Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 15)

616 30 15
                                    

BAB 15

SUDAH dua hari Huzair berwajah ketat. Tegang, tak ada senyuman. Disebabkan dia agak popular, jadi sana sini orang bercakap tentangnya.

"Fal, kau kan rapat dengan Huz. Kau tak cuba tanya dia, apa masalah dia?" Amelia menyendeng ke meja Falisha. Di sebelahnya, Arifah pula menyoal.

"Kau gaduh dengan dia?"

Semerta Falisha menggeleng laju. Apa kaitan muka ketat Huzair dengan dia? Soalan yang berlegar dalam kepala, Arifah jawab secara lisan.

"Tak adalah. Kau kan rapat dengan dia. Satu kolej tahu kau orang rapat. Bukannya kau couple dengan dia?"

Baru Falisha buka mulut hendak menafikan, Amelia menyampuk.

"Kau tahu tak, sebab kaulah tak ada sesiapa berani confess lagi dekat dia. Semua orang tahu kau girlfriend Huz. Takut dia orang nak kacau."

Oh? Falisha melopong pula. Seriuslah? Patutlah sekarang dia dah tak nampak atau dengar cerita Huzair menerima luahan perasaan dan seterusnya menolak bersama senyuman. Rupa-rupanya dialah penyebabnya? Nak meledak tawa Falisha dibuatnya. Ya Tuhan, rupa-rupanya ada gosip berkeliaran tentang hubungannya dan Huzair, tapi dia tidak tahu!

"Taklah, bu..." Nak cakap, tapi lagi sekali bicara terbejat. Kali ini bukan kerana Amelia atau Arifah, tapi disebabkan Bona pula.

"Kalau bergaduh, tak payahlah terbawa-bawa sampai ke kolej. Pandai-pandailah jaga emosi sendiri. Bergaduh dengan pasangan, satu kolej kena tempiasnya!" bebel Bona dengan kuat, sengaja nak bagi Falisha dengar. Jari yang sedang menaip-naip di papan kekunci, Bona hempas-hempas penuh perasaan.

Amelia dan Arifah saling berpandangan, kemudian mereka sama-sama mencemik. Pada Falisha, mereka cebik-cebikkan bibir mengajuk bicara Bona tadi. Eleh macamlah mereka tak tahu. Dah nak tiga tahun mereka semua berada di sini. Sejak hari pertama hingga sekarang, perangai dan kisah masing-masing dah selamat ada di dalam poket. Bona itu sebenarnya...

"Dia bengang sebab Huz pernah reject dia."

"Sebab tu dia selalu tak puas hati dengan kau."

Sesudah Amelia memecahkan rahsia Bona, Arifah pula menjelaskan kenapa selama ini Bona selalu melayan Falisha dengan kasar. Semakin jatuh rahang Falisha.

"Seriuslah?!" Nak terjerit tapi Falisha sempat tahan diri, jadi dia menyoal dengan nada berbisik juga. Bagai burung belatuk, kedua-dua temannya mengangguk. Falisha pandang Bona dengan rasa tidak percaya. Patutlah! Dah nak tiga tahun dia tak habis fikir, kenapa Bona selalu layan dia kasar dan cakap buruk tentang dia. Rupanya sebab Huzair!

Ya Allah, Huz. Kenapa ramai sangat perempuan suka kau ni?! Falisha menjerit di dalam hati. Namun detik seterusnya, Falisha kejur.

Dalam ramai-ramai perempuan yang meminatinya, tak ada seorang pun yang disukai Huzair. Adakah kerana...

Dianne?

Nama itu bergema di dalam hati. Bersamanya, hadir sesuatu menjalar di segenap sanubari Falisha.


DENGAN senyuman lebar, Falisha atur langkah ke Bengkel Automatif. Falisha curi jeling cawan kertas di tangan beberapa kali. Dalam hati dia sudah membayangkan secawan Americano dari Greentea itu mampu mengundang senyuman di bibir Huzair.

Nampak saja susuk tubuh yang cukup dikenali, Falisha atur langkah mendekati meja tersebut. Huzair sedang duduk di atas mejanya, kaki melunjur ke lantai bersama mata menekur ke arah itu sahaja.

"Huz!" Ceria Falisha menyapa. Sebaik Huzair menengadah, Falisha angkat cawan Americano tinggi, selaras dengan anak mata Huzair.

"Aku oder Americano untuk kau. Dari Greentea. Favourite kau kan?"

Malangnya, apa yang Falisha bayangkan tadi tidak menjadi realiti. Huzair kekal dengan muka masamnya. Memandang Falisha dan cawan kertas tersebut. Apabila Huzair nampak logo Greentea, dengusan terlepas dengan sendirinya.

Dahulu memang dia sukakan Greentea tapi sejak kemunculan Dianne di sini selaku pemilik baharu kafe tersebut, hati jadi meluat tiba-tiba!

"Aku tak nak," tolak Huzair mentah-mentah, tak sedikitpun ambil kira perasaan Falisha. Huzair bergerak menuju ke satu almari lalu dia buka pintunya. Mata melingas, tangan bergerak memegang beberapa item tapi sebenarnya Huzair tak mencari apa-apa. Dia cuma nak mengelak dari Falisha atau lebih tepat lagi, menjauhi minuman dari kafe Greentea.

Falisha terkilan. Niat baiknya dipandang sepi oleh Huzair buta-buta. Sedar hatinya sudah membengkak, cepat-cepat akal memujuk.

Tak apalah, angin Huz kan memang tengah tak baik. Dia tak pernah berkasar dengan kau pun, maksudnya sekarang dia tengah ada masalah besar. Sebab tu dia abaikan kau dan air kegemaran dia.

Saat seterusnya, Falisha mengangguk sendiri. Bersetuju dengan kata akal lalu Falisha maniskan muka semula.

"Aku tinggalkan aje dekat sini. Kutlah nanti kau tiba-tiba nak. Kalau kau tak nak, nanti bagi ajelah pada sesiapa. Mesti di..."

"Aku kata aku tak nak, aku tak naklah! Bawa Americano tu pergi dari sini. Aku tak nak tengok dia atas meja aku!" Tiba-tiba Huzair menoleh sambil menengking Falisha. Bergema ruang bengkel dengan suaranya, berjaya membuatkan Falisha terenjut bahu.

Terkejut! Juga sentap! Juring mata Falisha jadi hangat dalam kadar terpantas. Dia cerlungkan mata pada Huzair, berharap lelaki itu sedar keterlanjuran tingkahnya tapi Huzair juga bermata galak, tak tunjukkan ciri-ciri dia tersedar atau menyesal.

Tak betah berada di sini, Falisha berpatah balik. Ingin cepat-cepat keluar dari bengkel yang rasa berbahang dan menyesakkan dada tapi entah di mana silapnya, Falisha tak perasan ada satu benda besi di lantai.

"Ah!" Jeritan kecil terlepas sebaik kaki tersadung pada item tersebut. Badan sudah melayang ke depan, nyaris nak tertumus tapi tahu-tahu saja badan Falisha mundur. Sekilap, dia kembali ke posisi tadi. Berdiri tegak dan lurus, seperti biasa. Kedengaran desahan kasar seseorang, semerta Falisha mendongak.

Huzair!

"Apa masalah kau, Fal? Jalan bukan sekadar guna kaki, guna mata juga! Kalau kau jatuh tadi, macam mana?!" Lagi, Huzair menempik. Merah padam muka dia detik ini, selaras dengan hati hangat.

Sungguhlah, kenapa hari ini Falisha asyik memanaskan hati? Tadi sebab Greentea, sekarang sebab sikap cemerkap dia. Kenapa Falisha buatkan dia kebimbangan dalam pada hatinya sedang mendongkol kerana Dianne?!

Baru sesaat lepas Falisha terdetik untuk mengucapkan terima kasih tapi sekarang Falisha tendang jauh-jauh niat itu. Untuk lelaki yang tak tahu berterima kasih dan menghargai dia, atau membantunya dengan ikhlas, Falisha juga enggan hargai pertolongannya. Kalau fikir logik pun, salah diakah kalau tersepak barang yang bersepah di bengkel ini? Kalau Huzair nak tuding jari pada sesiapa, salahkan diri sendiri sebab tak kemas bengkel! Bukannya malah menengking Falisha. Bukan sekali tapi dua kali!

"Huh." Falisha merengus sendiri, mata terus dilarikan ke tempat lain. Dia sedar, sedikit saja masa lagi empangan mata akan pecah. Tak, dia tak nak tunjukkan sisi lemah di hadapan Huzair. Silap haribulan lelaki datang bulan itu akan melengking lagi. Lalu tanpa pamit diri, Falisha angkat kaki. Mata sempat menjeling tajam pada Huzair.

Huzair pula...

Terkesima.

"Bodohlah!" makinya sesaat kemudian sambil menyepak kaki meja yang dia duduki tadi. Kata carutan bukan dikhususkan pada orang lain, tapi pada diri sendiri. Dia yang masih terbawa-bawa dengan perasaan dari kisah silam, Falisha pula menjadi tempat dia lepaskan amukan.

Bila mengenangkan mata Falisha yang berkaca-kaca...

"Ah bodohlah, Huz!"

*****

The conflict is saying hiii.
Oh ya. Nak bagitau ni bab terakhir kita share kat wattpad tau. Kenapa?
Korang faham-faham ajelah 😌🙈
Apapun, thankyouuuu sudi baca & follow dari awal lagi. Saaayang korang! ❤️❤️
Insya Allah jumpa lagi di cerita seterusnya 😍

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now