SEHELAI lagi tisu ditarik. Kali ini selesema yang dialami oleh Aira agak teruk. Namun, Zainab menyuruh juga dia datang bekerja kerana Seri masih bercuti.
"Umi minta maaf sebab suruh kamu datang juga. Zafran awal-awal lagi dah keluar. Sepatutnya dia duduklah di rumah jaga Syafi cuti hujung minggu macam ni."
"Aira bukan apa, takut selesema ni berjangkit kepada Syafi. Susah pula nanti."
Zainab angguk. Dia juga khuatir perkara yang sama. Tetapi, dia cuba berfikiran positif. Semuanya berlaku dengan kehendak Allah.
Hayyat yang baru selesai berjoging terus membawa langkah ke dapur. Tekaknya perlu dibasahkan.
Aira bersin beberapa kali.
"Kalau dah tahu demam, kenapa datang? Nanti berjangkit kepada Syafi, kan susah?"
Aira diam. Sehelai lagi tisu ditarik. Sengaja dia membuat bunyi membuang hingus apabila melihat Hayyat meneguk air.
Hayyat menjeling. Pada pendapatnya, apa yang dilakukan oleh Aira cukup tidak senonoh. Segera dia meninggalkan dapur.
Hayyat menyatakan pula kegusarannya kepada Zainab.
"Nak buat macam mana. Lutut umi lagi teruk bengkaknya. Siapa nak jaga Syafi? Siapa nak masak?"
Aira melangkah ke ruang makan. Air Milo panas bersama satu bekas kecil berisi ubat-ubat Zainab diletakkan di hadapan wanita itu.
"Jangan lupa makan ubat, umi," pesan Aira.
"Cik Aira, hari ni awak tak perlu masak."
"Kenapa pula?" tukas Zainab.
"Nanti tak pasal-pasal pula kita semua termakan hingus dia," ujar Hayyat dalam nada separuh berbisik, namun dapat ditangkap oleh Aira.
Zainab menjeling anak lelakinya.
Aira berpatah balik. Dia melihat Hayyat mencedok nasi goreng. Pinggan berisi separuh itu dipandang. Lelaki itu meliriknya melalui ekor mata.
Ketika Hayyat bersedia untuk makan, Aira mengambil pinggan tersebut. Mangkuk berisi nasi tambah turut diangkat.
"Nasi ni saya yang goreng. Air tu Dewi yang bancuh. Minum air sudahlah. Dewi sihat. Tak ada masalah."
"Aira, tinggalkan pinggan tu. Umi teringin nak makan nasi goreng air tangan kamu."
Aira senyum. Pinggan diletakkan di hadapan Zainab manakala mangkuk dibawa ke dapur.
Hayyat cuba mengawal emosi. Dia bangun. Kerusi ditolak kasar ke belakang. Aira memang kurang ajar. Tak padan dengan perempuan.
AIRA sudah tidak mampu bertahan lagi. Selesema yang dialaminya semakin melarat sehingga mahu mengerjakan solat zuhur pun sukar. Air hingus tidak henti-henti meleleh.
"Makan ubat ni." Zainab memaksa.
Dia kasihan melihat keadaan Aira. Bila Zafran pulang nanti, dia akan meminta anaknya menghantar Aira pulang. Hayyat pula seperti selalu, berkurung di dalam bilik, menghadap tugas-tugas pejabatnya.
Dek kesan ubat yang diambil, Aira mula rasa mengantuk. Syafi pula sudah lebih setengah jam tidur. Dengan beralaskan permaidani, Aira meluruskan tubuhnya. Niatnya mahu terlelap seketika untuk mengusir rasa mengantuk.
Aira hanya terjaga daripada tidurnya apabila terdengar suara memekik yang kuat. Rumah agam itu diserang amukan ke? Aira berusaha untuk membuka matanya, namun seakan-akan ada daya tarikan graviti di situ.

ANDA SEDANG MEMBACA
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomantizmTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...