Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 7)

450 30 9
                                    

BAB 7

HUJUNG minggu itu, Falisha dan Syazlin ke Kuching. Alang-alang Syazlin hendak pulang ke rumah keluarganya, Falisha minta ditumpangkan ke sana juga. Dia ingin menunaikan permintaan Fayyad, yang terang-terangan mahukan cenderahati dari Kuching.

Namun Syazlin pula mengambil peranan sebagai seorang pemandu pelancong. Dibawanya Falisha bersiar-siar di bandar raya Kuching. Upside Down House, Kuching Waterfront, Plaza Merdeka dan beberapa tempat lagi dikunjungi mereka. Paling Falisha suka, bergambar di hadapan statue gah Kuching di Jalan Tunku Abdul Rahman dan juga lukisan mural orang utan. Falisha kirim gambar orang utan tersebut kepada Fayyad dengan ayat...


Akak tengah selfie dengan Yad.


Falisha menyengih sendiri bila Fayyad balas emoji penumbuk. Marahlah tu, Falisha samakan dia dengan orang utan!

"Kau nak beli apa-apa lagi untuk adik kau?" tanya Syazlin ketika mereka menyejukkan badan seketika di dalam sebuah kafe. Cuaca panas di luar, memang tekaknya menjerit mahukan frappe. Bila lalu tekak, pasti syurga dunia miliknya! Tapi sebelum Syazlin oder air, dia sengaja bertanya dulu. Kut Falisha baru teringat sesuatu, boleh mereka dapatkan dahulu item tersebut.

Pantas Falisha menggeleng. Sambil dia memeriksa isi beg-beg plastik, mulut Falisha berdesis sendiri.

"T-shirt untuk umi abah. Untuk Yad dah ada keychain, T-shirt, topi dan kain pua kumbu. Hah cukuplah kut."

"Banyaknya kau belikan untuk adik kau. Parents kau dapat baju aje?" tanya Syazlin, hairan. Dia tahu Falisha cuma ada seorang adik jadi dia fahamlah kalau Falisha manjakan adiknya. Tapi kenapa ibu bapanya cuma dibelikan baju?

"Umi abah tak suka souvenir tu semua. Dia orang tak pernah buat apa-apa koleksi. Cuma nakkan benda yang praktikal dan boleh dipakai," beritahu Falisha dengan sengihan kambing. Sebab itulah dia tak belikan apa-apa untuk mereka, kecuali baju T. Saat seterusnya, wajah Falisha bertukar kelat. Tadi dia yang bersemangat dan ceria mahu mendapatkan cenderahati, dan mengambil gambar untuk dikongsi bersama Fayyad. Tapi kerana Fayyad juga...

"Aku rasa adik aku ada masalah. Tapi dia tak nak cakap. Entahlah, naluri seorang akak kuat sangat kut."

Syazlin berkerut dahi. Naluri seorang kakak? Entah, dia tak tahu. Dia sendiri anak bongsu dan setakat ini, dia tak pernah rasa apa-apa pasal kakak dan abangnya. Mungkin dia tak ada naluri seorang adik kut. Telinga dipasang, nak dengar kisah adik Falisha tapi entah mengapa, seakan ada magnet berlawanan arus dengannya yang cuba menarik fokus Syazlin. Nak tak nak, Syazlin terpaksa akur dengan tarikan tersebut. Toleh saja...

"Qid!" Syazlin spontan menyeru, bersama tangan diangkat tinggi. Dia melambai-lambai pada seseorang namun sebaik dia terpandangkan insan lagi seorang, Syazlin termangu.

"Huzair?"

Terbang bercampera semua rasa rawan Falisha yang mahu dikongsikan dengan Syazlin tatkala Syazlin melaung Qid tiba-tiba. Apabila Syazlin menyebut nama Huzair pula, spontan Falisha berpaling ke belakang.

Tak dapat tidak, mulutnya ternganga.

Huzair!


SEMENTARA beratur dan menanti giliran untuk memberi pesanan, Syazlin berkali-kali mencuri jeling Falisha dan Huzair di meja sana. Setiap kali dia mencuri jeling, setiap kali jugalah matanya akan melekat pada insan yang sedang berdiri di sisinya. Syazlin menggeleng pula.

Besar mana pun Malaysia ini, tetap juga kebetulan berlaku. Tetap juga mereka dipertemukan dengan orang yang sama!

"Apa polah kau? (Kau buat apa?)" tanya Qidran yang rimas bila dirinya dan rakannya asyik diperhatikan Syazlin.

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now