BAB 6

9.2K 47 0
                                    

HATI kecil Hayyat menangisi khilaf lalu. Semakin hampir ulang tahun perkahwinannya dengan Elina, rasa pedih mula terasa mencengkam.

Sungguh, dia merindui isterinya itu. Bukan kerana rasa cinta yang menggunung, tetapi lebih kepada rasa bersalah yang tidak pernah surut.

Hayyat meraup wajahnya. Ikan-ikan kap yang berenang dalam kolam tidak lagi menarik perhatiannya.

Zainab mencuit bahu anak sulungnya yang jelas kelihatan tertekan. Sudah berbuih mulutnya bertanya apa masalah anaknya itu, namun hampa. Hayyat tetap dengan sikap mengunci mulutnya sejak pulang ke tanah air lima tahun yang lalu.

Zainab tahu Hayyat telah berkahwin ketika belajar di luar negara. Namun, tidak pernah sekali pun dia bertemu dengan menantunya itu.

Ketika menjemput kepulangan Hayyat, sekali lagi dia kecewa. Hayyat pulang seorang diri. Entah apa yang berlaku pada rumah tangga anak itu.

"Kenapa ni, Yat?"

Hayyat tersenyum pahit. Dia menoleh sekilas kepada si ibu sebelum pandangan dibuang ke hamparan rumput yang menghijau.

"Tak ada apa-apalah umi."

"Danisha ada call umi tadi. Dia kata rindu nak datang sini. Dia nak makan malam di sini."

Hayyat mengeluh. Bilalah agaknya Danisha nak angkat bendera putih? Tak jemu-jemu ke sepupunya itu mengejar cintanya? Sudah dua kali dia menolak cinta Danisha, namun gadis itu tidak mengalah.

Cubalah mengurat Zafran. Ada juga faedahnya. Tambahan pula adiknya sedang memegang gelaran duda.

"Dia dah lama tunggu kamu, Yat."

Kedengaran Hayyat mengeluh.

"Yat suka dia sebagai sepupu aje. Tak lebih daripada itu."

"Sampai bila nak membujang?"

"Yat dah kahwin, umi."

"Yalah dah kahwin. Tapi, mana isteri kamu? Hidup ke, mati ke, langsung umi tak tahu. Apa sebenarnya yang berlaku, Yat?"

Hayyat mengeluh lagi. Dia memicit pangkal leher yang memberat. Soalan umi dibiarkan tergantung tanpa jawapan.


ZAFRAN meraih lengan Amberlyn yang terdedah. Jelingan tajam wanita itu kepadanya tidak diendahkan.

Dia tidak perlukan wanita ini dalam hidupnya setelah apa yang berlaku antara mereka. Tetapi, Syafi sangat memerlukan Amberlyn. Kerana itu, dia mencemar duli datang ke studio untuk bertemu bekas isterinya itu.

"You tak kasihankan Syafi ke? Dia rindukan you."

Amberlyn mendengus. Dia mengusir make-up artist yang sedang membetulkan solekan wajahnya. Rimas apabila Zafran menyebut tentang Syafi.

Dia tidak mahu orang luar tahu dia melahirkan anak bermasalah. Anak yang tidak sihat. Anak yang menjadi penghalang kepada kariernya.

"I dah malas nak tinggal di rumah umi. Penat."

Zafran menggeleng. Penat? Semua kerja dilakukan oleh pembantu rumah.

"Kalau kita pindah, kasihan Syafi. Sekarang ni boleh juga dia bermanja dengan umi. Kalau pindah, you pula sibuk. Siapa nak jaga dia?"

"Biarlah dia di rumah umi. Kita berdua saja yang pindah."

"No! Itu kerja gila."

"Fine! Kalau you anggap gila, pergi balik sekarang. Banyak lagi kerja I yang belum siap."

SEKALI LAGI CINTA KEMBALIWhere stories live. Discover now