Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 5)

548 35 11
                                    

Nahh hero korang! 🙈🥰🥰

BAB 5

"HUZAIR!"

Pantas kepala Huzair menoleh ke belakang bila namanya dipanggil. Kelihatan Syawal melambai tangan ke arahnya sementara Faizal di sebelah hanya senyum tipis. Huzair kulum senyum. Kaki yang melunjur sewaktu dia membuat regangan, sekarang Huzair jatuhkan di atas rumput. Dia berdiri tegak sewaktu kedua-dua lelaki itu datang menghampiri.

"Kau buat apa, bro?"

"Baru lepas joging. Kau orang?" Setelah menjawab, Huzair pulangkan soalan kepada Syawal semula. Dengan Syawal yang ringan mulut itu, senang semua orang buat kawan. Walaupun dia baru bertugas di Kolej Vokasional Betong, nama Syawal sudah dikenali rata-rata tenaga pengajar dan staf kolej, juga dalam kalangan pelajar. Rupa tampannya juga menjadi sebutan namun pada Huzair, dia tak pedulikan itu semua. Asalkan orang ikhlas berkawan dengannya, dia tak kisah apa-apa lagi.

"Kita orang saja, nak jalan-jalan pusing-pusing," beritahu Syawal.

"Bro, kau dah habis joging kan? Jomlah ikut kita orang. Aku rasa nak lepak minum kopi sekejaplah. Sini tak ada Starbucks eh?" tanya Faizal sambil menarik keluar telefon pintarnya untuk menggunakan khidmat Google.

Huzair yang sedang mengesat peluh menggunakan tuala, tersengih sendiri.

"Kau menghina ke? Mana ada Starbucks dekat sini. Kafe lain adalah. Kalau kau nak, Secret Recipe pun ada," beritahu Huzair. Sudah bertahun-tahun dia berkhidmat di sini jadi Huzair tahu apa yang ada, apa yang tiada.

"Tak naklah Secret Recipe. Aku nak tempat lain. Kau ikutlah kita orang sekali. Nak?" Faizal mempelawa Huzair. Sebenarnya dengan Huzair, lenguh juga tengkuknya sebab dia terpaksa mendongak. Untuk lelaki yang hanya berketinggian 160 sentimeter sepertinya, memandang Huzair si lelaki tinggi itu agak melelahkan. Sekurang-kurangnya kalau mereka duduk semeja, senang sikit. Tak payah dia sakitkan tengkuk lagi untuk berborak dengan Huzair.

Syawal pula, mengangguk laju. Tangan menepuk-nepuk bahu Huzair lalu kepala digerak, memberi isyarat tidak lisan untuk mempelawa lelaki itu ikut sama. Dah alang-alang terserempak, apa salahnya mereka sama-sama lepak di kedai kopi?

"Tapi aku pakai..." Huzair tak habiskan kata, cuma tangan bergerak mengunjuk diri dari atas ke bawah. Tubuh masih melengas dengan peluh, tak kering pun lagi. Nak ajak ke kedai kopi pula?

"Kau jangan risau. Orang perempuan suka lelaki yang baru lepas joging. Badan peluh-peluh, itu yang dia orang turn on," kata Syawal penuh selamba, konon nak tunjukkan betapa dia memahami kaum wanita. Tak pasal-pasal dia disindir Faizal.

"Kepala kau memang tak ada fikir lain. Asyik perempuan aje! Kau jangan layan buaya ni. Jangan percaya cakap dia!"

Terlepas tawa kecil Huzair mendengarkan perkataan 'buaya' itu. Dia masih belum rapat dengan kedua-dua lelaki itu dan semestinya Faizal dan Syawal lebih rapat dengan satu sama lain kerana mereka datang ke sini dalam masa yang sama, kemudian menyewa satu rumah. Tetapi Huzair yakin, Faizal tidak omong kosong. Dari muka Syawal pun, Huzair boleh nampak garis miangnya. Biasalah lelaki rupa elok. Dia yang sama-sama lelaki pun, tak boleh nafikan ada lelaki pantang nampak perempuan dahi licin. Semestinya Syawal tak terkecuali!


SEBAIK Farahain meletak dulang, dia pindahkan dua cawan ke atas meja lalu disua kepada empunya. Cappucino untuk Syazlin, coklat panas untuk Falisha. Seterusnya tanpa dipelawa, dia berlabuh duduk di sebelah Syazlin. Alang-alang kafe Greentea tengah lengang tanpa pelanggan, dia gunakan kesempatan untuk berborak dengan teman serumahnya.

"Kenapa kau orang tak beritahu nak datang sini?" soal Farahain. Sedangkan pagi tadi sebelum dia keluar, dia terserempak dengan Falisha yang ke dapur untuk minum air. Tak ada pula Falisha katakan apa-apa. Tup-tup di sebelah petang, muncul pula di sini bersama Syazlin. Selamba masing-masing bawa watak pelanggan, memberi pesanan dan membuat bayaran sebelum kedua-duanya jalan menonong ke salah satu meja. Paling menggeletek hati Farahain bila Syazlin dan Falisha dengan muka polosnya terkejut kafe ini menyediakan pelbagai minuman kopi dan teh sebab masing-masing ingat Greentea hanya ada minuman berasaskan teh hijau, selaras dengan namanya!

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now