Bab 21

742 51 0
                                    

"Seriuslah kau tak jadi ikut aku nak balik Langkawi ni? Mama aku dah berharap dah nak jumpa kau." Tuturku sambil wajah moyok Sarah kupandang.

"Sorrylah, Yaya. Tolong cakap sorry sekali dekat mama kau. Aku memang nak ikut tapi tak dapatlah, babe. Aku kena tolong cover Lee untuk follow up case yang dia tengah in charge tu. Esok ada siding media dekat Balai Polis Bukit Aman."

"Hah? Kes apa yang siap kena pergi balai polis ni? Balai Polis Bukit Aman pulak tu?" Soalku terkejut.


Sarah tidak terus menjawab sebaliknya memandang ke kiri dan ke kanan.

"Kes lelaki yang dilaporkan hilang." Bisik Sarah perlahan.

"Ni kes yang masuk surat khabar minggu lepas tu ke? Kes lelaki hilang tanpa dikesan sebab mayat pun tak jumpa, motif pun pihak polis tak dapat nak simpulkan. Kes tu ke?" Soalku.


Memang aku ada terbaca tentang kes lelaki hilang di surat khabar tempoh hari. Kes tersebut menjadi perhatian disebabkan yang hilang ialah lelaki dan bukannya kes culik wanita seperti kes jenayah biasa. Sehingga hari ini tiada kesimpulan untuk kes tersebut disebabkan tiada klu dan bukti yang ditinggalkan oleh penjenayah.

"Malam tadi ada laporan lelaki hilang lagi. Kalau kau nak tahu setakat ni, kedua-dua mangsa hilang tu bukan lelaki biasa-biasa tau."


Aku pandang Sarah yang nampak serius.

"Mangsa yang pertama; businessman muda. Mangsa yang kedua ni pulak seorang arkitek."

"Entah-entah diorang hilang sebab kena culik dengan along atau lintah darat? Manalah tahu hutang keliling pinggang dan tak mampu nak bayar hutang-hutang tu semua?"


Terus Sarah menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan aku.

"Salah. Mangsa yang pertama memang tak berhutang dengan along selain daripada mempunyai komitmen dengan pihak bank je. Dia pun tak ada perangai pelik-pelik ataupun musuh. Nak kata kena culik, tak ada pulak ahli keluarga mangsa pertama tu terima panggilan telefon untuk minta wang tebusan. Jadi, memang pelik sebab sah-sah ini bukan kes culik."

"Kalau bukan kes culik, ini kes apa?"

"Kes ni peliklah, Yaya. Ni dah ada mangsa kedua pulak dan rasanya orang yang buat ni ialah orang yang sama. Kau tahu apa yang lagi pelik?"


Aku pandang wajah Sarah sekali lagi.

"Jam tangan lelaki yang hilang akan dikirimkan kepada ahli keluarga mangsa. Jam tangan tu pulak dah dimatikan baterinya pada pukul 1. Sama macam mangsa yang kedua ni. Jam tangan yang dimatikan pada pukul 1."

"Kalau lelaki tu hilang tanpa dikesan, macam mana ahli keluarga mangsa boleh tahu pulak?"

"Ahli keluarga dapat Whatsapp daripada mangsa yang mengatakan mangsa pergi jauh untuk jadi manusia yang lebih baik. Mangsa kedua ni pun 'kirimkan' Whatsapp yang sama kepada mak dia malam tadi. Tak tahulah maksud pergi jauh tu bermakna mati ataupun tak. Nak kata bunuh diri; memang tak ada kes bunuh diri yang dilaporkan ataupun pihak polis jumpa mayat."

"Hah? Eee..takutnya, Sarah! Ni psychopath ke apa?"

"Psycopath selalunya lelaki yang culik perempuan dan bunuh kan? Takkanlah ini perempuan pulak yang balas dendam? Sebab sampai sekarang kita tak tahu sama ada mangsa-mangsa tu dibunuh ke apa."

"Sarah, kau janganlah cover cerita jenayah yang macam ni. Bagi team Abang Farid jelah yang buat." Suaraku risau.

"Jangan risau, babe. Aku tolong cover Lee je untuk hari ni. Lagipun setakat nak pergi balai polis untuk sidang media je. Ini memang kes yang team Abang Farid handle. Aku ni bukannya wartawan jenayah yang terlatih." Sarah koyak sengih.

"Macam-macamlah dunia zaman sekarang ni. Menakutkan bila manusia tak takut buat dosa dan lupakan ALLAH." Balasku.

"Dah, dah. Lupakan pasal ni. Yang penting, kirim salam sayang dekat mama kau. Rindunya aku nak main air laut Pulau Langkawi." Kali ini nada suara Sarah bertukar ceria.

"Bulan depan kalau aku balik Langkawi lagi, jomlah ikut sekali." Bahu Sarah kupaut erat.

"Okey, bulan depan tu kira on." Senyuman Sarah melebar.



***

"Bolehlah, Yaya. Sekali ni je akak minta tolong Yaya untuk hal ni." Pinta Kak Diyana sambil bersuara lembut. Lembut pandangan matanya memandang aku. Kak Diyana ni pandai main psikologi betullah.

"Akak tak ada rancangan yang pelik-pelik kan?" Soalku, sedikit ragu-ragu dengan permintaan Kak Diyana sejak kami berada dalam kereta sepanjang perjalanan aku dari rumah ke KLIA2. Kak Diyana dan ideanya yang diadaptasi daripada scene drama Korea tu bukannya boleh dipercayai sangat.

"Pelik-pelik yang macam mana tu, Yaya? Hajah Khalida ni one of patients akak yang memang dah biasa dengan akak. Kiranya macam pelanggan tetap akak dekat hospital tu. Bila dia dah sihat sikit ni, dia nak berjalan-jalan di Langkawi tu. Jadi akak pun suggestlah untuk dia stay dekat resort abah. Resort abah tu kan strategik sangat. Cuma dia pun dah berumur, Yaya. Tak sesuailah nak sewa kereta dan drive sendiri kat Langkawi tu. So, akak nak minta tolong Yaya bawak dia jalan-jalan untuk sehari dekat Langkawi tu. Dia kat sana pun dua malam je semata-mata nak berehat." Terang Kak Diyana.


Aku senyap. Tak nampak pulak tanda-tanda Kak Diyana ada rancangan yang pelik-pelik.

"Hajah Khalida tu datang seorang je ke kak? Sebab akak kata dia dah berumur kan?" Soalku.

"Mengikut apa yang dia cakap, macam datang seorang je sebab arwah suami dia pun dah lama tak ada. Hajah Khalida ni kategori nenek vogue sebab baru 65 tahun. Dah berumur tapi masih cergas nak berjalan-jalan." Balas Kak Diyana.

"Kesianlah pulak. Teringat pulak dekat opah." Balasku.

"Sebab tulah akak nak minta tolong Yaya bawak dia jalan-jalan kat Langkawi. Lagipun untuk satu hari je. Akak dah bagitahu mama dan mama pun suka je Yaya bawak Hajah Khalida tu jalan-jalan. Mama siap pesan supaya bawak dia makan tengah hari kat rumah."

"Ala, kak. Mama tu memang suka memuliakan tetamu lebih-lebih lagi kalau kawan-kawan kita."


Melebar senyum Kak Diyana.

"Ni kira jadilah ni ya?" Soal Kak Diyana.


Aku angguk dan Kak Diyana tersenyum suka.

"Thanks, Yaya. Nanti akak bagi nombor Yaya dekat Hajah Khalida ya. Mesti dia seronok dengar ada orang nak bawak dia jalan-jalan dekat Langkawi."

Encik Ulat Buku (SUDAH TERBIT)Where stories live. Discover now