AIRA mendukung Syafi keluar dari kereta. Anak itu merangkul kejap lehernya. Aira ketawa kecil.
"Jangan peluk acik kuat-kuat macam tu. Tercekik nanti. Lidah terjelir macam ni."
Aira jelirkan lidah dengan mata yang buntang seolah-olah mati tercekik. Syafi ketawa mengekek.
Zafran tersenyum sambil menggeleng kepala. Macam-macamlah Aira ni.
Zafran mengunci kereta. Dia menghulurkan tangan untuk mengambil Syafi daripada Aira. Kasihan melihat Aira yang bertubuh kecil mendukung Syafi.
Syafi menggeleng tanda menolak. Dia kembali memaut leher Aira. Mukanya dibenam ke leher gadis itu.
"Biarlah. Saya okey lagi ni. Nanti kalau dah longlai, saya pujuklah dia."
Zafran senyum. Longlai. Jarang dengar perkataan itu.
Mereka beriringan masuk ke dalam pasar raya.
"Syafi nak beli apa?" Aira bertanya ketika mereka bertiga bediri di hadapan kedai yang menjual barang permainan.
Syafi menggeleng.
Zafran terkedu. Kesihatan anaknya itu semakin melarat ke? Biasanya Syafi akan teruja bila datang ke sini. Kali ini lain benar tingkahnya.
"Tak nak tengok apa-apa ke? Rugilah. Kita dah sampai sini." Aira memujuk.
Syafi menggeleng lagi.
"Syafi nak turun?" Aira masih cuba memujuk.
Syafi memberikaan respons yang sama.
"Jom, daddy dukung Syafi." Zafran cuba mengambil Syafi daripada dukungan Aira.
Syafi meronta menyebabkan Aira hilang imbangan badan. Zafran merangkul pinggang Aira untuk membantu menstabilkan gadis itu.
"Awak okey?" soal Zafran dengan riak cemas. Wajah Aira ditatap.
Aira tersenyum kelat. Dia berundur selangkah menjauhi Zafran. Lelaki itu segera faham. Tangan dialihkan dari pinggang Aira.
"Tak tahulah kenapa pelik sangat perangai dia hari ni," ujar Zafran perlahan.
"Mungkin belum sihat kut. Tak apalah. Saya bawa dia masuk dulu. Mana tahu kut ada sesuatu yang dia suka nanti."
Zafran angguk. Mereka bertiga melangkah ke dalam kedai. Aira membawa Syafi ke bahagian kereta kawalan jauh. Syafi sedikit teruja.
Aira membetulkan kedudukan Syafi beberapa kali apabila pinggangnya mula terasa lenguh.
"Syafi turun. Boleh pilih sendiri." Zafran memujuk. Dia tahu Aira semakin penat.
Syafi menggeleng.
"Nanti kalau Acik Ira penat, dia cuti lagi. Macam mana tu? Syafi suka ke acik selalu cuti?"
Laju sahaja Syafi mendepakan kedua tangannya minta didukung oleh si ayah.
Zafran tersenyum lebar. Gerak bibir Aira mengucapkan terima kasih tanpa suara. Zafran menghadiahkan senyuman paling manis untuk gadis itu.
"Sayang sungguh dia kepada awak."
Aira sambut kata-kata Zafran dengan sengihan. Dia juga sayangkan Syafi dan bapa saudara Syafi. Teringatkan Hayyat, sengihan berterusan menghiasi wajah Aira.
Skandal rumah tangga usahawan Zafran Omar semakin meruncing apabila bekas isterinya, Amberlyn, menuduh suaminya yang terlebih dahulu berlaku curang.
TAJUK sebuah artikel di media sosial membuatkan Zafran naik angin. Cerita yang disiarkan di sebuah laman sesawang mula tular ke laman sosial.
Zafran kalut. Perkara ini akan memberi kesan kepada reputasi dirinya dan syarikat. Dia meminta pandangan daripada Hayyat.
Hayyat memerhatikan gambar-gambar yang tersebar. Zafran memeluk pinggang Aira. Namun, yang lebih menarik perhatiannya ialah gambar Aira dan Zafran saling berpandangan. Macam ada sesuatu pada renungan masing-masing.
Mereka dilamun cinta ke?
"Betul ke apa yang mereka tulis ni?"
"Agak-agaklah kau ni. Masalah aku dan Amberlyn pun tak selesai, takkanlah aku nak nak tambah masalah lain lagi?"
"Tapi gambar-gambar ni?"
Terpaksalah Zafran bercerita daripada A sehingga Z tentang kejadian petang kelmarin.
"Kalau macam tu, kau call Aira dan umi dulu. Kalau ada sesiapa yang minta penjelasan mereka, bagi tahu dia, jangan layan. Karang kusut lagi jadinya kalau netizen spin cerita."
AIRA menarik nafas dalam. Macam mana kalau mama, Imran dan Hana membaca fitnah ini? Macam mana kalau mama menghantar pasangan suami isteri itu supaya datang mencarinya di sini?
Allahu! Aira memicit pangkal leher yang terasa berat. Baru dua hari bekerja semula, sudah timbul masalah baru.
Hayyat dan Zafran pulang awal daripada biasa pada petang itu.
Zainab hanya membisu setelah menerima khabar ini daripada adiknya, Badriah. Siapa yang tidak ada kerja sangat sampai sanggup mengikut Zafran dan menyebarkan fitnah ini?
Mereka berkumpul di ruang tamu. Syafi yang bersila di atas lantai asyik bermain dengan kereta mainannya.
Sesekali Hayyat mencuri pandang wajah Aira. Kenapalah reaksi sedih gadis itu seakan-akan membelit hatinya? Ingin dia duduk di sebelah gadis itu, menggenggam tangan dan membisikkan ke telinga Aira yang semuanya akan dapat diselesaikan.
"Aku dah agak. Kau baca ni."
Zafran menayangkan telefon ke wajah abangnya. Belum sempat Hayyat membaca, Zafran sudah memalingkan telefonnya semula.
"Apa dia? Aku tak sempat bacalah."
"Kau buka IG Amberlyn."
Tanpa berlengah, Hayyat dan Aira melakukan seperti yang disuruh.
Zainab memerhatikan anak-anaknya. Apa pula ni? Dia menunggu dalam kesabaran.
"Sah. Ini memang kerja dia. Dia nak netizen tutup mata kes tangkap khalwat dia tu, dia twist cerita kau dulu yang buat hal. Dia cuba beli perhatian dan simpati netizen."
Aira mengeluh. Zainab menggeleng.
Aira bangun. Dia mencapai beg tangan. "Aira balik dulu ye, umi."
Zafran turut berdiri dan bersedia untuk mengejar langkah Aira.
Hayyat menegah. "Aku hantar dia balik. Kau tunggu sini. Nanti tak pasal-pasal pula keluar plot cerita baru."
"Thanks."
Hayyat angguk. Dia mengejar langkah Aira.
DAPATKAN NOVEL SEKALI LAGI CINTA KEMBALI DI PASARAN.
PENGHANTARAN PERCUMA.🍀Untuk melanggan
http://www.wasap.my/+60132588069
http://www.wasap.my/+60132588069
http://www.wasap.my/+60132588069
YOU ARE READING
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomanceTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...