BAB 8
HARI ini hari rabu, wajib set C. Perhimpunan pada sebelah pagi, balik pula 4:30 petang. Falisha bosan duduk di tempatnya jadi dia sengaja berjalan-jalan. Tak dapat makan angin di tempat lain, cuci mata di kolej pun jadilah.
Telefon pintar berdering, langsung Falisha membrek langkah. Jantung rasa nak meledak bila dia nampak nama Huzair tertera di skrin. Selepas pertemuan tak sengaja di Kuching, Huzair minta nombor telefonnya dan Syazlin. Katanya, senang nak berhubung kalau ada apa-apa. Falisha serahkan saja tapi setakat ini Huzair tidak langsung menghantar Whatsapp, jauh sekali menghubunginya. Ini tiba-tiba...
"Helo?" Perlahan saja suara Falisha. Bila salam menyapa telinga, Falisha sengih kambing dan menjawab. Segan tiba-tiba.
"Kau ada kat mana?"
"Aku dekat depan Dewan Kenanga. Kenapa?" Falisha menjawab dengan jujur, kemudian dia bertanya semula.
"Stay situ."
Pendek balasan Huzair lalu talian ditamatkan. Falisha tercengang. Dah kenapa? Tiba-tiba telefon orang, tanya ada di mana, kemudian suruh orang duduk sini diam-diam? Heh tak ada kerja. Malas nak melayan, Falisha buka langkah jua. Tapi baru beberapa tapak...
"Aku dah suruh kau stay sini. Nak jalan pergi mana?"
Muncul satu entiti tinggi di sebelah Falisha tiba-tiba, membuatkan Falisha gabrah berundur. Falisha diam, terkelip-kelip matanya. Baru sekejap tadi dia bercakap dengan insan itu di telefon, alih-alih sekarang dah muncul depan mata? Bukan dengan tangan kosong tapi bersama dua bekas minuman yang cukup dikenali!
"Nah. Tadi kawan aku pergi Greentea, nak belikan air untuk aku. Aku teringatkan kau dan Syaz, jadi aku suruh dia tanya Ain kau orang suka minum apa. Chocolate frappe kau. Cappucino Syaz, aku dah bagi tadi." Panjang pula Huzair bersuara sambil tangan menyua minuman kepada wanita itu. Apabila Falisha diam tak berkutik, Huzair menjongket kening.
"Tak nak?" Dia menyoal sambil tangan perlahan ditarik semula. Rasa-rasanya Falisha sedang menolak pemberian tersebut secara halus tapi saat seterusnya, chocolate frappe sudah bertukar tangan.
"Rezeki jangan ditolak!" kata Falisha laju, cepat-cepat mengucap kalimah basmalah dan terus menyisip air dari penyedut minuman. Kalau Huzair buat perangai buruk siku, dia juga yang rugi nanti. Falisha ucapkan terima kasih kepada Huzair lalu kaki sambung melangkah semula. Memang langkah kanan dia hari ini, dapat rezeki mengejut sebegini.
"Kau ajar apa? English?"
Falisha ingatkan Huzair dah angkat kaki, rupa-rupanya masih menempel di sebelahnya. Aneh sebenarnya dengan perangai terlampau mesra Huzair hari ini. Sedangkan dah berkali-kali mereka berpapasan jalan di kolej tapi disebabkan Huzair tak sapa dia, Falisha pun malas nak ringankan mulut menegur.
"Haah. English for Communication untuk budak diploma tahun satu, dengan Core Abilities untuk pelajar Sijil Vokasional."
"Boleh ke kau ajar Core Abilities?" Huzair bertanya lagi, disambut dengan anggukan Falisha. Detik seterusnya, Falisha jongket bahu pula, tanda wanita itu sendiri tak yakin dengan apa yang dilakukannya.
"Boleh tak bolehlah. Nak ajar teori pasal etika kat tempat kerja, strategi perundangan, akta-akta kerja tu semua... Aku cuba fahamkan semua nota dulu, sebelum aku mengajar." Kalau diikutkan, Falisha sepatutnya mengajar subjek Bahasa Inggeris sahaja tapi di sini, dia perlu mengajar Core Abilities juga. Bukan hak Falisha untuk membantah kerana sewaktu dia menjadi guru praktikal dahulu, dia juga dikehendaki mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Sungguh menguji tahap kecergasan fizikal dan fleksibiliti badan!
"Kalau kau tak faham apa-apa, tanya ajelah. Aku boleh tolong jelaskan sikit-sikit. Aku pernah mengajar Core Abilities juga." Huzair menawarkan diri untuk membantu.
YOU ARE READING
Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)
Romance"Kerana ada ketika, kita terlepas peluang cinta untuk kali pertama." MENOLAK luahan perasaan seseorang sambil tersenyum manis? Kejamnya! Tapi itulah yang disaksikan Falisha. Seorang lelaki menolak pengakuan cinta wanita lain bersama muka semanis gul...