"Aduh! Kau ni perlahanlah sikit! Sakit tahu tak?" bentak Dahlia Ariana.
"Jangan melawan," bantah Hana.
Dahlia Ariana mencebik, dia hanya membiarkan Hana menuam bibirnya yang masih bengkak itu. Sesekali Dahlia Ariana mengaduh sakan. Kasar betul tangan Hana ni! Dia nak bunuh aku ke? Apa lagi memang berang tahap cakar harimaulah jadinya. Bertubi-tubi pukulan dilepaskan oleh Dahlia Ariana.
"Sakitlah. Aku tonyoh mulut kau biar lagi bengkak nanti baru tahu. Amboi! Dengan aku berani pula kau pukul macam ini. Kalau Farhan yang kacau kau tak ada pula kau agresif sampai tahap ni."
"Diamlah!" herdik Dahlia Ariana.
Bulat mata Dahlia Ariana sesaat bila Hana selamba membidasnya. Suka-suka hati nak kata macam tu. Mata merenung tidak puas hati. Jawabnya memang merasalah lengan Hana dengan cubitan geram dia. Selain Hana, Fareez yang turut ada di dalam bilik rawatan itu juga dipandang menyampah. Ini semua angkara kawan baik kau lah!
Fareez tersenyum-senyum sambil menggeleng.
"Nasib baik doktor cakap kau akan pulih. Seram jugalah aku tengok. Bengkak mengalah orang buat pembedahan plastik. Sudah macam gaya makhluk asing kalau kau nak tahu." Tambah Hana.
"Kau tak bagitahu Papa aku kan?" Dahlia Ariana bertanya. Sengaja dia ubah topik. Bingit telinga menahan bebelan Hana.
"Hm, tak... Kalau ikutkan hati aku memang aku nak telefon aje uncle Firdaus. Biar Farhan tu kena libas. Baru dia tahu tinggi rendah langit dengan bumi. Fareez pun sama!" Hana mencerlung tajam ke arah Fareez yang masih setia membatu di bangku menunggu.
Terkebil-kebil mata Fareez hampir juling.
"Aik? Fareez pun kena juga?"
"Yelah! Biar kau orang bertiga kena sekali serentak. Farhan, Aazeif dengan Fareez. Selama ni memang kau orang pun kan yang sengaja usik dan kenakan Dahlia? Fareez pun dikira bersubahat dalam hal ni. Tengok apa yang dah jadi dekat Dahlia sekarang. Gurauan bodoh kau orang lah punca dia jadi macam ni. Tak kesian ke?" Kali ini memang Hana tak beri peluang. Bidas habis-habisan hingga Fareez yang tadi terkebil-kebil terus diam menunduk.
Hana menghala pandangan pada temannya pula. Dahlia, Dahlia. Bila dengan aku kau bukan main kasar tapi bila berhadapan dengan orang lain tiba-tiba sahaja keyakinan diri kau merundum jatuh ke tanah. Hana mendengus geram. Geramkan Farhan abangnya yang tak habis-habis mengusik Dahlia dengan usikan kasar.
"Aku rasa kita kena buat sesuatu." Tiba-tiba sahaja Hana bersuara. Dia memandang Dahlia Ariana dan Fareez silih berganti.
Fareez mendongak memandang gadis itu dengan kerutan di dahi, "Buat apa?"
"Balas dendam." Hana selamba. Dahlia Ariana di atas katil juga memandang Hana bagi meminta penjelasan. Huish! Biar betik Hana ni?
"Balas dendam? Maksud Hana..." belum sempat Fareez menghabiskan ayatnya Hana sudah mencelah.
"Ya, balas dendam pada Farhan." Bibirnya mula melakar senyuman yang penuh makna.
Dahlia Ariana laju menggeleng, "Merepek lah kau ni Hana. Tak nak aku."
Hana mengeluh sambil membundarkan mata, "Kenapa pula kau tak nak? Eh Dahlia Ariana. Kau tak penat ke asyik jadi bahan buli dekat kolej. Aku buat semua ni bukan untuk suka-suka tapi untuk kebaikan kau juga."
"Tak baik lah buat macam ni Hana. Dendam-dendam bagai. Aku tak nak ambik risiko." Dahlia Ariana tampak masih ragu-ragu dengan keputusan yang dibuat oleh Hana itu. Gila ke? Balas dendam pada si mata keranjang yang berbahaya seperti Farhan Hafiey tu? Itu namanya cari nahas! Silap-silap bukan Farhan yang terkena, mereka pula yang jadi mangsa.
"Habis apa yang Farhan buat dekat kau tu baik lah sangat? Come on Dahlia bangun lah! Sampai bila kau nak hidup bawah bayang-bayang macam ni? Kau tak penat ke dengan kehidupan macam ni? Asyik ditindas saja. Bila pula nak maju? Dulu pun aku pernah cuba nak ubah kau tapi mentah-mentah kau tolak. Lepas tu kau tengok sekarang apa dah jadi? Aku tak kira, kali ni aku nak kau dengar cakap aku." Panjang lebar Hana membebel.
"And for your part Fareez..." Hana menajamkan matanya ke arah Fareez yang hanya menjadi pendengar setia di situ.
"Hana perlukan bantuan Fareez untuk menjayakan rancangan ni. Hana tak kira, Fareez kena join juga sebabnya Fareez dah dengar semuanya." Sambung Hana dengan yakin.
Kepala yang tidak gatal digaru. Fareez jadi ragu-ragu untuk membuat kata putus.
"Err.."
"Kalau Fareez rasa nak tebus balik kesilapan Fareez yang lepas pada Hana, Fareez kena join. Mungkin dengan cara itu Hana akan pertimbangkan keputusan Hana untuk berbaik semula dengan Fareez." Hana silang tangan sambil memandang Fareez atas bawah.
Taktik yang digunakan oleh Hana kali ni nampaknya membuahkan hasil yang baik. Fareez yang tadinya masih dalam dilemma terus angguk kepala dengan laju tanda setuju. Berjaya juga mangsa menangkap umpan kali ini. Hana tersenyum kemenangan. Seterusnya, misi untuk menyakinkan Dahlia Ariana pula. Bila datang kepada Dahlia, Hana perlu main psycho sikit. Dahlia Ariana bukan mudah untuk dipujuk.
"Kami berdua dah buat kata sepakat. Tunggu kau je."
"Aku takut lah... Ish! Jangan nak merepek sangat lah Hana. Ini macam tindakan berani mati!" Dahlia Ariana membentak.
"Tak! Kali ni kita kena juga ambil risiko. Tolonglah aku cuma tak nak kau kena lagi dengan abang aku Dahlia Ariana. Kita kena ajar orang macam tu." Hana separuh merayu. Dia memeluk bahu Dahlia Ariana sambil mengusap-usapnya perlahan.
Dahlia Ariana masih tertunduk. Dia cuba untuk mengalihkan tangan Hana yang masih mengusap lembut bahunya.
"Ish... Janganlah macam ni Dahlia. Tolong bagi aku peluang untuk tebus balik apa yang abang aku dah buat dekat kau selama ni. Aku cuma nak tolong kau. Aku merayu dekat kau ni. Aku buat semua ni sebab aku sayang kau. Aku tak nak tengok kau tersakiti lagi kau tahu tak?" terang Hana panjang lebar. Dia menarik perlahan dagu Dahlia Ariana. Macam manalah dia boleh terlupa yang Dahlia ni sememangnya seorang yang penakut.
"Aku tahu, aku sedar selama ni apa yang kau buat untuk kebaikan aku tapi Hana, dia tu abang kandung kau." Sambung Dahlia Ariana.
"Dahlia aku kenal sangat dengan Farhan. Orang macam Farhan tu tak akan pernah kenal erti menyesal selagi dia tak kena dekat batang hidung dia sendiri. Aku cuma nak dia rasa erti penyesalan je Dahlia. Aku percaya dengan cara ni kita sama-sama boleh ubah dia. Sikap baran dia, perangai buaya darat dia tu. Takkan lah aku nak tengok kaum aku sendiri kena aniaya macam tu saja? Tolong Dahlia. Dia abang aku. Kau kawan baik aku. Kali ni saja..." Hana cuba memancing jawapan Dahlia.
"Hana... Kau tak sayang abang kau ke?" mudah soalan ciptaan Dahlia Ariana. Nak mengelak dari terus ditekankan oleh Hana.
"Mestilah aku sayang abang aku. Sebab sayang lah aku ambil keputusan macam ni. Aku pun tak nak tengok dia hanyut macam tu saja, jadi kepala samseng kolej. Ke sana ke sini perempuan keliling pinggang, kerja nak bergaduh dengan orang aje. Mungkin dengan cara ni Farhan akan belajar sesuatu bila dia menyesal? Cuba kau dengar dulu rancangan aku sebelum kau buat sebarang andaian." Bidas Hana sekaligus menunjukkan buku limanya.
Dahlia Ariana terus menggigit bibir bawahnya. Lain ditanya, panjang lebar pula jawapannya. Dia yang bertanya, dia juga yang kena marah.
"Jadi apa rancangan kau?"
"Ha... macam ni semuanya akan bermula dengan kau. Dalam rancangan ni kau akan mainkan peranan yang penting." Kata Hana tersenyum.
"Aku?"
happy reading! ❤️
hehehe jangan lupa vote dan comment okay? 🥰
YOU ARE READING
Gadis Comel Dari Marikh
ChickLit"Aku tahu, aku sedar selama ni apa yang kau buat untuk kebaikan aku tapi Hana, dia tu abang kandung kau." - Dahlia Ariana. Dahlia Ariana menggelabah. Pelik-pelik benar permintaan Hana kali ini. Rancangan yang diatur cantik untuk mengenakan si mata k...