Malam itu usai mandi dan menunaikan solat isyak, Emir duduk di birai katil menghadap ke tingkap biliknya sambil termenung jauh. Fikirannya menerawang jauh, teringatkan si dia yang berada di sana. Siapa si dia? Si dia, gadis kecil molek yang bernama Widya Wahyu. Entah, dia pun tidak pasti kenapa dia perlu fikirkan tentang gadis itu. Sedangkan gadis itu bukanlah sesiapa dalam dirinya. Jauh dari sudut hatinya, dia ingin mengenali gadis itu dengan lebih mendalam tapi ia bagai ada satu halangan yang menghalangnya untuk terus mengenali dan bermesra dengan gadis itu. Kenapa halangan itu perlu ada? Dia juga perasan, tiap kali dia bersama dengan gadis itu dia lebih memilih untuk berpewatakan dingin dan serius sehinggakan gadis itu juga takut dan tidak selesa apabila bersama dengannya. Pelik sungguh dia dengan dirinya itu.
"Mir. Termenung apa? Kenapa tak tidur lagi?" Emelina lantas bersuara setelah sekian lama berdiam diri. Dia sedang berdiri di sebelah Emir. Sebenarnya dia sudah lama berada di dalam bilik Emir, memerhati adiknya yang sedang termenung jauh itu. Emir saja yang tidak perasan dengan kehadirannya di dalam bilik itu.
Emir sedikit tersentak dengan teguran dari Emelina. Lamunan panjangnya serta merta terhenti. Dia lantas berpaling memandang Emelina yang sudah melabuhkan punggung di sebelahnya. "Eh akak. Bila masuk? Tak perasan pun.." ujarnya berbasa basi sahaja. Dia melontarkan senyuman kecil, menyambut kehadiran kakaknya itu.
"Akak ni dah lama ada dalam bilik kau. Kau je yang tak perasan, ralit sangat termenung. Termenung, fikirkan apa?" Emelina menyoalnya lagi. Wajah kacak milik adiknya itu direnung lama.
Emir hanya tersenyum kelat. Kepalanya digelengkan sahaja. "Yang akak ni tak tidur lagi kenapa?" Giliran dia pula menyoal.
"Akak dari bawah tadi, nak masuk bilik. Akak nampak pintu bilik Emir tak tutup rapat, lampu pun tak tutup, itu yang akak datang. Nak tengok Emir buat apa, rupanya tengah termenung jauh." Terang Emelina panjang lebar.
Emir hanya mengangguk faham sahaja. Dia hanya diam, tidak bersuara. Suasana antara mereka ketika itu sepi seketika. Rasa janggal mula menemani mereka. Emir tidak selesa dengan suasana itu. Dalam otaknya ligat berfikir, perbualan apa yang hendak dibualkan bersama dengan kakaknya ketika itu. Tiba tiba dia teringatkan sesuatu.
"Akak, Widya ada bagitahu apa apa tak dekat akak?" Dia menyoal secara tiba tiba dengan harapan kakaknya itu tidak fikir yang bukan bukan tentang persoalannya itu.
Emelina agak terkejut dengan soalan yang telah diajukan oleh Emir itu. Dia memandang lama ke arah adiknya. "Tak ada. Kenapa?" Dia mula musykil. Pelbagai soalan dan andaian bermain di benak fikirannya ketika itu. Dah kenapa budak sorang ni tetiba tanya pasal Widya?
"Pasal dia kena ragut? Kaki dia cedera? Tak ada?" Emir menyoal lagi, inginkan kepastian. Wajah curiga yang kakaknya pamerkan itu langsung tidak dihiraukan. Malas hendak melayan, pasti ada saja nanti soalan pelik yang akan Emelina ajukan kepadanya.
Sekali lagi Emelina terkejut dengan soalan dari Emir. "Widya kena ragut ke? Kaki dia cedera teruk ke Emir? Emir tahu mana ni? Macam mana Emir tahu? Dia tak de bagitahu apa apa pun dekat akak." Bertalu talu soalan dia lemparkan kepada adiknya. Jika tadi dia diselubungi dengan perasaan curiga, tapi kali ini perasaan risau pula yang menyelubungi dirinya setelah mendengar berita tentang keadaan Widya.
"Banyak nya soalan akak. Okay, biar Emir jawab satu persatu ye." Ujar Emir seraya menyambung ceritanya. Satu persatu dia ceritakan kepada Emelina. Dari awal sampai lah akhir dia ceritakan semuanya. Emelina pula hanya mendengar dengan teliti dan mengangguk faham. Timbul rasa kesian dalam hatinya terhadap nasib pekerjanya yang seorang itu. Namun dalam masa yang sama, dia juga bangga dan kagum dengan keberanian adiknya itu. Mujur saja Emir ada di situ, dapat juga dia selamatkan gadis itu dan membantunya.
"Kesiannya Dhiya. Mujur Emir ada dekat situ, ada juga orang yang boleh tolong dia." Ujar Emelina bernada simpati.
"Erm tu lah. Kebetulan je Emir ada dekat situ, Emir tolong lah. Ha kak, esok dia tak masuk butik tau. Emir tak bagi dia masuk butik, biarlah dia rehat dulu sampai kaki dia tu betul betul pulih." Ujar Emir.
Emelina sudah mengangguk, bersetuju dengan apa yang dikatakan Emir. Dalam masa yang sama, terbit senyuman nakal di bibirnya. Dia memandang lama ke arah Emir bersama dengan senyuman nakal itu.
Emir yang perasan dirinya sedang diperhatikan kini sudah tidak senang duduk. "Akak ni dah kenapa pandang Mir macam tu?" Emir mula menyoal. Pelik dengan pandangan serta senyuman nakal kakaknya itu. Keningnya berkerut sedikit.
"Herm... Dari cara Emir cakap tadi, akak tengok Emir macam prihatin sangat je dekat Widya tu. Ada apa apa ke?" Tebak Emelina, cuba main tarik tali dengan adiknya itu. Dia masih lagi setia bersama dengan senyuman nakal di bibir.
Emir tersentak seketika. Riak wajahnya hampir berubah tapi dia cuba sedaya upaya kawal riak wajahnya itu. Air liur ditelan seketika. "Eh akak ni, dah kenapa? Tiba je tanya macam tu. Emir tak ada apa apa pun dengan dia. Alang alang Emir dah tolong dia tadi, kebetulan pulak dia tu pekerja akak, jadi tak salah kan kalau Emir bagi arahan macam tu dekat dia. Lagipun, mana boleh pergi kerja dalam keadaan macam tu." Emir segera membalas, memberi jawapan selamat.
Emelina sudah tersengih sengih. Keningnya diangkat berkali kali. "Eleh... ye lah tu. Macam tak boleh percaya je ni.." duga Emelina. Dia masih was was dengan adiknya itu. Jari jemarinya bermain main di dagu. Mata masih setia memerhati Emir yang sudah seperti cacing kepanasan. Sah, ada something wrong ni.
"Hish akak ni. Merepek je. Sudah lah, Emir nak tidur ni. Akak tu hah, pergi lah tidur. Esok kerja kan." Emir lantas menghalau Emelina keluar dari biliknya. Makin dilayan kakaknya itu, makin menjadi jadi pula usikannya. Tidak senang duduk Emir dibuatnya.
Emelina melangkah keluar dari bilik itu dalam keadaan yang terpaksa. Ikutkan hati dia mahu saja duduk lama di dalam bilik adiknya itu, tapi adiknya itu terlebih dahulu menghalau dan menolaknya keluar dari bilik itu. Dia melangkah keluar bersama dengan tawa besar. Seronok dia dapat kenakan adiknya itu, lagi lagi apabila melihat wajah bengang dan cuak adiknya itu.
Pintu bilik itu ditutup rapat kemudian dikunci. Dia tidak mahu lagi diganggu oleh kakaknya itu. Dia mengeluh panjang. Entah kenapa, jantungnya berdebar laju saat itu. Soalan dari kakaknya itu sedikit sebanyak mampu membuatkan hatinya tidak keruan. Tapi kenapa? Kenapa dia perlu rasa perasaan begitu? Dia sudah jatuh cinta ke dengan gadis itu? Tak mungkin. Dia sedaya upaya menafikan perasaan itu. Mana mungkin dia jatuh hati pada gadis itu. Baru beberapa kali jumpa, sudah jatuh hati? Mengarut. Emir bukanlah jenis yang minat bercinta, malah dia bukanlah jenis lelaki yang mudah jatuh hati. Tapi kuasa Allah, siapa tahu. Hati itu sifatnya berbolak balik. Allah itu Maha Membolak-balikkan hati. Kun fayakun. Jika jadi, maka jadilah ia.
YOU ARE READING
KAU MILIK AKU
Любовные романыPertemuan yang tak dijangka antara dua insan yang berbeza sikap bagai langit dan bumi. Dhiya, seorang gadis peramah yang sering menceriakan hari. Emir, seorang lelaki dingin yang sering menyakitkan hati. Namun disebalik sikap yang ada pada diri ma...