' Permainan ' bermula.

1.3K 50 3
                                    

Mira merenung jauh di satu sudut bilik rawatan itu. Renungannya cukup tajam. Sehinggakan dua wanita yang kebetulan berada di hadapannya ketakutan melihat Mira.

"Kamu ni kan, tak sudah - sudah kacau aku!!! Kamu mahu apa jugak nii!!" Mira tiba - tiba membentak. Ayah Mira dengan pantas memegang bahu Mira, bimbang Mira melakukan sesuatu yang membahayakan dirinya. Air mata Mira mengalir deras. Dia masih lagi merenung di satu sudut bilik rawatan tersebut tanpa mengelipkan matanya.

Beberapa orang perawat yang ada di situ cepat - cepat ke tempat Mira. Membaca ayat - ayat ruqyah agar jin - jin yang bersarang di badan Mira dapat dikeluarkan.

"Kamu ingat, kamu baca - baca begitu tu, kami hilang??  Hahahahahaha!!!!! Bodoh!!!  Kamu ingat kami tak pandai cari dia ni balik??? Tuan kami tahu dia di mana!!! Dia ni bodoh!! Dia mati dulu, baru tuan kami puassss!!!" Jerit Mira sekuat hatinya. Dia mulai memukul kepalanya dengan kuat. Kekuatannya sungguh luar biasa, padahal Mira sangat kurus.

Para perawat tidak putus asa. Mereka meneruskan bacaan al - Qur'an dengan lancar. Salah seorang perawat tersebut memprovok jin - jin yang berada di dalam badan Mira. "Hanya Allah yang berkuasa menghidupkan dan mematikan. Tuan kamu siapa? Cukup besarkah dia sampai kamu patuh arahannya? Baik kamu keluar dari badan dia ni! Kalau tidak, aku sembelih!"

Mira ketawa kuat. "Tuan kami mahu dia mati!! Dia ni tak layak hidup!!! Kau jangan masuk campur!!! Ingat! Siapa masuk campur, jadi macam si bodoh ni!!! Hahahahaha!!!!"

Rawatan diteruskan. Mira meraung - raung kesakitan, padahal ustaz tersebut hanya memegang hujung ibu jari kakinya. Bau hanyir mulai menusuk di hidung. Luka - luka di badan Mira menjadi berair,  kemerah - merahan akibat dia terlalu kuat meronta - ronta minta dilepaskan. Setelah hampir 40 minit bertarung, jin - jin yang bersarang di dalam badan Mira akhirnya keluar.

Buat masa ini.

Mira tertidur keletihan. Kepalanya berdarah sedikit akibat pukulannya sendiri. Kulitnya yang luka melekat di baju kurungnya itu. Dua wanita yang menyaksikan 'pertempuran' tadi menangis melihat keadaan Mira. Seolah - olah mengerti akan apa yang dirasakan Mira.

"Saya rasa, baik anak ni datang setiap kali Darussyifa ini dibuka. Sebab apa yang mengganggunya ni sudah lama tinggal dengan dia. Memang payah dikeluarkan," salah seorang perawat tersebut akhirnya bersuara. Ayah hanya mengangguk lemah lalu mengucapkan terima kasih kepada para perawat.

Sepanjang perjalanan balik, Ayah hanya memandang  Mira. Wan memandu kereta dengan berhati - hati agar Mira tidak terjaga dari tidurnya. Dia bimbang akan keadaan anaknya itu. Manakan tidak, dengan usianya yang masih muda, keadaan Mira amat menyayat hati Ayah.

Mendengar apa yang diceritakan Wan, adik - beradik Mira yang lain terdiam. Masing - masing memerah otak, cuba meneka 'tuan' yang dimaksudkan. Namun, masing - masing tidak berani untuk menuding jari ke siapa - siapa yang dikenali. Khuatir ianya menjadi fitnah.

Beberapa hari kemudian, sepupunya Mun datang ke rumah. Mira menyambutnya dengan gembira walaupun ketika itu, dia bertarung dengan perasaannya sendiri. Segala benda serba tak kena. Di tempat kerja, prestasinya juga turut terjejas. Bau hanyir nanah lukanya semakin kuat saban hari. Dia sering ditegur akibat prestasi kerja dan penampilan diri yang semakin hari semakin tidak terurus. Mujurlah, murid - muridnya tidak terhidu bau nanah itu. Agak pelik kerana orang lain seringkali menegurnya kerana baunya sangat tidak menyenangkan. Namun, itulah hakikatnya. Anak - anak muridnya langsung tidak menyedarinya.

Mun bercadang untuk tidur di rumah Mira selama seminggu. Terlalu banyak benda yang ingin dikongsinya kepada Mira. Namun, segalanya terbantut setelah melihat keadaan Mira. "Kenapa kau ni, Mie? Habis luka ni." Ketika itu, luka akibat 'alergi' itu sudah sampai ke pipinya. Kaki, tangan sudah penuh dengan luka. Peliknya, di bahagian lain tiada kesan luka 'alergi' walau sedikitpun.

"Doktor cakap, alergi. Mungkin banyak benda aku makan yang tidak sepatutnya aku makan kan. Tu lah jadi begini ni," kata Mira, cuba membohong diri sendiri. "Takpa, hilang juga nanti ni. Tengok ja!" kata Mira bersungguh - sungguh. Dia cuba memandang apa yang dialaminya itu di sudut positif. Berdosa mengeluh. Itu yang sering Mira ingatkan dirinya. Mun tergelak kecil melihat Mira. Dia hanya mengangguk mendengar kata - kata Mira.

Malam pertama Mun di rumah Mira merupakan malam pertama Mira sekeluarga mulai mengalami kejadian pelik. Maghrib, pagar rumah mereka bergegar dengan kuat, seolah - olah ada yang menggegarkannya. Mama yang kebetulan berada dekat situ terkejut. Namun,  Mama hanya menganggap mungkin kucing terlanggar pagar tersebut. Kira - kira pukul 10 malam, kedengaran benda terhempas kuat di atap rumah mereka. Wan dan Ayah keluar untuk memeriksa apa yang jatuh namun mereka tidak menemui apa - apa. Tidak lama selepas itu, kedengaran lagi bunyi kuat, seperti seseorang atau sesuatu berlari dengan laju di atap. Bunyi larian itu cukup untuk membuatkan Mira dan Mun ketakutan.

"Uish, apa tu Mie???" kata Mun sambil memegang tangan Mira, erat.

"Kucing kali," balas Mira. "First time ada bunyi begini ni. Gemuk kali kucing tu kan, sampai kuat betul kedengaran," gurau Mira. Walhal, dia seolah - olah tahu apa yang berlaku sehinggakan tangannya menggigil ketakutan. ' Ya Allah, jauhkanlah aku dari gangguan jin dan syaitan yang menyakiti aku' doa Mira dalam hati. Dia membaca ayat Kursi dalam hatinya, berulang - ulang kali.

Mun tidak senang duduk. Dia mengajak Mira tidur awal supaya mereka tidak lagi mendengar bunyi - bunyi yang menakutkan itu. Mira pun menurut kata Mun. Akhirnya, mereka tertidur setelah beberapa minit memaksa diri untuk tidur.

Bagi Mun, sudah tentu itu merupakan pengalaman yang mengerikan kerana dia pernah 'diganggu' di sekolah lamanya dulu hingga memaksanya keluar dari asrama perempuan sekolah itu lalu tinggal di rumah Mira selama dua tahun. Ini kerana, rumah Mira agak dekat dengan sekolah lama Mun. Jadi, bolehlah Mun berjalan kaki ke sekolahnya.

Namun, bagi Mira, itu adalah permulaan kepada penderitaannnya...

SIHIR-Where stories live. Discover now