AIRA menuruni anak tangga. Dia bertembung dengan Doktor Halina.
"Nak ke mana?" tanya Doktor Halina.
"Cari kerja."
"Ikut saya. Ada perkara yang perlu kita bincangkan."
Aira menelan liur. Adakah Doktor Halina mahu mengusirnya dari bilik sewa? Aira gelisah. Ke mana dia mahu menumpang teduh? Dia tidak mempunyai pekerjaan mahupun wang simpanan.
Aira membuntuti langkah Doktor Halina ke dalam pusat terapi.
"Kenapa tak kerja sahaja dengan Encik Zafran?" Doktor Halina memulakan bicara.
Aira memicit pangkal leher.
"Susahlah. Budak tu sakit. Kalau tiba-tiba mati, macam mana? Nanti tak pasal-pasal dia saman saya pula. Encik Zafran tu memang sinonim dengan isu saman-menyaman ni."
"Tahu pun yang Encik Zafran macam tu. Sekarang dia nak saman saya."
"Lah, tak selesai lagi ke?"
"Belum. Dia akan tarik balik dakwaan jika awak kerja dengan dia."
"Mana boleh macam tu," tukas Aira.
Wajahnya sudah tegang untuk mempamerkan rasa tidak puas hati.
"Awak dah susahkan dia, Aira. Sepatutnya kita bagi jalan supaya rumah tangga mereka baik-baik sahaja."
Doktor Halina berjeda. Wajah Aira dipandang lagi. Otaknya ligat menyusun ayat untuk memastikan Aira menerima tawraan Zafran.
"Minggu depan ada pekerja baru yang menggantikan tempat awak. Dia akan tinggal di atas. Saya rasa awak dah boleh cari bilik sewa lain."
Aira terpempan. Bulat matanya menatap Doktor Halina.
Doktor Halina memalingkan wajahnya. Dia berasa bersalah. Dia tahu kisah hidup Aira. Gadis itu sudah lebih dua tahun membawa diri dan tidak pulang ke rumah keluarganya. Dia juga tahu Aira tertekan, tetapi dia perlu memikirkan risiko yang bakal perniagaannya hadapi.
Kedengaran suara Aira mengeluh.
WAJAH ketat Zafran menyambut kehadiran Aira pada pagi itu.
"Awak lewat setengah jam."
Aira tayang sengih. "Bukan salah saya, tapi pemandu teksi. Dia yang tersesat."
"Pergi masuk. Syafi sedang buat perangai tu. Kasihan umi."
"Eh, mana boleh main suruh kerja macam tu aje. Macam mana dengan gaji saya? Kita tak ada bincang apa-apa pun. Kontrak mana? Kontrak?"
Zafran mengerling jam tangannya. Hidungnya terangkat sedikit. Respons tanpa sedar apabila sedang marah. Zafran melonggarkan tali leher. Niat di hati mahu berleter, tetapi itu hanya melambatkan dia ke tempat kerja.
"Sekarang ni, masuk dan buat kerja dulu."
Aira tayang wajah tak puas hati.
"Kerja pun belum buat, dah tanya pasal gaji," omel Zafran seraya melangkah ke keretanya.
Zainab menghampiri Aira.
"Terima kasih sudi jaga Syafi. Umi dah tak larat. Sakit lutut. Itu yang susah sikit nak uruskan Syafi."
Umi? Dia bahasakan dirinya umi? Amboi, ini mesti tak lain tak bukan, nak jadikan aku calon menggantikan Amberlyn. Mata Aira berkedip-kedip memandang wajah Zainab.
"Yang kamu ni macam cicak tertelan kapur, kenapa?"
Aira menggeleng sambil tersengih.
"Bukan ke sepatutnya saya panggil Puan Zainab ke? Yalah, saya ni orang gaji aje di sini."
YOU ARE READING
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomantizmTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...