HAYYAT terjaga ketika azan subuh dari surau berhampiran berkumandang.
Dia bermalasan di atas katil. Teringin juga nak tengok keadaan Aira yang sedang tidur di dalam biliknya. Hayyat mengetap bibir. Perlahan-lahan dia bangun lalu menuju ke biliknya.
Tombol pintu dipulas. Tidak berkunci. Hayyat tersenyum nakal. Daun pintu ditolak.
Aira sedang tidur sambil memeluk Syafi. Sopan sahaja. Comforter ditarik menutupi separuh tubuh gadis itu. Lenanya kelihatan cukup pulas. Ada bunyi dengkuran halus.
Langkah Hayyat semakin mara. Wajah itu ingin ditatap dari jarak dekat. Sedang dia tenung wajah itu, mata Aira kelihatan bergerak-gerak.
Hayyat panik. Dia bergegas ke bilik mandi.
Aira masih lagi tidur ketika Hayyat keluar dari bilik mandi. Usai menunaikan solat subuh, Aira masih belum bangun.
Hayyat melabuhkan duduk di atas kerusi yang terletak bertentangan katil. Sebuah majalah dicapai. Sempat beberapa baris sahaja dibacanya sebelum majalah diitutup dan diletakkan di atas riba. Figura Aira yang tidur di atas katilnya, bagaikan magnet membuatkan pandangannya melekat di situ.
Aira merasakan matanya terlalu berat untuk dibuka. Dia cuba berkali-kali untuk meluaskan kelopak matanya, namun tidak berjaya. Aira pusing ke kiri dan kanan. Kemudian ke kiri semula. Dia mengengsot rapat kepada Syafi lalu memeluk anak itu. Bibirnya mencari pipi Syafi lalu dibenamkan di situ.
Hayyat menggeleng. Kau tu demam. Tak belajar ke penyakit ni boleh berjangkit kepada orang lain? Hayyat berleter dalam hati. Tak boleh jadi ni. Dia perlu kejutkan minah ni.
"Good morning."
Boleh pula Aira membuka luas kelopak matanya. Dia kemudian melompat turun dari katil.
"Kenapa tak ketuk pintu?"
"Ini bilik saya," jawab Hayyat sambil tersenyum sinis.
Perlu diingatkan gadis itu di mana mereka berada sekarang.
Aira angguk, tetapi kemudian menggeleng beberapa kali.
"Tapi awak sepatutnya kejutkan saya. Ini dah dikira mencabul."
Hayyat besarkan anak matanya.
"Cabul? Jauh sangat kedudukan kita ni. Tangan saya pula tak elastik nak buat apa yang awak tuduh tadi."
"Maksud saya, pandangan awak tu yang mencabul."
Hayyat ketawa kecil.
"Macam mana pula dengan telinga dan hidung saya yang dicabul oleh awak?"
"Apa maksud awak?" tanya Aira laju sambil menjegilkan matanya.
"Hidung saya bau sesuatu yang menjengkelkan tadi. Telinga pula dengar sesuatu yang tak enak. Macam mana awak nak jawab tu?"
Otak Aira ligat memikirkan apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Hayyat? Aku terkentut ke? Kentut aku kuat dan berbau busuk?
Aira tidak sanggup lagi berhadapan dengan Hayyat kalaulah benar apa yang muncul dalam kepalanya tadi. Malu weh! Aira segera berlalu pergi.
Hayyat menggeleng sambil tersenyum. Dia perasan Aira seperti mengelak bertentang mata dengannya. Rupanya minah ni tahu juga sentap. Ingat tak ada perasaan.
Melihat Hayyat ke dapur untuk bersarapan, Aira membawa Syafi ke laman.
Tidak lama Aira bertenang di situ apabila Hayyat muncul semula. Terpandangkan Syafi yang sedang bermain dengan anak kucing, Hayyat meletakkan briefcase di atas bonet kereta lalu menghampiri anak buahnya itu.
"Kenapa benarkan dia bermain dengan kucing? Stray cat pula tu!"
"Dia teringin. Dah banyak kali dia minta. Itu yang saya bawa ke sini kelmarin."
"Tahu tak bulu kucing ni bahaya? Itu belum lagi kutu atau sekenit. Sakit gila tau kalau kena gigit."
Aira selak bulu kucing itu untuk memastikan kucing itu tidak mempunyai kutu.
"Mana ada kutu, serkap jarang aje," bebel Aira. Anak kucing dihulurkan semula kepada Syafi.
Geram dengan sikap degil Aira, Hayyat merampas anak kucing itu.
"Baba tak benarkan Syafi main dengan kucing ni. Kalau nak, baba belikan kucing lain untuk Syafi. Itu pun kalau doktor izinkan."
Hayyat menarik tangan Aira menjauhi Syafi. Anak kucing diletakkan di atas tapak tangan gadis itu.
"Saya tak mahu tengok kucing ni apabila balik kerja nanti," ujar Hayyat sepatah-sepatah.
Kalau Aira tidak faham juga, dia tak tahulah nak kata apa lagi.
Aira melihat Hayyat melangkah ke kereta sambil tangan tidak berhenti-henti mengibas kemeja dan seluarnya yang dihinggapi bulu haiwan tadi.
"Mengada-ada!" kutuk Aira.
SEPULUH minit setelah Hayyat meninggalkan rumah, Amberlyn tiba bersama rakannya.
Pucuk dicita, ulam mendatang. Itulah yang dirasakan oleh Aira dengan kehadiran wanita itu.
Syafi berlari memeluk kaki ibunya dengan harapan dia dibelai. Amberlyn mencuit pipi anak itu sebelum memimpin Syafi masuk ke dalam rumah. Dia menjeling Aira yang sedari tadi memandangnya.
"Kerja lagi kau kat sini eh? Tak susah ke jaga budak ni?"
Belum sempat Aira menjawab, Amberlyn menyambung bicara.
"Oh, lupa! Kau penganggur. Tak ada kerja kan? Jadi, terpaksalah hadap kan?"
Aira mencebik. Meluat sungguh melihat wajah sombong Amberlyn yang sesuka hati menyindirnya.
Setelah bertegur sapa lebih kurang dengan Zainab, Amberlyn masuk ke biliknya. Beberapa helai pakaian dimasukkan ke dalam beg. Pasport turut diambil.
"Kamu tekad ke nak berpisah dengan Zafran?"
Amberlyn tayang wajah pura-pura sedih.
"Umi kena tanya soalan tu kepada Zafran. Dia yang mulakan semua ni. Hati saya dah tawar, umi."
"Fikirkanlah tentang Syafi." Zainab cuba menggunakan cucunya sebagai umpan.
"Bagi masa kepada saya, umi. Insya-Allah, umi doakan yang terbaik untuk kami ya?"
Jelas Amberlyn berlakon. Aira menggeleng kesal. Macam manalah dia boleh terjebak dalam masalah keluarga ni? Serabut betul.
YOU ARE READING
SEKALI LAGI CINTA KEMBALI
RomansaTajuk: SEKALI LAGI CINTA KEMBALI Penulis: ANNA MILIA Harga: RM25 / RM28 Hidup Aira cukup complicated. Dia lari dari rumah apabila Imran mengahwini Hana, adiknya. Prinsip Aira, lelaki ibarat virus. Jangan kasi can. Aira gantikan tempat Doktor Halina...