Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 10)

421 30 6
                                    

Nak publish 9pm tadi tapi sebab sibuk sikit, terlupaaa 😩😩 Harapnya CUSL boleh jadi peneman korang sebelum tidur. Goodnight! - 10:58pm

BAB 10

"KAU tak nak balik dulu?"

Sapaan Huzair mengalih perhatian Falisha untuk beberapa saat, sebelum dia menggeleng. Falisha pandang Fayyad semula. Adiknya baring di atas katil, lena diulit mimpi agaknya.

Tidurlah, Yad. Kalau boleh lupakan semuanya... Lupakan juga. Kalau akak ada kuasa, akak sendiri yang akan buang semua memori tu dari kepala Yad.

Falisha kulum senyuman kelat. Meski dia dapat selamatkan Fayyad siang tadi, Falisha tetap terkilan. Kalaulah dia dapat mengagak lebih awal, pasti adiknya takkan luka seteruk itu.

"Baliklah dulu. Aku rasa kau pun patut jumpa doktor. Entah-entah kau trauma..."

"Tak, aku okey aje. Aku nak stay sini, temankan Yad." Falisha tolak mentah-mentah saranan Huzair. Kedengaran lelaki itu mengeluh tapi Falisha tak endahkan. Fokus Falisha hanya pada si adik.

"Wazir beritahu aku, Zaim dan budak-budak lain akan dikenakan tindakan. Tengoklah. Kena buang kolej ke, atau ada hukuman lain untuk dia orang. Kalau kau tetap nak bawa kes ni ke polis pun, Wazir takkan halang." Sudahnya, Huzair berhenti memfokus pada Falisha dan mula bercakap tentang hal lain. Baru sekarang perhatian Falisha tertumpu kepadanya. Lama.

"Wazir? Lelaki tadi tu, Wazir?" tanya Falisha sambil mata membayangkan rupa bengis si pemilik suara lantang.

"Haah. Dia kawan aku. Mengajar dekat situ juga. Orang memang takutkan dia."

"Ramainya kawan kau..." komen Falisha tiba-tiba. Sana sini ada kawan Huzair. Kebetulan yang mempertemukan mereka, pasti ada kaitan dengan kawan Huzair. Di Kuching. Di Kelantan. Sebelum ini jalan hidup mereka tak pernah sehaluan tetapi sekali bertemu, banyak kali pula kebetulan terbentuk. Entah-entah, dia dan Huzair memang dah banyak kali berselisihan bahu cuma waktu itu mereka tak perasan dan masih belum saling mengenali.

"Sekarang aku bersyukur aku ada ramai kawan. I'm always at the right place, at the right time." Di hujung bicara, julat Huzair jadi perlahan.

Sebenarnya, Falisha dengar. Tapi dia tak terjentik hati untuk bertanya apa-apa. Dia tak nak tahu bila Huzair menaiki penerbangan ke Semenanjung dan apa tujuannya ke sini. Yang Falisha tahu hanyalah...

"Terima kasih."

Dia ingin berterima kasih kepada Huzair.

"Sebab tolong adik aku. Tu mungkin cuma satu kebetulan tapi kalau... Kalau Wazir tak ada... Kalau kau tak ada..."

Air mata yang ditahan-tahan, akhirnya tumpah berderai. Keberanian dan kekuatan yang sejak tadi dia pegang, Falisha lepaskan. Falisha tekup muka dengan telapak, enggan biarkan Huzair nampak air matanya. Teresak-esak dia bersendirian.

Demi Allah, dia takut waktu itu. Risaukan maruah juga nyawanya tetapi naluri seorang kakak telah menjadikan dia wanita terlampau berani.

Syukurlah... Syukurlah semuanya dah berakhir...

"Fal..."

Sudah dua kali Huzair menyeru, Falisha tetap menekup muka. Terasa satu sentuhan lembut di lengan, perlahan-lahan digerakkan sekali gus mengalihkan tangannya dari muka. Falisha gigit dinding bibir. Dia pun tak tahu kenapa dia boleh akur pada Huzair yang kini sedang berdiri tepat di hadapannya. Air mata diseka oleh lelaki itu, menggunakan tisu. Perlahan dan lembut Huzair melakukannya sambil anak mata tak lepas dari Falisha.

"Ada kawan Yad mengadu pada Wazir. Dia nampak kau masuk ke dalam tandas tu juga. Aku ikut Wazir sebab aku teringatkan kau dan Izara. Tak sangka pula, memang kau yang ada dekat situ. Dengan adik kau." Huzair bercerita serba ringkas.

"Kalau kau nak Yad tukar kolej, aku boleh tolong kau. Kalau kau nak Yad dapatkan rawatan sampai dia betul-betul sihat physically and psychologically, aku boleh tolong. Kau nak apa, Fal? Beritahu aku. Aku tolong selagi aku mampu tapi tolonglah, jangan menangis macam ni."

Huzair tahu, Falisha bukannya jenis wanita yang menangis untuk menagih simpati atau perhatian. Tetapi senyatanya, itu yang dirasakan Huzair sekarang. Dia simpati dengan wanita itu. Dia mahu beri sepenuh perhatian pada Falisha. Dia mahu air mata itu kering dan berhenti mencemari wajah Falisha. Kerana sedikit sebanyak, hati Huzair yang terusik. Sedikit sebanyak, jiwa lelakinya berantakan.

Sementara Falisha, tergamam. Terkejut dengan perbuatan Huzair, juga kata-katanya. Sekilap, kolam mata jadi kemarau. Saat Falisha tatap sepasang mata bening itu, yang kelihatan hanyalah kejujuran dan keikhlasan. Senyap-senyap, ada satu rasa menyelinap masuk ke dalam hati wanita Falisha, tanpa diketahui empunya badan atau sesiapa.

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now