Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 3)

719 30 4
                                    

BAB 3

FALISHA melabuh duduk di atas sebuah kerusi sambil mata tak lepas memandang jadual di tangan. Akal pula dikerah, memikirkan waktu masuk kerja yang sesuai.

Setakat apa yang dia faham, di kolej ini ada tiga set waktu bekerja. Set A, dia boleh masuk bekerja sebelum 7:30 pagi dan pulang pada 2:30 petang. Set B, waktu bekerja bermula pada 9:30 pagi dan pulang pada 4:30 petang sementara untuk set C, ia boleh diklasifikasi sebagai 'full day' di mana dia perlu punch-in sebelum 7:30 pagi dan pulang 4:30 petang.

Tangan mencapai pen sementara mata masih tertancap pada jadual. Usai akal menyuai padan jadual mengajar dengan kesemua waktu bekerja, Falisha coret sesuatu di kertas sambil mulut berdesis...

"Hari isnin, kelas aku cuma 9:30 pagi sampai 3:30 petang. Boleh ambil set B. Selasa... Set A. Rabu full day, wajib set C sebab ada perhimpunan pagi tu. Khamis, cuma ada satu kelas pukul 9:30 sampai 10:30 pagi. Hmmm kena set A juga. Tapi alahai, daripada 10:30 sampai 2:30 petang tu, nak buat apa? Jumaat pula memang half day."

Falisha mengangguk sendiri kemudiannya, berpuas hati. Tadi pening juga kepala dia selepas diberitahu waktu bekerja di Kolej Vokasional Betong ini ada set-set sebegini. Ingatkan sama saja macam di sekolah rendah sewaktu dia praktikal dahulu, atau sekolah menengah kebangsaan sewaktu dia menjadi guru ganti untuk tiga bulan. Rupa-rupanya, tidak.

"Semangatnya! Baru dapat jadual tadi, kau dah terus fikir nak punch-in dan punch-out pukul berapa!"

Satu suara menegur Falisha dari belakang, bersama tepukan di bahu. Sesaat kemudian, kerusi kosong di sebelah Falisha sudah bertuan. Falisha menyengih memandang si penegur.

"Aku peninglah ada set-set macam ni. Set A, set B, set C... Daripada nanti aku confuse, lepas tu esok termasuk lambat atau terbalik awal, lebih baik aku settle sekarang. Kalau ada yang aku tak faham, aku boleh terus tanya," kata Falisha. Usai menjawab, dia memuncung mengunjuk pada jadual si rakan pula.

"Kau pula? Macam mana? Okey tak, Syaz?"

Syazlin segera mengangguk.

"Okey. Aku pun pening juga sebenarnya. Tadi lepas aje dapat jadual, aku terus jumpa Kak Mar. Dia tolong explain lagi pasal jadual ni dan siap tuliskan aku patut ikut set mana," jawab Syazlin seraya tersengih kambing. Konon kata Falisha bersemangat, padahal dia awal-awal lagi dah berjumpa dengan Mardiah, salah seorang tenaga pengajar tetap di sini. Falisha buat sendiri, Syazlin pula ambil jalan mudah dengan meminta bantuan Mardiah. Bukannya dia malas nak berfikir tapi dia memang bingung!

"Syaz, aku lupa nak tanya kau. Kau pernah ke Betong?" Falisha bertanya kepoh.

Semalam dan hari ini, Syazlin yang menjadi pemandunya. Falisha perasan Syazlin tak gunakan  khidmat Waze langsung. Syazlin sepertinya sudah arif dengan jalan-jalan di sini. Syazlin juga beritahu Falisha, dia boleh bawa Falisha ke Kuching dan tempat lain bila-bila masa Falisha mahu.  Naik segan Falisha dibuatnya. Syazlin terlalu baik, tak berkira langsung! Sudahnya, Falisha bersetuju tetapi dengan syarat duit minyak akan dikongsi bersama.

"Tak. Lepas aku dapat tahu aku ditempatkan kat sini, baru aku jejak kaki ke Betong."

"Tapi kau drive macam dah biasa ke sini aje," kata Falisha.

"Aku Nur Syazlin kut! Sekali lalu, aku dah boleh hafal jalan tau. Waktu aku study kat Bentong, Pahang, aku yang jadi driver tau. Kawan-kawan aku yang asal Semenanjung dan dari Pahang pun, tak ingat-ingat jalan." Penuh bangga Syazlin memuji diri sendiri. Itu memang salah satu kelebihannya. Sementara kebanyakan wanita lain sukar nak ingat jalan dan tak reti baca peta, Syazlin pula sebaliknya.

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now