Hari berganti hari, kini tibalah masa Widya mengikut Nadia pulang ke kampungnya di Pahang untuk menghadiri majlis kenduri kahwin sepupunya di sana. Kehadirannya sudah dimaklum awal oleh Nadia kepada semua ahli keluarganya. Mereka bertolak dari Kuala Lumpur dalam jam 9 pagi, dan tiba ke destinasi tepat jam 12 tengahari. Mujur saja kehadirannya ke rumah itu disambut baik oleh ahli keluarga Nadia. Dia juga selesa dan sedikit sebanyak mampu menyesuaikan diri serta beramah mesra dengan ahli keluarga Nadia.
Petang itu usai menunaikan solat zohor dan makan tengahari bersama, Widya dan Nadia sedang sibuk menyediakan kuih muih untuk dijadikan juadah minum petang mereka sekeluarga. Manakala neneknya, ibu dan abah Nadia pula berada di rumah mak su, sedang membantu menyediakan persiapan kenduri.
"Banyak nya kuih muih ni. Untuk siapa banyak banyak ni weh?" Widya mula menyoal. Matanya memerhati saja kuih muih yang banyak itu. Di depan matanya ada karipap, donut serta popia yang masih belum digoreng.
"Ni semua, kita kena bawa ke rumah mak su. Bagi orang kampung yang tengah merewang tu merasa." Terang Nadia. Dia masih lagi fokus menggoreng karipap di dalam kuali. Widya hanya mengangguk faham sahaja.
"Eh Dhiya, kau tolong sambung kerja aku ni. Aku nak ke tandas lah, tiba rasa nak membuang pula." Ujar Nadia bersama dengan sengihan. Tangannya memegang perut, faham sangatlah apa maksud nya itu.
Widya hanya menurut sahaja. Tugas menggoreng kuih muih itu kini beralih tangan pula.
"Goreng elok elok tau. Jangan berangan, nanti hangit." Sempat lagi dia mengusik Widya sebelum dia pergi ke tandas, melepaskan hajatnya.
Usikan itu Widya hiraukan saja. Makin di layan, tak jadi kerja lah jawabnya. Widya meneruskan kerja menggoreng karipap kemudian disusuli pula dengan popia dan akhir sekali baru lah donut.
Sedang dia sibuk menggoreng kuih muih itu, bunyi hon kereta dari luar menarik perhatiannya. Dia menjengah ke luar melalui tingkap dapur. Kelihatan kereta velfire hitam mula memasuki perkarangan rumah. Dia mula kalut. Dia tahu sangat kereta mewah itu kepunyaan siapa. Itu kereta Emelina, majikannya. Maknanya mamat beku itu sudah sampai. Makin kalut Widya dibuatnya apabila teringatkan si mamat beku itu.
"Assalamualaikum..." laung seseorang dari luar. Itu suara Emelina memberi salam. Widya sudah tidak tahu mahu buat apa. Dia mundar mandir seketika di dapur. Nadia pula masih tidak munculkan diri. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga menyambut kedatangan dua orang insan itu. "Hish, Nadia ni. Keluarkan taik ke keluarkan batu? Lama betul." Bebelnya sendirian di dapur. Tidak membuang masa lagi, kakinya terus melangkah ke ruang hadapan menyambut kehadiran Emelina dan lelaki dingin itu. Dadanya sudah berdebar hebat. Jantungnya berdegup laju. Bertabahlah Widya untuk berhadapan dengan mamat dingin itu.
* * * * *
Malam itu usai solat maghrib berjemaah, mereka makan malam bersama pula. Widya masih lagi sibuk membantu Nadia dan Emelina di dapur menyediakan makanan. Widya cuba sedaya upaya untuk beriak biasa tiap kali berhadapan dengan Emir. Hakikatnya, hanya Tuhan saja yang tahu debaran dalam hatinya apabila berhadapan dengan lelaki dingin itu.
Ternyata lelaki itu tidak berubah apabila bersama dengan keluarga. Dia tetap bersikap dingin dan pendiam. Cuma Widya sedikit kagum dengan lelaki itu. Biarpun dia seorang yang dingin tapi adabnya terhadap insan yang lebih tua masih dijaga dengan baik. Lembut saja layanan dan tutur bicaranya apabila bercakap dengan orang yang lebih tua darinya. Dapat dia lihat betapa kasih dan sayangnya Emir terhadap opahnya itu saat dia mengucup lembut kedua belah pipi dan memeluk erat orang tua itu tadi. Tersentuh juga hati Widya melihat kelembutan lelaki itu.
"Ha Dhiya, mari sini duduk sebelah mak ngah. Dari tadi mak ngah tengok Dhiya sibuk dekat dapur tolong Nad dengan Amel. Dhiya tu tetamu, sepatutnya kami yang sediakan makanan untuk Dhiya." Tegur mak ngah, ibu kepada Nadia. Kerusi kosong disebelahnya ditarik, menyuruh Widya duduk di situ.
"Ha Dhiya, duduk cepat. Betul tu, kamu tetamu tapi kamu pula yang melebih buat kerja. Segan pula kami sebagai tuan rumah ni. Dah mari duduk, Nad dengan Amel pun sama. Sudah sudah lah tu, jom makan." Giliran opah pula bersuara.
Widya teragak agak ingin melangkah ke arah mak ngah. Ikutkan hati dia, tidak mahu dia duduk bersebelahan dengan mak ngah. Bukan sebab tidak sudi tapi jika dia memilih untuk duduk bersebelahan dengan mak ngah, pasti dia perlu berhadapa dan menghadap wajah mamat beku itu. Tapi demi menjaga hati mak ngah, dia turutkan juga pelawaan wanita
Mereka bertiga masing masing mengambil tempat, melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan itu. Widya mengambil tempat disebelah kanan mak ngah, manakala Nadia pula disebelah kiri mak ngah, dan Emelina pula bersebelahan dengan Emir. Selepas itu pak ngah mengarahkan Emir untuk membaca doa makan. Dengan lafaz bismillah, doa makan dibaca oleh Emir.
Suasana ruang makan ketika itu riuh dengan suara mereka sekeluarga berbual. Pelbagai cerita mereka sampaikan. Dalam masa yang sama Widya juga turut menjadi perbualan utama mereka. Syukur, kehadiran Widya ke rumah itu disambut dengan baik oleh mereka semua. Masing masing menerima kehadiran Widya dengan hati yang terbuka. Baik yang di sini mahupun yang berada di rumah mak su, masing masing melayannya dengan baik. Layanan yang diberi sungguh sempurna, membuatkan Widya senang untuk berada lama di situ.
Sedang dia berbual mesra dengan mereka semua yang berada di situ, tanpa sengaja mata Widya teralih sedikit memandang Emir di hadapannya. Ternyata Emir sedang memerhatinya. Mereka saling berpandangan untuk seketika. Hampir tercekik dia dek kerana terkejut. Kelam kabut dia mencari air untuk di minum.
"Ya Allah, astaghfirullahalazim. Kamu ni kenapa Dhiya? Okay ke tidak? Sampai tersedak ni hah." Tegur mak ngah bersama dengan perasaan risau. Dia segera menghulurkan segelas air kepada Widya. Kini tumpuan semua orang di situ fokus sepenuhnya kepada dia. Dia sudah menunduk malu.
"Eh Dhiya, kau okay ke tak ni?" Soal Nadia pula. Dia turut berasa risau dengan keadaan temannya itu.
Air di dalam gelas itu diteguk perlahan. Setelah semuanya reda, dia mengangguk perlahan tanda dia berada dalam keadaan baik. Belakang tubuhnya diusap perlahan oleh mak ngah. Sekali lagi tanpa sengaja dia memandang ke arah Emir di hadapannya. Dia lihat Emir sudah menunduk dan fokus pada makanan di dalam pinggannya. Namun dia dapat lihat, disebalik tundukan itu ada terselit senyuman sinis pada bibir lelaki itu sekaligus dia menggeleng kepala perlahan. Sah, mamat beku itu sedang mengutuknya di dalam hati. Makin malu Widya dibuatnya.
"Dhiya okay ke tak ni? Kenapa muka tu pucat je? Dhiya tak sihat ye?" Opah mula menyoal dengan prihatin. Risau pula dia dengan keadaan tetamunya itu. Wajah pucat Widya itu direnung lama.
"Eh Dhiya okay je opah. Jangan risaulah." Balasnya, ringkas. Dia lantas menjamah makanan yang masih tinggal separuh di dalam pinggannya itu. Sepanjang dia makan, dia hanya menunduk saja. Tidak berani untuk mengangkat wajah dan memandang ke hadapan. Lagi lagi apabila melihat wajah dingin lelaki itu yang sering membuatnya tidak keruan i.
YOU ARE READING
KAU MILIK AKU
RomancePertemuan yang tak dijangka antara dua insan yang berbeza sikap bagai langit dan bumi. Dhiya, seorang gadis peramah yang sering menceriakan hari. Emir, seorang lelaki dingin yang sering menyakitkan hati. Namun disebalik sikap yang ada pada diri ma...