BAB 2
"SEMUA barang dah ada? Tak ada apa-apa tertinggal lagi?" tanya Encik Fakhrul.
"Tak ada, bah," sahut Falisha yakin. Semua bagasi sudah selamat didaftar masuk. Yang ada bersamanya sekarang hanyalah beg komputer riba. Dokumen penting semua ada di situ.
Berpuas hati dengan jawapan Falisha, Encik Fakhrul kembali melangkah. Di sisinya, Puan Hidayati setia mengiringi. Falisha dan Fayyad di belakang pula berjalan bersebelahan. Kesempatan itu diambil Fayyad untuk berbisik, menempelak si kakak.
"Dah angkut dua luggage besar anak gajah. Kalau ada barang tertinggal lagi, Yad tak tahulah nak kata apa."
Falisha memicing mata sambil hujung bibir menjongket. Geram betul dia dengan mulut adiknya. Tak habis-habis nak sindir dia.
"Jangan nak kepoh sangat, boleh?"
"Yad tak kepoh pun. Yad cakap aje," jawab Fayyad, tayang muka tak berdosa. Sengaja bikin hati si kakak bertambah panas. Dia pura-pura tak nampak mata kakaknya yang sedang menjegil. Meski Falisha tidak bersuara apa-apa lagi, Fayyad tahu Falisha sedang mengutuknya di dalam hati. Mungkin kewujudan umi abah di depan mata yang menjadi penghalang untuk Falisha berceloteh.
Fayyad dan Falisha memang begitu. Depan umi abah, masing-masing bawa perwatakan insan berat mulut, bercakap hanya bila perlu. Semuanya gara-gara Encik Fakhrul yang agak garang dan tegas. Pantang ada perilaku atau ayat yang tak menyenangkan dia, siaplah anak-anaknya ditarbiahkan. Puan Hidayati pula memang jenis pendiam. Maka nak tak nak, Fayyad dan Falisha berubah karakter setiap kali bersama umi abah. Tapi di belakang mereka... Masing-masing mengoceh bagai murai tercabut ekor!
Kira-kira beberapa meter dari pagar tempat berlepas, empat beranak itu membrek langkah. Encik Fakhrul dan Puan Hidayati berkata-kata, meninggalkan nasihat kepada si anak sulung untuk menjaga diri, buat kerja dengan ikhlas dan bagus, dan jangan lupa solat dan mengaji. Falisha tak membetah apa-apa. Sekadar diam dan angguk-angguk, iakan saja apa yang dikata mereka. Tetapi sewaktu Fayyad tiba-tiba meminta diri...
"Umi. Abah. Yad... Yad..." Fayyad tiba-tiba keresahan. Muka yang tadinya nakal mengenakan Falisha, sekarang tak ubah seperti cacing kepanasan.
Berlipat dahi Falisha bilamana si adik tiba-tiba beredar meninggalkan mereka, walaupun sebelum Encik Fakhrul dan Puan Hidayati memberi keizinan. Kedengaran dengusan terlepas dari mulut Encik Fakhrul. Bengang gamaknya dengan tingkah si anak, namun Falisha pekakkan telinga.
Mata Falisha menyoroti pergerakan si adik. Kelihatan Fayyad berjalan laju-laju dengan kepala menunduk dan jemari saling meramas. Sesekali Fayyad menoleh ke belakang. Falisha terus mengamati adiknya sebelum mata Falisha melingas, mencari apa atau siapa yang sedang dilihat Fayyad.
Hari ini ramai pula orang di sini. Terlalu ramai, hinggakan Falisha tak dapat tebak gerangan siapakah yang asyik dipandang-pandang Fayyad sebelum dia menghilang ke bilik air.
Lelaki berbaju biru itukah? Atau wanita berkemeja tersebut? Atau remaja yang sedang berjalan bersama ahli keluarganya? Atau sebenarnya ada sesuatu di situ? Apa pun atau siapa pun orangnya, kenapa Fayyad tiba-tiba gelabah sebegitu? Apa yang ditakuti Fayyad?
Dalam pada Falisha tertanya-tanya, namanya diseru Encik Fakhrul. Nak tak nak, Falisha terpaksa ketepikan seketika perihal adiknya. Mata dipaku pada si abah yang sedang memberikan lagi pesanannya.
BADAN dihempas di atas katil. Terlentang dia buat beberapa ketika sebelum akhirnya dia duduk bersila. Mata Falisha meliar memandang segenap ruang bilik. Alhamdulillah, dia sudah sampai ke Betong, Sarawak. Bilik yang dia diami sendirian juga agak selesa. Berbaloilah dengan harga sewaan.
YOU ARE READING
Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)
Romance"Kerana ada ketika, kita terlepas peluang cinta untuk kali pertama." MENOLAK luahan perasaan seseorang sambil tersenyum manis? Kejamnya! Tapi itulah yang disaksikan Falisha. Seorang lelaki menolak pengakuan cinta wanita lain bersama muka semanis gul...