayyat kemukakan cadangan lain.
"No! Aku tak nak ambil risiko. Nanti tak pasal-pasal dia bawa Syafi lari."
Hayyat menggeleng dengan wajah sinis.
"Dia lari sebab Syafi. Tak ada maknanya dia nak larikan si Syafi tu. Budak tu sakit."
Kata-kata si abang menikam sehingga ke dasar hati. Wajahnya terus berubah merah.
Zainab menggeleng lemah.
Hayyat yang menyedari keterlanjuran kata-katanya tadi bingkas berdiri. Dia mencapai briefcase lalu melangkah keluar dari rumah. Untuk memohon maaf, tidak sama sekali.
Ego!
MALAM itu Hayyat pulang agak lewat. Kereta Zafran tidak ada dalam kawasan parkir.
Sah! Adiknya tetap ke simposium meskipun terpaksa meninggalkan Syafi kepada umi.
Hayyat mengetap rahang. Kerana sikap culas Zafran terhadap Syafilah, dia terpaksa meninggalkan apartmennya dan tinggal di sini. Tetapi, tak adalah tertekan seperti sebelum ini. Dia tidak perlu mendengar Zafran dan Amberlyn bertengkar.
Hayyat menekan loceng pintu. Terjengul wajah Seri.
Menonong sahaja Hayyat melangkah ke tingkat atas. Dia menjenguk ke bilik Syafi yang terbuka luas. Kelihatan Aira sedang tertidur di atas sofa. Syafi pula terlentang di atas permaidani. Mainan bersepah merata tempat.
Hayyat menggeleng.
Syafi didukung lalu dibawa ke biliknya. Anak itu diletakkan di atas katil. Alat pendingin hawa dipasang.
Usai membersihkan diri, Hayyat menunaikan solat isyak. Perut yang terasa lapar diabaikan. Dia benar-benar letih.
Hayyat tertidur di sebelah Syafi.
BUNYI ketukan bertalu-talu pada pintu bilik membuatkan Hayyat terpisat-pisat bangun.
Daun pintu dibuka. Aira larikan anak mata apabila melihat Hayyat tidak berbaju. Lelaki itu hanya berseluar paras lutut.
"Syafi ada dengan awak ke?" tanya Aira dalam nada cemas.
Dia memanjangkan leher untuk melihat ke dalam bilik.
Hayyat merenung wajah Aira. Ada satu perasaan halus menyelinap masuk ke dalam hatinya. Ya. Dia memang menyimpan rasa rindu untuk gadis ini.
Aira mengalihkan pandangan ke wajah Hayyat semula. Mereka berbalas pandang.
Hayyat malu apabila ditangkap sedang merenung Aira.
Berlainan pula bagi Aira. Dia merasakan lelaki itu hanya menunggu saat untuk meletup. Kan aku dah ganggu tidurnya? Aira tidak berani memikirkan ayat apa yang akan keluar dari mulut lelaki itu.
"Saya minta maaf. Saya tertidur lepas makan ubat tadi."
"Kenapa datang kerja? Nak susahkan Syafi? Macam mana kalau dia pula demam?"
Aira diam. Kalau bukan kerana desakan Zafran dan umi, dia tidak akan datang.
"Syafi ada dengan saya. Tak sampai hati tengok dia tidur atas karpet. Upah babysitter pun tak guna. Asyik membongkang aje."
Besar kecil, besar kecil sahaja pandangan Aira kepada Hayyat. Dia menolak kasar tubuh Hayyat lalu masuk ke bilik lelaki itu. Hayyat terkejut dengan tindakan kasar Aira. Ringan sahaja tangannya mahu menampar Aira.
Hayyat mengejar langkah Aira. "Awak nak buat apa?"
"Saya nak bawa dia keluar dari sini. Nanti awak meroyan pula sebab tak cukup tidur. Cukuplah saya kena maki. Jangan sampai awak maki staf-staf di pejabat awak pula esok."
"Tak payah. Jangan ganggu tidur dia."
Aira berdegil. Dia menghampiri katil.
Hayyat melangkah lebih laju. Dia menarik tangan Aira.
"Saya kata, jangan kejutkan dia. Biar dia tidur di sini."
Aira merentap tanggannya. Dia mencerlung kepada Hayyat.
Entah kenapa, Hayyat berasa suka bila Aira memandangnya dengan cara begitu. Pandang tepat ke dalam matanya.
Apa ni Hayyat? Hayyat mengingatkan dirinya yang alpa sebentar tadi. Dia meraup wajahnya.
"Awak temankan dia di sini," ujar Hayyat dalam nada suara yang kembali normal.
"Awak?"
"Saya keluarlah. Huh!"
Hayyat mencapai baju yang disangkut pada kerusi lalu keluar. Daun pintu ditutup.
Aira masih kaku di hujung katil. Ya Allah, segannya nak tidur di sini, desis hatinya.
Lambat-lambat Aira merebahkan tubuhnya. Rasa mengantuk terus hilang tatkala menyedari ketiadaan Syafi tadi. Habis semua bilik diterjahnya. Kalau Hayyat perempuan, dia akan terjah sahaja. Tak perlu ketuk bagai. Dia tahu itu akan mengganggu lena lelaki itu.
"Asyik nak marah-marah aje. Dia tahu tak aku ni demam? Patut dapat cuti lagi. Ini kira baguslah aku datang juga kerja. Amberlyn, baliklah sini. Tak payahlah nak merajuk lama-lama. Aku yang susah kat sini. Kalau masalah Amberlyn dan Zafran selesai, bolehlah Doktor Halina rekomen aku kerja di tempat lain."
Hayyat memilih untuk tidur di bilik Syafi. Bau bantal dan cadar melekat dengan haruman yang dipakai oleh Aira. Tanpa sedar, Hayyat menguntum senyum. Dia memejamkan matanya sambil menarik nafas dalam. Haruman tadi meresap ke dalam rongga hidungnya.
Nyaman. Itu yang dirasakannya saat itu.
Hayyat tidak sedar rindunya kepada Aira memang dah masuk zon kuning. Hampir kritikal.
YOU ARE READING
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...