Cinta Untuk Sekali Lagi (Bab 13)

365 26 7
                                    

BAB 13

HARI sudah lewat malam tapi perkataan 'nyenyak' sepertinya tak wujud dalam kamus hidup Huzair. Sesaat pun dia tak boleh lari ke alam mimpi. Tukarlah pelbagai posisi tidur pun, tetap juga mata Huzair segar.

Huzair mengeluh berat. Alang-alang tak boleh tidur, lebih baik dia bangun dan sudahkan kerja. Kaki diatur menuju ke bilik kerja di sebelah. Memandangkan dia menyewa rumah ini seorang diri, satu bilik dijadikan bilik tidur, satu lagi khas sebagai bilik kerja. Huzair menghidupkan komputer lalu dia capai kamera. Gambar yang dia ambil siang tadi sewaktu dia ke Taman Negara Batang Ai, dia pindahkan ke dalam komputer. Huzair mula ralit dengan kerjanya. Sesekali kedengaran bunyi dia menekan-nekan papan kekunci dan tetikus. Mata Huzair memfokus pada skrin komputer, sesekali membundar dan mengecil.

Sedar-sedar, dah enam pagi. Huzair tekan kesemua X namun tatkala mata tertancap pada satu folder bernama Fall di skrin, Huzair kejur. Beberapa detik dia kaku, mata pula terpaku pada folder tersebut. Lambat-lambat, Huzair gerakkan anak panah lalu dia tekan tetikus dua kali.

Jika di dalam folder lain, semuanya gambar pemandangan, orang awam, fotografi jalanan namun folder bernama Fall ini, berbeza. Yang ada di situ hanyalah beratus potret seorang wanita. Boleh dihitung dengan jari foto-foto wanita tersebut memandang tepat ke lens kamera. Selebihnya, tidak. Bererti Huzair curi-curi ambil gambarnya, sama ada di kolej kalau ada sebarang majlis atau aktiviti, ataupun ketika wanita itu ikut sama mendaki gunung.

Si wanita yang melambai tangan pada pelajarnya.

Si wanita yang menerima hadiah sempena Hari Guru.

Si wanita yang teruja melihat pemandangan indah.

Si wanita yang kepoh bertanya nama bunga dan tumbuhan kepada orang.

Si wanita yang sedang mengesat peluh di dahi.

Dan macam-macam lagi.

Pada satu foto, wanita itu sedang menghidu bau sekuntum bunga. Mata Huzair tertancap pada skrin, di mana foto tersebut terpampang memenuhi. Setelah beberapa detik dia merenung...

"Kenapa aku buat macam ni? Kenapa aku ambil gambar kau?"

Bila rasional dan kewarasan menguasai diri, berjuta kali Huzair ajukan soalan tersebut. Bukan untuk dijawab si wanita tapi dia mahukan jawapan dari diri sendiri. Setiap kali juga dia akan berkata...

"Aku cuma pernah buat macam ni untuk dia. Tapi kenapa sekarang, aku buat untuk kau juga? Sebab kau mengingatkan aku pada dia? Maksudnya... Aku masih tak boleh lupakan dia? Atau aku jadi begini sebab kau?" Huzair terus bermonolog, hanya untuk dijawab kesepian. Muka diraup lalu mulut menitip kalimah istighfar. Detik ini, dia sedar sesuatu.

"I'm falling into misery. But the question is... Because of who?"

*****

Sebab siapa tu, Huz? Awak ambik gambar siapa tu? Teringatkan siapa tu?

Cinta Untuk Sekali Lagi (TERBIT - Penerbitan BesQ)Where stories live. Discover now