BAB 12
"FAL!"
Terpasung langkah Falisha dek laungan seseorang. Toleh kiri, dia nampak Huzair sedang berlari-lari anak ke arahnya. Kening Falisha terangkat automatik. Hairan melihatkan Huzair memakai pakaian sukan. Bila sudah berdiri depan-depan, Falisha nampak renek-renek peluh di dahi lelaki itu.
"Kau nak ke mana? Baru nak balik? Mana Syaz?" Bertalu-talu Huzair menyoal sambil mata melingas ke kanan dan kiri, mencari kelibat Syazlin. Selama ini, Syazlin dan Falisha selalu pulang bersama. Kalau jadual berbeza dan waktu pulang berlainan pun, salah seorang sanggup menunggu demi seorang lagi. Ini, tak ada pula.
"Syaz dah balik dulu. Dia tak sihat. Aku baru nak baliklah ni. Ingat nak panggil Grab tapi tengoklah nanti. Kalau aku rajin, aku jalan kaki aje balik rumah." Jujur Falisha memberitahu namun dia sembunyikan fakta yang Syazlin pulang kerana senggugutnya yang teruk. Kesian Syazlin. Teruk sangat, sampaikan muka pucat semacam. Tak sampai hati pula Falisha nak suruh Syazlin tunggu dia.
"Tak payahlah! Aku hantarkan. Jom."
"Eh tak payahlah. Aku boleh balik sendiri. Kau tengah buat apa? Ada sukan apa?" Huzair kata tak payah dekat dia, dia balas semula pada Huzair. Falisha tak nak ganggu rancangan lelaki itu.
"Aku saja main bola sepak dengan students kat padang tadi. Lepas tu saja joging sekejap. Jomlah, aku hantarkan."
"Tap..."
Nak membantah pun, sia-sia. Sebab sekarang, beg yang dijinjit Falisha sudah berpindah tangan. Senang-senang saja Huzair rampas beg tersebut. Terukir senyuman kemenangan di bibir Huzair, buatkan hati Falisha bertambah sebal. Ini satu perkara yang dia benci pasal Huzair. Semua nak ikutkan kehendak dia!
Pernah sekali Falisha demam. Tak larat nak keluar dari katil, tak larat juga nak makan apa-apa. Lesu semacam badannya. Bila berita itu sampai ke pengetahuan Huzair, tahu-tahu saja dia tercongok di depan pintu rumah sewa. Yang bikin Falisha bengang, Syazlin dan Farahain juga ikutkan rentak Huzair! Mentang-mentang Falisha tak larat, mereka pakaikan tudung secara paksa dan kemudian menjemput Huzair masuk ke dalam biliknya.
"Aku belikan kau bubur. Makan cepat. Kalau tak, aku suap."
Bila Falisha tolak, betul-betul lelaki itu kotakan kata-katanya.
"Aku boleh makan sendirilah!" Tengah lemah pun, Falisha mampu membalas dengan hati mendongkol. Maka waktu itu, Falisha makan disaksikan Huzair dengan mata tak lari walau sesaat, juga ada dua pengawal bernama Syazlin dan Farahain di muka pintu bilik.
"Kut ya pun tak puas hati, soroklah sikit muka tu. Cemberut semacam. Cepat masuk," kata Huzair, melenyapkan memori tahun lepas dari minda Falisha. Rupanya sekarang mereka sudah berdiri tepat di sebelah kereta Perodua Kancil Huzair. Lelaki itu siap bukakan pintu untuk Falisha, mengalu-alukan dia masuk ke dalam.
Falisha merengus. Kaki turut menghentak perlahan. Peduli apa kalau muka dia cemberut sekarang? Depan Huzair saja pun. Tak adanya dia nak tayang muka suci murni tiba-tiba.
"Ada orang pernah beritahu kau tak?" Baru sebelah kaki masuk ke dalam kereta, Falisha tangguh niatnya seketika. Dia aju soalan pada Huzair dengan mimik muka sama seperti tadi.
"Apa?"
"Kau suka memaksa. Acah alpha sangat." Lancar Falisha keluarkan ayat-ayat itu. Niatnya, nak menempelak tapi air muka Huzair berubah seratus peratus! Adakah lelaki itu tersinggung dengan kata-katanya? Atau... Memang ada seseorang yang pernah mengatakan perkara sama kepadanya?
"You suka paksa-paksa I tau. Jangan tunjuk perangai alpha sangat, boleh?"
"I care about you, dear."
YOU ARE READING
Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)
Romance"Kerana ada ketika, kita terlepas peluang cinta untuk kali pertama." MENOLAK luahan perasaan seseorang sambil tersenyum manis? Kejamnya! Tapi itulah yang disaksikan Falisha. Seorang lelaki menolak pengakuan cinta wanita lain bersama muka semanis gul...