Laju jari jemari mendail nombor telefon bimbit seseorang. Selang beberapa saat kemudian, telefon ditekap ke telinga. Panggilan telefon itu masih tidak diangkat. Hana mencebik marah. Kenapa susah sangat nak angkat telefon?
Dahlia Ariana yang hanya menjadi penonton tidak berbayar mula menyoal, "Masih tak angkat lagi?"
"Tak..." nada kecewa dari Hana membuatkan Dahlia Ariana rasa serba salah.
"Cuba kau telefon sekali lagi. Mungkin dekat sini line slow." Dahlia Ariana memberi cadangan. Kurang senang hatinya melihat Hana yang gelabah tak ubah seperti ibu yang kehilangan anaknya.
Hana duduk di atas sofa empuk yang dikhaskan di dalam bilik tidurnya itu. Selepas kejadian awal petang tadi mereka terus pergi ke pasaraya, membeli barang dapur untuk di masak malam ini.
Pulang saja dari pasaraya, Fareez sudah tiada di rumah. Hanya Aazeif Iskandar dan abangnya Farhan Hafiey sahaja di ruang tamu. Tidak cukup dengan itu, pulangnya mereka dari pasaraya, Hana terus menerima bebelan panjang dari Farhan Hafiey. Katanya Fareez tidak dapat dikesan sejak dari tadi. Perasaan serba salah mula menyerbu hati Hana. Kemana Fareez pergi? Panggilan telefon juga tidak diangkat. Sudah berkali-kali mencuba tapi gagal.
"Aku tahu kau tak sengaja. Jangan lah macam ni." Pujuk Dahlia Ariana.
"Aku terlalu marah waktu tu."
"Ya... aku tahu."
"Aku tak ada niat pun buat dia macam tu. Macam mana kalau dia terasa sampai..."
"Jangan fikir yang bukan-bukan."
Dahlia Ariana menghampiri Hana yang muram itu. Tidak pernah Dahlia melihat Hana muram seperti ini. Layar ingatannya mengimbas kembali peristiwa-peristiwa yang pernah terjadi di kolej antara Fareez dan Hana. Rasanya semua pelajar sudah tahu. Sejak dari mula lagi jejaka bernama Fareez Luqman itu sudah lama menyimpan perasaan terhadap temannya ini.
Bermacam-macam cara yang sudah dilakukan oleh Fareez untuk memenangi hati gadis pilihannya itu. Namun, semua menemui jalan kegagalan. Hana memang keras kepala! Hatinya masih sukar menerima seorang lelaki untuk dijadikan sebagai teman istimewa.
Walaupun gagal, Fareez tampak tidak pernah berputus asa. Usaha Fareez itu sedikit sebanyak meyakinkan Dahlia Ariana sebagai kawan baik kepada Hana, ya jejaka itu benar-benar ikhlas.
Tiba-tiba tangan Dahlia Ariana dicapai. "Sejuknya tangan kau Dahlia."
Khayalan Dahlia Ariana mati di situ. Sedar dengan teguran Hana hanya senyuman manis terlakar pada wajahnya.
"Aku nak ke dapur sekejap. Tiba-tiba rasa haus pula. Kau nak aku ambilkan apa-apa tak untuk kau? Nescafe? Coklat panas?" soal Dahlia Ariana.
Hana hanya menggelengkan kepala.
"Betul ni? Tak menyesal?" Dahlia meminta kepastian sebelum beredar.
"Betul."
Dahlia Ariana bangun dan terus ke arah pintu bilik. Anak mata Hana menghantar langkah Dahlia sehingga kelibat itu hilang di sebalik daun pintu.
Usai sampai berhampiran dengan ruangan dapur, Dahlia Ariana menjengukkan kepalanya. Memerhati setiap sudut ruangan dapur dengan begitu berhati-hati. Sunyi sepi. Okay line clear!
Mana tidaknya, kali ini Dahlia Ariana memang perlu lebih berhati-hati. Sungguh dia tidak mahu peristiwa sebelum ini di rumah Hana berulang lagi dan lagi. Kali terakhir ke sini habis telur ayam di lempar pada Dahlia Ariana akibat usikan tolol Farhan Hafiey dan kawan-kawannya.
YOU ARE READING
Gadis Comel Dari Marikh
ChickLit"Aku tahu, aku sedar selama ni apa yang kau buat untuk kebaikan aku tapi Hana, dia tu abang kandung kau." - Dahlia Ariana. Dahlia Ariana menggelabah. Pelik-pelik benar permintaan Hana kali ini. Rancangan yang diatur cantik untuk mengenakan si mata k...