BAB 15

444 51 9
                                    

Encik Firdaus yang sedang menyiapkan sarapan di meja makan menghentikan pergerakkannya. Dia terus menoleh saat bayang yang ditunggu-tunggu tiba di ruangan meja makan. Dalam sesaat, terpana dia melihat wajah anak gadisnya itu kelihatan ceria dan... agak berlainan daripada sebelum ini. Encik Firdaus memandang anak gadisnya dengan kerutan di dahi.

"New style?" Encik Firdaus ketawa kecil.

Dahlia Ariana melabuhkan punggung. Hanya senyuman kekok yang dilemparkan kepada Papanya. Rambut yang dibiar terlepas separas dada itu dirapikan. Sungguh dia masih cuba untuk selesakan dirinya dengan baju baru yang dipilih Hana. Sesuai dengan paras ketinggiannya yang sederhana itu.

"Okay tak?" soal Dahlia Ariana semula sedikit risau.

Encik Firdaus semakin tersenyum lebar. Melihat penampilan Dahlia yang lain daripada sebelum ini membuatkan hati kebapaannya sebak tiba-tiba. Siapa sangka cepat masa berlalu, Dahlia Ariana sudah semakin dewasa.

Dia menghampiri anaknya. Dagu bujur sirih itu disentuh lembut.

"Anak Papa nampak matang, tapi... senyum tu. Senyuman tu kena bagi nampak ikhlas lagi." Senyuman di wajah Dahlia Ariana sudah semakin lebar apabila Encik Firdaus menyokongnya. Seraya dengan itu, tubuh papanya terus dipeluk erat.

"Thank you Papa."

Ketawa Encik Firdaus akhirnya meletus. Wajah Dahlia Ariana sudah merah padam menahan rasa. Satu perubahan yang agak drastik pernah Dahlia Ariana lakukan. Siapa sahaja yang tak rasa janggal?

"Papa gelak pula. Tadi bukan main puji lagi." Muka Dahlia Ariana sudah masam mencuka. Panjang benar muncung dibibir.

Sudahnya, Dahlia Ariana meleraikan pelukan lalu bangkit. Tanpa membuang masa, dia menyenduk nasi goreng yang telah terhidang di depan mata. Pantas tangannya mencapai sudu. Sumbat nasi goreng! Makan banyak-banyak!

"Panjang betul muncung tu. Nanti buah hati datang apa pula katanya nanti. Dah lah 3 hari tak berjumpa." Usikan Encik Firdaus dibalas dengan dengusan Dahlia Ariana tanda tidak senang hati dengan kata-kata papanya itu.

Dahlia Ariana membalasnya dengan jelingan tajam.

"Hari ni Lia pergi kolej dengan Hana." Sambungnya sambil mengunyah nasi goreng.

Encik Firdaus jadi musykil. "Kenapa tak pergi Farhan ? Bergaduh?"

"Eh papa ni, ke situ pula. Mana ada... Lia saja nak pergi dengan Hana hari ni. Lagipun kita orang nak singgah perpustakaan sekejap sebelum masuk kelas. Ada kerja sikit nak buat."

"Baguslah kalau macam tu. Cuma papa nak pesan sikit, bercinta boleh. Papa tak halang. Yang penting, atas diri Lia sendiri untuk bijak bahagikan masa. Jangan terlalu berharap, takut bila terlalu taasub diri sendiri yang merana. Papa tak nak perkara remeh macam ni menjejaskan pelajaran Lia. Jaga diri, jaga hati. Itu yang paling penting dalam situasi macam ni." Tutur Encik Firdaus.

Sepanjang perbualan itu, Dahlia Ariana hanya mendiamkan diri. Ada benar apa yang dikatakan oleh Papanya. Tetapi pada waktu yang sama dia buntu. Apa rancangan ini satu perkara yang betul? Dia takut andai tersilap langkah sekelip mata semuanya akan berubah. Paling penting dia tidak mahu termakan kata-kata manis Farhan Hafiey nanti.

Bunyi notifikasi dari telefon pintar Dahlia Ariana memecah kesunyian. Mesej yang terpapar di skrin telefon dibaca sekilas lalu. Nampaknya Hana sudah sampai diluar pagar rumah.

"Lia pergi dulu, Papa. Hana dah sampai tu." Beg terus digalas lalu tangan dihulur untuk bersalaman.

"Eh, panggil lah Hana masuk breakfast sekali."

Gadis Comel Dari MarikhWhere stories live. Discover now